Drama, vokal, dan debaran! Itulah rumusan pentas separuh akhir Big Stage Alpha yang berlangsung malam tadi apabila satu kejutan diumumkan; Tiada penyingkiran berlaku, dan kesemua tujuh peserta mara ke final!
Ya, anda tidak silap baca. Bukan lima, bukan enam tapi tujuh peserta bakal berentap di pentas akhir Big Stage Alpha minggu hadapan, selepas persembahan minggu ke-7 menyaksikan peningkatan ketara dalam mutu vokal dan penghayatan peserta.
Berlangsung di Shah Alam Royal Theatre, Big Stage Alpha minggu ketujuh bertemakan ‘One Step Closer' menjadi medan ujian sebenar untuk setiap peserta menggalas cabaran lagu-lagu cinta yang memerlukan teknik vokal mantap serta penghayatan jiwa yang mendalam.
Minggu ini menyaksikan Daniel Sher mengungguli dengan bergaya di tempat pertama, dengan markah keseluruhan 75.05%, manakala kekal di tempat kedua, Rizal Rasid (72.48%) dan di tempat ketiga Ray-D dengan 68.18%. Ariel Fesol (60.40%) pula berdepan dengan detik mendebarkan apabila terselamat dari penyingkiran pada minggu ini setelah mendapat undian rendah dari penonton.
Manakala Izat Ibrahim (67.30%), Araff (64.04%) dan Afiq Sky (62.83%) berada di paras selamat. Menariknya, Araff menjadi pilihan Diraf Dias untuk mengungguli carta juara pada minggu akhir yang bakal berlangsung 15 Jun depan.
Juri jemputan minggu ini Ajai, menjelaskan keputusan untuk tidak menyingkirkan mana-mana peserta adalah hasil perbincangan teliti panel juri kerana menyaksikan kesungguhan luar biasa serta konsistensi prestasi peserta sepanjang musim ini.
“Minggu ini adalah minggu paling sengit. Sukar untuk memilih siapa yang patut keluar, kerana masing-masing menunjukkan peningkatan yang luar biasa. Jadi kami putuskan, semua layak ke final,” katanya kepada media.
Persoalannya, siapakah di antara mereka bakal bergelar 'juara carta' minggu akhir (mingu ke-8) Big Stage Alpha nanti?
Big Stage Alpha Minggu 7 menampilkan Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat, Hael Husaini dan Ajai sebagai juri jemputan. Manakala Elly Mazlien dan Rina Nose sebagai pengacara utama.
0 Ulasan