DIBALIK PESONA MALAM AME 2025

Setelah tiga tahun menyepi, Anugerah MeleTOP ERA (AME) kini kembali menyemarakkan industri hiburan tanah air menerusi penganjuran edisi ke-9 yang dijangka menjadi malam penuh gemerlapan, dihiasi kejutan istimewa, nostalgia indah dan sorakan peminat yang tidak pernah luntur.

Mengangkat tema ‘Yang Rare, Yang Real, Yang Legend’, AME 2025 bakal disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Oktober 2025, jam 9 malam. Lebih daripada sekadar majlis penyampaian anugerah, acara berprestij ini merupakan perayaan terhadap kreativiti, kejujuran dan impak luar biasa para penggiat seni tempatan yang terus relevan merentas generasi.

Kategori Baharu, Nafas Baharu

Menampilkan 16 kategori utama, AME 2025 tampil lebih segar dengan pengenalan dua kategori baharuVokal MeleTOP dan Gandingan MeleTOP. Penambahan ini dijangka mencetuskan saingan hebat dengan penyertaan pelbagai selebriti dan ikon muzik tanah air, yang akan bertarung bagi merebut pengiktirafan tertinggi.

Sementara itu, tiga kategori utama turut diberi nafas baharu selaras dengan perkembangan semasa dalam dunia hiburan, iaitu MeleTOP Male Artiste of the Year, MeleTOP Female Artiste of the Year dan MeleTOP Group/Duo Artiste of the Year.

Langkah penstrukturan semula ini, menurut kenyataan rasmi Astro, adalah sebahagian daripada pendekatan progresif untuk memastikan bakat-bakat yang benar-benar menyerlah diberikan pengiktirafan secara adil dan menyeluruh. Ia juga menandakan keyakinan bahawa industri muzik Malaysia kini bersedia melangkah lebih jauh di persada serantau mahupun global.

Gandingan Hos Berpengaruh & Persembahan Penuh Gemerlapan

Menambah kemilau dan eksklusiviti malam anugerah, pentas Anugerah MeleTOP ERA 2025 bakal dikemudi oleh barisan pengacara yang cukup sinonim dengan jenama MeleTOP — Nabil Ahmad, Namie, dan Hawa Rizwana — digandingkan bersama figura serba boleh dan berkarisma, Sherry Alhadad. Keempat-empat hos ini bukan sahaja berpengaruh dalam industri, tetapi turut dikenali dengan daya tarik serta kepakaran mereka dalam menghidupkan suasana secara langsung.

Lebih menarik, malam kemuncak itu akan diserikan dengan persembahan istimewa daripada selebriti-selebriti terkemuka tanah air seperti Nadeera Zaini, Ernie Zakri, Mimi Fly, dan ramai lagi yang akan diumumkan tidak lama lagi. Gabungan persembahan vokal mantap dan produksi pentas berkualiti tinggi dijangka menjadikan AME 2025 sebagai sebuah malam hiburan yang menggugah emosi dan mengukir kenangan manis buat jutaan penonton.

Senarai Penuh Kategori AME 2025:

  1. Lagu MeleTOP ERA
  2. Penyanyi MeleTOP ERA
  3. Grup/Duo MeleTOP ERA
  4. Vokal MeleTOP (Kategori Baharu)
  5. Filem MeleTOP
  6. Drama MeleTOP
  7. Program MeleTOP
  8. Pelakon MeleTOP
  9. Gandingan MeleTOP (Kategori Baharu)
  10. Artis Baharu MeleTOP
  11. Si Cilik MeleTOP
  12. Artis Versatil MeleTOP
  13. Influencer MeleTOP
  14. MeleTOP Male Artiste of the Year (Kategori Diperbaharui)
  15. MeleTOP Female Artiste of the Year (Kategori Diperbaharui)
  16. MeleTOP Group/Duo Artiste of the Year (Kategori Diperbaharui)

AME : Pentas Ikonik Pengiktirafan Hiburan Malaysia

Sejak edisi sulungnya, Anugerah MeleTOP ERA (AME) telah berkembang menjadi sebuah jenama ikonik yang menjadi simbol pengiktirafan populariti dan pencapaian dalam industri hiburan tanah air. Ianya merangkumi pentas nyanyian, dunia lakonan, televisyen serta platform digital. 

Dengan sokongan luar biasa daripada peminat serta keterlibatan aktif para selebriti tempatan, AME 2025 dijangka terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara anugerah paling berprestij, berpengaruh dan paling dinantikan setiap tahun oleh jutaan penonton.

Jangan lepaskan kemuncaknya!. Saksikan siaran langsung Anugerah MeleTOP ERA 2025 pada 12 Oktober 2025, hanya di Astro Ria (Saluran 104) atau strim secara eksklusif melalui Astro GO dan sooka. 

Catat Ulasan

0 Ulasan