SUNTIK DANA RM700K, AIM24 LEBIH GAH!

Selepas tiga tahun menyepi, Anugerah Industri Muzik (AIM) kembali memeriahkan arena seni tanah air dengan penganjuran edisi ke-24 (AIM24) yang dijadual berlangsung pada 13 September 2025 di Arena of Stars, Genting Highlands.

Dianjurkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), AIM24 bukan sekadar acara penghargaan, tetapi satu platform penting yang mengiktiraf pencapaian para penggiat muzik Malaysia sejak tahun 1993. Edisi tahun ini hadir dengan pembaharuan ketara termasuk penambahan tiga kategori baharu, peningkatan sokongan kewangan daripada kerajaan, dan perluasan cakupan untuk menonjolkan kepelbagaian serta warisan muzik Malaysia.

Kategori Baharu Cerminan Aspirasi Industri Muzik

Bagi mencerminkan realiti semasa dan memperkasa identiti muzik tempatan, tiga kategori baharu diperkenalkan iaitu Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik. 

Lagu Perpaduan Terbaik adalah bagi karya yang menonjolkan semangat kebersamaan, keharmonian dan inklusiviti antara kaum dan budaya di Malaysia.  Lagu Tradisional Terbaik, untuk menghargai ciptaan yang berakar daripada muzik warisan tempatan yang kaya dengan nilai budaya manakala Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik iaitu mengiktiraf usaha rentas sempadan artis Malaysia dalam memperluaskan bakat ke peringkat global.

Rosmin Hashim, Pengerusi RIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24 berkata kelainan yang ditampilkan di dalam penganjuran AIM24 kali ini bertitik tolak daripada kemajuan dalam industri muzik tempatan. Kemunculan pelbagai karya muzik mencerminkan kualiti penghasilan sesebuah karya bagi melahirkan generasi pelapis industri muzik yang mampu bersaing secara global dengan karya bermutu tinggi,

“Penambahan ini bukan hanya simbolik, tetapi satu komitmen jelas AIM untuk meraikan kelainan, memelihara budaya dan mengiktiraf pencapaian antarabangsa anak tempatan,” katanya. 

Dana RM700,000: Sokongan Kukuh daripada Kementerian Komunikasi

Menambahkan lagi impak AIM24, Kementerian Komunikasi Malaysia melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah MyCreative Ventures (MyCV) telah memperuntukkan sejumlah RM700,000 sebagai insentif kepada 11 pemenang kategori tertentu. Jumlah ini menunjukkan lonjakan besar berbanding RM320,000 yang diperuntukkan pada AIM23, sekali gus mengiktiraf potensi besar muzik sebagai pemacu ekonomi kreatif.

Dana ini akan disalurkan terus kepada syarikat rakaman pemenang bagi tujuan penerbitan, promosi dan pengedaran kandungan muzik yang mempunyai nilai tinggi dari aspek komersial dan seni.

“Ini bukan sahaja tentang pengiktirafan, tetapi pelaburan dalam masa depan industri muzik negara. Kami amat berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan kementerian serta MyCreative yang secara langsung memperkukuh ekosistem muzik tempatan," jelas Rosmin lagi.

Pencalonan Dibuka: Peluang Penggiat Muzik Tampil Menonjol

Penyertaan AIM24 kini dibuka kepada lagu dan album dalam empat bahasa utama iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang diterbitkan antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.

Tarikh akhir penyerahan pencalonan adalah 4 Julai 2025 jam 5.00 petang. Semua penyertaan boleh dihantar secara dalam talian melalui portal rasmi AIM di sini

Sebanyak 31 kategori dipertandingkan, termasuk kategori utama antaranya Artis Baru Terbaik, Vokal Lelaki/Wanita Terbaik, Album Terbaik, Lagu Terbaik, Lagu Rock, Pop, Rap/Hip Hop, Elektronik/Dance Terbaik serta Lagu-lagu dalam bahasa Cina, India dan Inggeris Tempatan

Selain itu, Anugerah Sri Wirama kekal sebagai penghargaan tertinggi yang diberikan kepada individu yang banyak berjasa kepada industri muzik Malaysia.

Bagi yang ingin mengetahui senarai penuh kategori AIM24 boleh dirujuk di laman web rasmi AIM. 

Penghakiman Telus dan Profesional

Penjurian AIM24 akan dikendalikan oleh panel bebas yang terdiri daripada pakar-pakar muzik tempatan merangkumi penerbit, pemuzik profesional, wartawan hiburan dan personaliti industri yang berwibawa. Ketua Juri akan dilantik khas oleh jawatankuasa penganjur dan semua markah akan diaudit secara rasmi sebelum keputusan diumumkan.

Lima (5) calon akhir bagi setiap kategori dijangka diumumkan pada Ogos 2025.

RTM: Dari Penyiar ke Rakan Strategik

Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman, menyatakan bahawa RTM amat berbesar hati untuk menjadi penyiar rasmi bagi acara berprestij ini. Menurut beliau, muzik bukan sekadar hiburan tetapi juga instrumen penting dalam membina perpaduan budaya dan sosial negara.

“Kerjasama ini selari dengan visi RTM untuk menyokong bakat tempatan dan memperluas platform kepada para artis Malaysia. Kami percaya AIM bukan sahaja mengiktiraf kreativiti, tetapi juga memberi inspirasi kepada generasi baharu,” katanya.

RTM menyasarkan untuk menjadikan siaran langsung AIM24 sebagai pengalaman menyeluruh yang menyatukan rakyat pelbagai lapisan menerusi muzik.

AIM24 bukan sekadar acara tahunan, tetapi ianya adalah simbol penghormatan, perayaan dan harapan untuk industri muzik Malaysia. Dengan komitmen pelbagai pihak, sokongan dana kerajaan dan kolaborasi strategik bersama RTM, AIM24 bersedia untuk melakar sejarah baharu dalam memartabatkan muzik tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Catat Ulasan

0 Ulasan