Bukan suatu hal yang mudah untuk menyatukan dua figura seni ini di pentas yang sama. Meskipun berkongsi gelanggang dalam dunia muzik, bagi Ernie Zakri, pentas Malam Nostalgia Tahun Baharu yang bakal berlangsung pada malam 31 Disember nanti membawa makna istimewa. Ianya bukan sahaja sebagai persembahan akhir tahun, tetapi juga sebagai momen yang menyatukan kembali dua bintang berbakat besar, Syamel dan Ernie Zakri bersama DJ Fuzz, dalam satu persembahan eksklusif yang dijangka memukau khalayak.
Memilih Le Méridien Petaling Jaya sebagai pentas utama, Malam Nostalgia Tahun Baharu bukan sekadar sebuah persembahan, ia adalah acara makan malam eksklusif yang disulami keindahan memori dan melodi. Bukan sebuah konsert dalam erti kata biasa, acara ini menjanjikan pengalaman penuh rasa, diiringi alunan harmoni tiga suara istimewa, Ernie Zakri, Syamel dan DJ Fuzz yang bakal menggamit emosi menerusi rangkaian lagu popular pilihan, dipersembahkan dengan penuh rasa, gaya dan pesona.
Acara istimewa ini dibawakan secara eksklusif melalui kolaborasi bersama Universal Music Malaysia dan dijadualkan berlangsung selama tiga jam di Grand Ballroom hotel berkenaan.
Menampilkan persembahan oleh Ernie Zakri, Syamel dan DJ Fuzz, acara ini bakal menyajikan lebih 30 buah lagu merentas pelbagai genre. Meskipun bukan berskala konsert mega, ia tetap menjanjikan sebuah pengalaman istimewa yang penuh nostalgia buat para hadirin, dengan peluang merakam momen indah serta menyaksikan secara lebih intim persembahan tiga figura hebat tanah air di atas satu pentas.
Lebih istimewa, DJ Fuzz akan menghidupkan suasana menjelang detik 12 malam dengan set muzik bertenaga, menyuntik semangat baharu sempena sambutan tahun baharu 2026.
Sementara itu, penyanyi tersohor Ernie Zakri, 33, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, menyifatkan acara Nostalgia bukan sekadar makan malam biasa, sebaliknya sebuah persembahan yang penuh eksklusif dan menyentuh emosi.
“Saya amat menantikan peluang untuk bersama para peminat dalam suasana yang begitu eksklusif dan peribadi. Nostalgia ini bukan sekadar konsert, ia adalah sebuah malam yang membolehkan saya berkongsi kenangan, emosi dan isi hati secara langsung kepada setiap tetamu yang hadir.
“Saya berharap persembahan ini mampu meninggalkan detik bermakna yang akan dikenang sepanjang hayat. Semoga yang hadir dapat merasai apa yang saya sampaikan, dan membawa pulang memori indah bersama,” ujarnya penuh harapan.
Bagi penyanyi Syamel, 32, atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, beliau tidak menyembunyikan keterujaannya untuk tampil memberikan persembahan terbaik pada malam Nostalgia.
“Sebagai seorang penghibur, tiada yang lebih bermakna daripada menutup tirai tahun bersama individu yang benar-benar menghargai karya dan muzik saya. Nostalgia merupakan pentas istimewa untuk saya meluahkan rasa syukur, dan saya berjanji akan memberikan persembahan yang paling berkesan malam itu,” katanya penuh semangat.
Sementara itu, Pengurus Besar Le Méridien Petaling Jaya, Christopher Moore, menyifatkan Nostalgia bukan sekadar sebuah sambutan tahun baharu, tetapi satu penghormatan kepada warisan muzik sepanjang zaman, momen yang bermakna serta hospitaliti bertaraf dunia.
“Kami berasa amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Universal Music Malaysia dalam merealisasikan sebuah pengalaman eksklusif yang meraikan semangat perpaduan, nostalgia dan kegembiraan sempena permulaan tahun baharu,” ujar beliau.
Para tetamu yang hadir bakal menikmati sajian eksklusif berupa empat hidangan premium Barat yang direka khas oleh pasukan kulinari Le Méridien Petaling Jaya — menambahkan cita rasa istimewa pada malam penuh magis yang menggabungkan keindahan muzik, kelezatan makanan dan memori abadi.
Tiket acara Nostalgia ditawarkan dalam empat kategori meja eksklusif — Silver (RM6,000), Gold (RM8,000), Diamond (RM10,888) dan Platinum (RM13,999). Jualan tiket akan mula dibuka secara rasmi di laman web Nostalgia NYE bermula 8 Ogos ini.
.png)




0 Ulasan