Watak animasi kebanggaan negara, Ejen Ali, terus mengukir pencapaian antarabangsa apabila secara rasmi mewakili Malaysia di pentas berprestij World Expo 2025 yang sedang berlangsung di Osaka, Jepun.
Sebagai lambang aspirasi belia Malaysia dalam era digital dan teknologi masa hadapan, kehadiran Ejen Ali di Pavilion Malaysia bukan sahaja memperkukuh kedudukan industri animasi tempatan, malah memperlihatkan kematangan serta daya saing kandungan kreatif negara di peringkat global.
Turut disertai watak Ejen Alicia, kehadiran kedua-dua ikon animasi ini berjaya mencetus keterujaan dalam kalangan pengunjung antarabangsa. Barisan panjang untuk bergambar bersama wira animasi Malaysia itu menjadi bukti tarikan kuat yang dimiliki oleh IP tempatan di pentas dunia.
Menampilkan mesej universal berteraskan keberanian, integriti dan kesetiaan, Ejen Ali membawa naratif yang mampu merentas budaya dan bahasa. Walaupun ramai pengunjung di Osaka kali pertama diperkenalkan kepada watak ini, visual dinamik serta jalan cerita penuh semangat yang ditayangkan berjaya menarik perhatian mereka dengan pantas. Malah, sebilangan besar pengunjung turut mengambil inisiatif untuk mengetahui lebih lanjut mengenai siri ini melalui carian dalam talian.
Salah satu momen paling menyentuh hati sepanjang penglibatan Malaysia di ekspo ini adalah apabila seorang kanak-kanak Jepun yang menonton treler Ejen Ali, kembali ke pavilion sambil berkata, “I want to be like him!”. Kenyataan ini merupakan sebuah pengiktirafan jujur terhadap kesan mendalam karakter tersebut dalam menyampaikan nilai dan aspirasi yang bersifat sejagat.
Encik Usamah Zaid Yasin, Pengarah Ejen Ali The Movie 2 dan Ketua Pegawai Kandungan WAU Animation, turut hadir ke Pavilion Malaysia pada 21 dan 22 Julai lalu bagi berkongsi pandangan tentang pembangunan francais Ejen Ali serta wawasan syarikat dalam menerajui kandungan animasi bertaraf dunia.
Sesi perkongsian tersebut menerima sambutan hangat daripada pengunjung pelbagai latar belakang, termasuk pemain industri kreatif Jepun yang menunjukkan minat terhadap potensi kerjasama masa hadapan bagi membuka pintu kepada kolaborasi animasi antara Malaysia dan Jepun.
World Expo 2025 yang berlangsung dari 13 April hingga 13 Oktober 2025, dijangka menerima lebih 28 juta pengunjung dari seluruh dunia. Platform ini menghimpunkan idea, teknologi dan budaya dari pelbagai negara dan penyertaan Ejen Ali memperkukuh kehadiran Malaysia dalam bidang kandungan kreatif, pendidikan digital dan diplomasi budaya global.
Selepas mencetus impak di Indonesia dan kini di Jepun, persoalan mula timbul: ke manakah misi Ejen Ali akan diteruskan selepas ini? Satu perkara yang pasti – kerja kita belum selesai!
.png)


0 Ulasan