Walaupun tidak berjaya dicalonkan dalam kategori Pengarah dan Pelakon Lelaki Terbaik, Filem Abang Adik menerima 11 pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33). Diarahkan oleh Jin Ong, Filem Abang Adik dinobatkan sebagai Filem Terbaik di 10th Asian World Film Festival (AWFF) 2024, Los Angeles, Amerika Syarikat.
Memberi saingan terhadap filem Imaginur, Abang Adik meraih 11 pencalonan daripada 24 kategori yang dipertandingkan antaranya, Pengarah Harapan, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Filem Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penyunting Terbaik, Rekaan Kostum/Busana Terbaik dan Pelakon Lelaki Harapan.
Filem terbitan More Entertainment Sdn Bhd dan New Century Southward Development Co Ltd itu turut melakar sejarah sebagai fiem Malaysia pertama memecahkan rekod tayangan pecah panggung di Taiwan, juga tercalon bagi kategori Tatarias/Solekan Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Sementara itu, filem genre cereka sains romantik, Imaginur yang menyaksikan lakonan hebat Beto Kusyairy dan Diana Danielle, tersenarai dengan pencalonan terbanyak menerusi 15 kategori.
Filem terbitan Lumatic Films itu yang pernah mewakili Malaysia ke festival filem antarabangsa, mempertaruhkan pengarahnya Nik Amir Mustapha sebagai Pengarah Terbaik, berentap dengan Syafiq Yusof (Sheriff), Sabri Yunus (Duan Nago Bogho), Tunku Mona Riza (Rain Town) dan Nizam Razak (Mechamato Movie)
Imaginur turut dicalonkan bagi kategori Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Poster Terbaik, Pelakon Wanita Harapan dan Filem Terbaik.
Kategori lain ialah Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Pengumuman calon lima terbaik FFM33 itu yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini malam tadi, turut dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Nabila Huda menerusi Rahsia akan berentap dengan Nadia Aqilah (Eva). Susan Lankester (Rain Town), Diana Danielle (Imaginur) serta Chen Keat Yoke (Hunry Ghost Diner).
Untuk Pelakon Lelaki Terbaik pula, persaingan agak sengit dengan nama-nama besar dalam industri filem tanah air, iaitu Zul Ariffin (Sheriff), Beto Kusyairy (Imaginur), Asrul Faizal (Duan Nago Bogho), Shaheizy Sam (Polis Evo 3) dan Chew Kin Wah (Rain Town).
Mengulas pencalonan itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato' Azmir Saifuddin Mutalib berkata pihaknya menerima 104 penyertaan dengan 95 pencalonan layak bertanding, merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari yang telah ditayangkan di pawagam tempatan, bermula 1 Okt 2022 hingga 30 Jun 2024.
"Jika dilihat pada pencalonan filem, memang ada persaingan sengit, lebih-lebih lagi separuh daripada filem tersebut pernah tercalon ke festival filem antarabangsa, contohnya Abang Adik dan Rain Town.
"Justeru, agak menarik untuk melihat bagaimana juri kita memilih yang terbaik di FFM33 ini," katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, beliau berkata Dokumentari Terbaik diperkenalkan semula pada festival kali ini selepas kali terakhir dipertandingkan pada FFM28, lapan tahun lalu.
Bertemakan "EMAS - Evolusi Sinema Malaysia," FFM33 dianjurkan oleh FINAS dengan sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan malam kemuncaknya dijadualkan pada 7 Disember depan di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri , selain disiarkan secara langsung di TV2 dan Youtube FINAS Malaysia.
Pada festival kali ini, beberapa anugerah khas disediakan, iaitu Anugerah Khas Karyawan, Anugerah Khas Sepanjang Zaman, Anugerah Khas Juri 1, 2 dan 3 serta Anugerah Filem Box Office.
Pemenang 24 kategori yang dipertandingkan bakal menerima wang tunai RM5,000 dan trofi manakala pemenang anugerah khas akan membawa pulang wang tunai RM10,000.00 dan trofi. Bagi pemenang Filem Terbaik, mereka akan menerima Dana Kandungan Kreatif bernilai RM500,000.00.
Bagi memeriahkan lagi perjalanan acara berprestij dunia filem tanah air itu, sebanyak 57 program sisipan interaktif diperkenalkan, dibahagikan kepada tiga teras utama, iaitu Film Bizz yang bertujuan menyokong pelaburan dan kolaborasi industri; Pembudayaan Sinema (tayangan dan apresiasi bersama-sama komuniti); dan Peningkatan Profesionalisme (program latihan dan bengkel).
Selain itu, FINAS turut bekerjasama dengan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) menerusi program Intuisi Emas di Datum Jelatek, antaranya Forum "Orang Muda dalam Perjuangan" bersama pengarah muda profilik pada 23 Nov dan Forum "Lihatlah Dunia, Trofi FFM Merubah Hidupku" bersama pemenang FFM terdahulu pada 24 Nov ini antaranya Ellie Suriaty Omar, Datuk Rosyam Nor, Ogy Ahmad Daud, Maya Karin dan Erra Fazira.
Sumber berita dipetik dari Bernama
0 Ulasan