KISAH LUKA VALERAYY JADI PEMBUKA JALAN DALAM MUZIK

Dunia muzik tempatan kini menyambut kehadiran bakat baharu yang menjanjikan kejujuran dalam setiap bait lagunya. Valerayy, nama pentas bagi Rachel V. Anthony, secara rasmi melancarkan single sulung berjudul “Castles and Carriages” iaitu sebuah karya penuh emosi yang membuka jalan buat EP pertamanya, Castles.

Membawa suara lembut dan lirik yang menyentuh perasaan, Valerayy tidak sekadar menyanyi tetapi mendedahkan sisi paling rapuh dalam dirinya. Ia seolah-olah membuka helaian dari diari peribadi kepada dunia. 

“Kadang-kadang datang rasa sunyi dan ragu-ragu dalam diri. Tapi saya belajar untuk terima itu semua sebagai sebahagian daripada diri saya,” luahnya, menyentuh hati mereka yang pernah merasa kehilangan arah dalam hidup.

Menolak fantasi dongeng yang terlalu sempurna, Castles and Carriages secara sinis mencabar ilusi 'putera raja' dan pengakhiran bahagia. Di sebalik judul yang kedengaran romantik, tersirat naratif luka dan kekecewaan. 

“Saya tertipu mempercayai idea tentang cinta yang sempurna, dan saya mahu lagu ini menjadi kenyataan jujur tentang semua itu,” katanya.

Menariknya, seluruh EP ini disiapkan hanya dalam tempoh sebulan hasil lonjakan kreativiti yang tercetus selepas bimbingan penerbit eksekutif dan A&R, Hayze. Setelah hampir setahun berdepan kebuntuan menulis, Valerayy akhirnya kembali ke dunia penulisan sebagai bentuk terapi. 

“Saya sudah terlalu lama memendam semuanya. Sekarang saya masih belajar untuk melarikan diri dari kesakitan itu, walau hanya seketika,” ujarnya jujur.

Lebih dari sekadar album, Castles dianggap ruang penyembuhan buat Valerayy  sekali gus  buat mereka yang mendengar. 

“Saya bayangkan EP ini seperti satu ‘sleepover’ besar. Kita boleh menangis sama-sama, saling memahami walaupun kisah hidup kita tak sama,” katanya, menjadikan muzik sebagai jambatan empati dan harapan.

Dengan Castles and Carriages, Valerayy bukan sahaja memperkenalkan muziknya, tetapi juga dirinya sebagai seorang artis yang berani berdiri di atas luka, dan menyanyi dengan hati yang tulus.

Single ini kini boleh distrim di semua platform digital bermula 25 Julai 2025.

Catat Ulasan

0 Ulasan