JAC PUKAU PENONTON SELEPAS DUA DEKAD

Kali pertama Jaclyn Victor menggegarkan dunia muzik tanah air sekitar dua dekad lepas apabila menjuarai pertandingan nyanyian Malaysian Idol 2004.

Pada Sabtu 12 Oktober lepas, penyanyi bervokal lantang ini sekali lagi kembali memukau dengan persembahan penuh nostalgia di Konsert Solo Pertama Jaclyn Victor yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.

Di sebalik cuaca yang tidak menentu pada hari berlangsungnya konsert tersebut, penyanyi yang mesra dipanggil Jac ini berjaya memukau persembahan yang ternyata mengubat rindu ribuan peminatnya. Penulis yang mula mengikuti karier nyanyian Jaclyn sejak dia dinobatkan juara Malaysian Idol itu, melihat konsert itu sebagai satu persembahan hebat yang tidak akan dilupakan.

Jaclyn yang nama lengkapnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor memulakan persembahan dengan lagu-lagu medley "When You Believe" dan "It's All Coming Back to Me Now". Vokal yang lantang jelas mengukuhkan kedudukannya sebagai ratu vokal Malaysia, yang tidak boleh dipertikaikan. 

Pilihan lagu untuk persembahan Jaclyn Victor pada konsert solonya itu dibuat secara berhati-hati untuk mengimbangkan nostalgia dan lagu-lagu baharu. Dari lagu klasik seperti "Superwoman" dan "Di Bawah Pohon Asmara" kepada hit terkininya, termasuk "Kejutkan Aku" dan "Sesal Tak Bermakna". 

Jaclyn kemudiannya berduet dengan bekas protegenya, penyanyi Hael Husaini, menyampaikan lagu-lagu seperti "Cheritera Cinta" dan "Sandarkan Pada Kenangan.". Panduan bertenaga suara kedua-duanya ketika menyampaikan lagu-lagu berkenaan begitu mempersonakan. 

Apabila mendendangkan lagu "Jagalah Diri", Jaclyn sekali lagi tidak mengecewakan penonton. Lagu yang disampaikan berikutnya "Cinta" juga amat menghiburkan. 

Para peminat Jaclyn kemudiannya dihiburkan dengan lagu ikonik Dato' Sheila Majid, "Sinaran" yang turut hadir menonton konsert itu. Suasana menjadi gamat apabila Jaclyn turun dari pentas dan menuju kepada penyanyi Liza Hanim dan Marsha Milan untuk sama-sama menyanyikan lagu itu.

Satu lagi momen indah apabila Jaclyn mendendangkan dengan penuh perasaan lagu yang dipopularkan oleh Anuar Zain iaitu "Sedetik Lebih". Ini diikuti lagu "Cinta Tiada Akhirnya" dan lagu medley rancak "Las Ketchup", "Conga" dan "Let's Get Loud". Jaclyn turut berduet dengan Siti Nordiana melantunkan "Nisan Cinta".

Jaclyn kemudiannya memukau penonton menerusi Koleksi Gemilang yang memakan masa persembahan 10 minit. Seluruh dewan menjadi gamat apabila kelihatan semua penonton turut menyanyikan lagu tersebut bersama-sama Jac membuktikan aura Jac masih kuat dan hebat sebagai seorang penghibur. 

Menariknya konsert malam tersebut turut menyaksikan Jaclyn mengumumkan beberapa lagu terbaharu yang terkandung di dalam album baharunya. 'Lepaskan Saja, Racun, Airmataku, Run dan Inilah Saatnya' antara lagu yang bakal menghiasi album terbaharu Jac akan datang. 

Kemunculan Ning Baizura dan Sheila Amzah pada malam konsert tersebut dengan menyanyikan seleksi lagu di dalam album 3 Suara bersama Jaclyn yang pernah berhantu sekitar tahun 2011 menjadi petanda adakah mereka bertiga sekali lagi bakal berkolaborasi  bersama dengan projek baharu?. 

Namun tidak dilupakan apabila Jaclyn menutup persembahan dengan lagu Bollywood, "Bole Chudiyan" yang dipetik dari filem 'Kabhi Khushi Kabhie Gham' nyanyian asal Amit Kumar, Jatin-Latit, Sonu Nigam, Alka Yagnik, Udit Narayan dan Kavita Krishnamurthy ini menjadikan konsert solo pertama Jaclyn Victor penuh warna warni. 

Sumber berita dipetik sepenuhnya dari Bernama dan diolah oleh Wajib Tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan