KULIT WAYANG: BAYANG DI BALIK LENSA

Walaupun mempunyai profil yang agak bagus dari segi pengarahan mahupun pengalaman dalam pembikinan sesebuah filem, Dain Said kali ini tidak mampu memikat penonton menerusi karya kelima arahannya, Kulit Wayang.

'Kulit Wayang' meneroka dunia wayang kulit melalui imej permainan, fotografi dan gerak wayang melalui air, sinema serta lecak paya yang menyeramkan.  Filem yang mengambil pendekatan kepada karya seni tradisional Melayu khususnya wayang kulit, tetapi dalam masa yang sama ia juga mengadaptasi bentuk penceritaan moden dan eksperimental yang selari dengan gaya filem seni (arthouse cinema) serta struktur naratif pascamoden dan ia lebih dekat kepada sinema eksperimental; mirip kepada karya-karya Apichatpong Weerasethakul (Thailand), Andrei Tarkovsky (Rusia) dan sebahagian karya U-Wei Haji Saari.

Filem ini jelas diinspirasikan daripada seni persembahan wayang kulit iaitu satu bentuk teater tradisional Melayu yang kaya dengan mitos, simbolisme dan spiritualiti. 

Dain Said menggunakan elemen-elemen ini bukan sekadar latar, tetapi sebagai struktur naratif dan falsafah visual filem tersebut. Ianya menjadikan filem ini sebuah penghormatan kepada seni warisan, serta satu bentuk penceritaan yang mengangkat budaya sebagai jantung naratif.   

Melaluinya, Kulit Wayang tidak boleh dianggap sebagai sebuah karya kosong semata-mata, tetapi penghasilannya mencerminkan kematangan pembikinnya mengolah penceritaan dengan tema 'seni persembahan' tradisi masyarakat Melayu di bumi Kelantan melalui beberapa fasa penceritaan dan lakonan yang mengujakan.

Fattah Amin yang sebelum ini hanya dikenali dengan lakonan yang agak stereotaip, tetapi melalui Kulit Wayang, beliau berjaya menampilkan sisi berbeza sebagai seorang pelakon. Memegang peranan sebagai Tok Dalang bernama Pak Lee, Fattah Amin memberikan sisi lakonan yang cukup hebat.

Lakonan yang berkesan

Kehebatan Fattah sebagai pelakon dapat dilihat menerusi filem ini. Dengan gerak lakonan yang bersahaja, dibantu dengan bahasa tubuh serta lontaran yang mengujakan, Fattah Amin berjaya mencipta ruang dan kesan dramatik yang mampu menyentuh jiwa. Inilah penjiwaan watak yang berkesan sekali gus menuntut kematangannya dari segi lakonan dalam watak yang diberikan namun ianya sukar dicapai tanpa kepekaan terhadap intonasi emosi dan irama naratif yang berkesan.

Ketika disoal tentang sambutan dingin peminat filem terhadap naskhah ini, Fattah tidak menolak kemungkinan bahawa promosi dan saingan terdekat filem-filem lain menjadi salah satu sebab kenapa filem Kulit Wayang ini tidak mampu mendapat kuasa penontonan yang baik sepertimana filem-filem tempatan yang lain.

"Saya tidak menolak faktor saingan dengan filem lain juga antara punca kenapa filem ini tidak mampu mendapat kuasa penontonan yang agak baik. Dain Said bukan calang pengarah filem yang karyanya melangkaui zaman dan pemikiran, mungkin genre filem ini kurang digemari.

"Saya melihat karya ini bersifat universal dan ianya bukan sahaja untuk tontonan masyarakat di Kelantan sahaja. Perasaan skeptikal di kalangan penggemar filem terhadap sesebuah naskhah wajar di buang jauh kerana ia tidak baik untuk kelangsungan pembikinan sesebuah filem tempatan.

"Jika ditanya saya. Apa perasaan saya dapat naskhah ini. Tentulah saya gembira kerana ianya diarahkan Dain Said yang semua orang tahu apa filem arahannya. Inilah peluang untuk saya lebih dikenali," katanya.

Kulit Wayang diraikan sebagai sebuah 'sinema'

Manakala bagi Dain Said, menghasilkan Kulit Wayang dalam genre sinema tempatan sememangnya antara naratif cerita yang digemarinya. Menurutnya, sejak kecil lagi beliau didedahkan dengan seni budaya di Kelantan. Itulah sebab kenapa beliau bersetuju untuk membawakan naskhah ini dalam medium wayang gambar di pawagam dengan sedikit elemen mistik dan seram tanpa melupakan nilai seni dan peradaban sesebuah bangsa Melayu.

"Ketika saya diperkenalkan dengan penerbit filem ini, Nevin Hiong yang mahu jalan cerita seperti ini difilemkan. saya berfikir bagaimanakah saya mahu mengembalikan khazanah seni budaya kita agar lebih dikenali. Tentunya saya merasakan Kulit Wayang ada intipatinya.

"Mengambil masa empat tahun untuk dihasilkan, saya rasa Kulit Wayang berbaloi ditonton buat mereka yang menggemari genre sebegini. 

"Saya mengakui elemen wayang kulit, dikir barat, Mak Yong dan sebagainya antara seni tradisi budaya yang saya gemari. Inilah hasilnya melalui Kulit Wayang," katanya. 

Namun bagi Pelakon Lelaki Terbaik di FFM28 menerusi filem Mat Moto, Pekin Ibrahim menganggap, Kulit Wayang adalah antara naskhah terbaik Dain Said selepas Bunohan, Interchange, Dukun dan Harum Malam, tetapi gagal dari segi promosi di pawagam.

"Saya tidak kata filem ini gagal, tetapi ia kurang mendapat perhatian masyarakat terutamanya penonton dan peminat filem. 

"Bagi saya, agak rugilah mereka yang mengetepikan filem ini. Kulit Wayang sebuah naskhah yang wajib ditonton buat semua, tetapi nak buat macam mana ia tidak mendapat sambutan. Tak bermakna filem ini gagal, bagi saya mungkin tidak ada rezeki.

"Memang diakui genre filem ini lebih kepada art (seni), tapi saya percaya ada penonton yang menyukainya. Banyak ulasan positif mengenai filem ini yang saya sudah baca, tetapi sebagai pelakon dan mereka yang terlibat dalam bidang ini, jika filem ini dibuat promosi secara besar-besaran lagi, saya pasti ia akan menjadi filem box office juga, tapi nak buat macam mana kan," katanya.

Jika dilihat dari struktur penceritaan mengikut tema bagi pembikinan sesebuah karya filem, amnya di Malaysia, karya kita sering terperangkap antara tuntutan pasaran dan warisan budaya, Kulit Wayang (2025) lahir ketika ini boleh dianggap terlalu peribadi. Ia bukan sekadar satu naratif tentang seorang dalang, tetapi suatu renungan mendalam tentang warisan, trauma, dan pencarian identiti dalam lanskap sosial yang retak oleh sejarah dan moderniti.

Dain Said, dalam karya kelima beliau ini, tidak sekadar mengarahkan filem, tetapi mempersembahkannya sebagai satu ritual – satu pentas liminal di mana sempadan antara realiti dan mitos, terang dan gelap, suara dan bayang, dileraikan perlahan-lahan.

Naratif yang Melangkaui Lineariti

Plot Kulit Wayang mengikuti kepulangan Awi, seorang dalang wayang kulit, ke kampung halaman setelah bertahun-tahun menyepi. Namun, seperti bayang-bayang yang melekat pada jasad, Awi tidak dapat melarikan diri daripada silamnya; daripada bapa yang penuh misteri, daripada warisan budaya yang cuba ditinggalkan, dan daripada kepercayaan yang semakin pudar dalam dunia moden.

Struktur naratif yang tidak linear bukanlah sekadar satu gaya; ia adalah satu kenyataan sinematik tentang bagaimana trauma dan memori berfungsi. Masa dalam filem ini bukan garis lurus, tetapi gelung ; berputar dalam ruang separa sedar Awi, yang tidak pasti sama ada dia sedang bermimpi, mengingat, atau sedang hidup semula sesuatu yang belum pernah selesai.

Bahasa Filem: Antara Ritual dan Realisme

Sinematografi dan Mise-en-Scène

Bahasa visual Kulit Wayang sarat dengan simbolisme. Kamera yang banyak bermain dengan sudut rendah, pencahayaan separa dan komposisi simetri mewujudkan satu rasa kesakralan – seolah-olah setiap babak merupakan sebahagian daripada satu persembahan ritual.

Wayang kulit, dalam konteks filem ini, bukan sekadar subjek, tetapi struktur estetik itu sendiri. Dunia dalam filem dibina seperti dunia di balik kelir – bayang-bayang lebih penting daripada jasad, dan cahaya lebih penting daripada objek yang disinari.

Palet Warna dan Bunyi

Palet warna yang kusam – dominasi ton kelabu, coklat tanah, dan merah darah – membentuk satu suasana suram dan muram. Ini bukan dunia yang hidup, tetapi dunia yang sedang menunggu untuk mati atau dilahirkan semula.

