ALPHA TAMPIL LEBIH MATANG DENGAN 'P.RAMLEE & SALOMA'

Selepas mencetuskan fenomena menerusi kemunculan sulung mereka dengan lagu bertenaga Mona Lisa (Bang Bang), kumpulan lelaki sensasi serba baharu, Alpha sekali lagi mencabar batasan muzik arus perdana menerusi karya kedua bertajuk P. Ramlee & Saloma :sebuah balada emosional yang menyentuh jiwa dan menyingkap sisi baharu kematangan mereka.

Diterbitkan sepenuhnya di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, lagu ini merupakan hasil gabungan kreatif tiga komposer prolifik, antaranya Justin Seow, Mohsein Kush dan RFE. Karya ini bukan sekadar pelengkap diskografi, tetapi sebuah deklarasi artistik yang menandakan evolusi sonik Alpha sebagai kumpulan yang versatil dan progresif dalam pendekatan muzik mereka.

Lebih dari sekadar penjelajahan genre, P. Ramlee & Saloma membuktikan keberanian tujuh anggota Alpha, Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky dalam bereksperimen dan menyampaikan naratif muzik yang lebih matang, jujur serta penuh rasa.

Daripada Layar Realiti ke Dunia Sebenar

Kisah Alpha bukan bermula dengan kebetulan. Mereka merupakan hasil pencarian teliti menerusi program realiti Big Stage Alpha, sebuah cabang eksklusif daripada program popular Big Stage, khusus mencari ikon lelaki serantau.

Seramai 18 peserta daripada Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia telah melalui lapan minggu cabaran intensif, dinilai oleh juri-juri ternama antaranya, Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini. Hanya tujuh yang terunggul terpilih untuk membentuk kumpulan akhir dalam melahirkan Alpha sebagau satu unit dinamik yang lengkap dengan vokal bertenaga, karisma, gaya dan persona tersendiri.

Alpha: Nama yang Membawa Makna

Bagi mereka, Alpha  bukan sekadar nama semata-mata, ianya adalah simbol kekuatan, permulaan dan kepimpinan. Di sebalik latar belakang berbeza, ketujuh-tujuh anggota ini disatukan oleh satu misi dalam mengangkat muzik Asia Tenggara ke pentas antarabangsa dengan karya yang segar, berani dan berjiwa global.

Kejayaan single sulung mereka, Mona Lisa (Bang Bang) iaitu sebuah pop moden berpadu elemen K-pop yang bertenaga di mana ianya telah meraih lebih 250,000 tontonan di YouTube hanya dalam beberapa minggu selepas dilancarkan, membuktikan magnetisme dan potensi luar biasa kumpulan ini.

Rocketfuel Entertainment: Pelantar Bintang Serantau

Pelancaran Alpha merupakan manifestasi komitmen Rocketfuel Entertainment dalam mencungkil dan menggilap bakat serantau. Menurut Ketua Rocketfuel, Sher Leen Wee, pihaknya percaya bahawa bintang-bintang Asia Tenggara mampu menembusi pasaran global dengan sokongan serta ekosistem yang tepat.

“Kami percaya, dengan platform dan bimbingan yang berstruktur, bakat dari rantau ini mampu menjulang nama ke pentas dunia. Alpha adalah cerminan masa depan muzik serantau dalam acuan antarabangsa,” jelas Sher Leen dengan yakin.

Kini Boleh Didengari di Seluruh Dunia

Single P. Ramlee & Saloma kini boleh distrim melalui semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music, manakala video muzik rasmi bakal menemui peminat tidak lama lagi di saluran @RocketFuelNetwork.

Dengan dua single yang mencerminkan dualiti gaya dari beat moden bertenaga ke balada emosional penuh jiwa Alpha kini bersedia mengemudi gelombang baharu muzik pop serantau dengan gaya tersendiri.

Catat Ulasan

0 Ulasan