Jika dilihat pula dari sudut penataan bunyi, filem ini berfungsi sebagai naratif tersirat. Denting gamelan, gema suara dalang dan kesunyian yang panjang menjadi teks yang setara pentingnya dengan dialog. Dalam banyak babak, kesenyapan lebih lantang daripada suara yang terucap.

Dimensi Falsafah dan Budaya

Pascakolonialisme dan Identiti Budaya

Kulit Wayang adalah sebuah meditasi pascakolonial – tentang manusia yang terperangkap antara keinginan untuk bergerak maju dan kerinduan terhadap akar budaya yang ditinggalkan. Awi, sebagai watak utama, bukan hanya mewakili dalang dalam konteks literal, tetapi juga sebagai metafora untuk Malaysia moden – diheret oleh sejarah, dibayangi oleh penjajahan, dan terkapai dalam pencarian arah.

Filem ini juga menggambarkan bagaimana budaya tradisi tidak lagi berfungsi sebagai panduan moral atau spiritual yang mantap, tetapi lebih sebagai pusaka yang kehilangan konteks. Ia seperti kelir yang digantung, namun tidak lagi ditonton.

Trauma dan Psikologi Warisan

Dari segi psikoanalisis, Awi menanggung trauma yang tidak bernama. Ingatannya terhadap bapa dan ritual wayang kulit bukan nostalgia, tetapi luka yang masih berdarah. Dalam kerangka Freud, ini adalah “kembalinya yang tertindas” – memori silam yang tidak dihadapi, kini menyeruak dalam bentuk mimpi dan penglihatan.

Di sinilah Kulit Wayang menjadi bukan sekadar filem, tetapi sebuah perjalanan dalaman, semacam mimpi kolektif tentang bagaimana generasi pasca-merdeka berdepan dengan beban sejarah yang tidak sempat mereka pilih.

Estetika Keheningan

Berbeza dengan filem-filem arus perdana Malaysia yang sering sarat dengan dialog, gerak cepat, dan penceritaan langsung, Kulit Wayang berani memilih keheningan. Dalam banyak babaknya, penonton dibiarkan menunggu – bukan kerana tiada apa berlaku, tetapi kerana terlalu banyak yang sedang berlaku di bawah permukaan.

Keheningan dalam filem ini bukan kekosongan, tetapi ruang kontemplasi. Ia memaksa kita merenung – bukan hanya terhadap watak di layar, tetapi juga terhadap diri sendiri. 

Wayang Sebagai Wajah Kita

Kulit Wayang bukan sekadar sebuah filem, tetapi ia sebuah cerita tentang bagaimana kita menilai dan memahami diri kita sendiri. Lensa yang dirakamkan dari imej bayang menampakkan betapa indah dan sukarnya hidup di bumi bertuah yang mempunyai pelbagai isi dan ceritanya. Paparan kelir yang kaku di permukaannya dengan lecak paya di bawahnya serta imej mistik memberikan petanda ada 'sesuatu' yang cuba ingin disampikan pengarah dalam naskhah ini. 

Mungkin ada sebab kenapa filem ini dibikin dengan rentak 'perlahan yang mendatar' ; ini agak membosankan bagi penonton yang mungkin selalu disogokkan dengan karya-karya komersial, namun Kulit Wayang berjaya memukau seluruh pandangan dan jiwa kita melalui rakaman sinematografi dan rekaan produksinya yang menggetarkan jiwa. 

Kulit Wayang boleh dianggap sebagai sebuah karya penting dalam perbendaharaan sinema Asia Tenggara. Ia bukan karya yang mudah didekati, tetapi sukar difahami namun cantik pembinaan dan olahannya. Walaupun filem ini sudah tamat ditayangkan di pawagam, namun penulis berharap agar ia boleh ditonton di platform penstriman digital apabila ditayangkan kembali kelak. 

Filem ini mengajar kita bahawa sinema bukan hanya medium hiburan, tetapi ruang untuk ritual moden – tempat di mana kita menghadap layar, bukan sekadar untuk menonton cerita orang lain, tetapi untuk menatap bayang-bayang kita sendiri.

Dan mungkin, seperti Awi, kita semua adalah dalang yang cuba memahami cerita yang sedang kita persembahkan, dengan harapan kelir itu akan memberi makna – bukan hanya kepada penonton, tetapi kepada diri sendiri.

Tepuk dada tanya selera. 

Info: Kulit Wayang, filem kelima arahan Dain Said menampilkan Fattah Amin, Pekin Ibrahim, Ezzaty Abdullah, Amanda Ang, Zur Zamir serta dua pelakon Indonesia iaitu Reynavenzka Deyandra dan Jennairah Kamaratih Jiwa ini sudah pun menemui penonton di pawagam pada 1 Mei 2025. 

Catat Ulasan

0 Ulasan