Dalam dunia muzik, jarang sekali muncul figura yang bukan sahaja kekal relevan merentas generasi, tetapi terus mencipta magis dalam setiap langkah seninya. Dato’ Sheila Majid, ikon muzik negara yang telah mengharungi lebih 40 tahun dalam industri, membuktikan bahawa seni sejati tidak pernah pudar.
Tahun ini, beliau menyambut ulang tahun ke-40 kerjayanya dengan peluncuran single terbaharu berjudul Moving On — sebuah karya penuh semangat, keberanian dan pengharapan.
Jika kebanyakan artis memilih untuk bernostalgia, Sheila memilih untuk melangkah ke hadapan. Moving On bukan sekadar lagu baharu, ianya adalah cerminan perjalanan hidup, penyembuhan emosi dan pernyataan tegas bahawa beliau masih di sini, tetap membara, dan terus mara.
Ketika bercakap kepada media sejurus selepas majlis peluncuran single tersebut, pelantun suara Sinaran ini berkata, perubahan masa di dalam genre muzik melalui kemajuan teknologi semasa harus diguna pakai selari dengan imej beliau sebagai seorang legenda. Oleh hal demikian, Moving On muncul selari dengan pembaharuan dari segi muzik tetapi tetap menyentuh elemen 80an di dalam pembinaan muziknya.
“Saya tidak kejar trend. Saya mengejar rasa, mengejar jiwa. Saya selalu merasakan apakah perjuangan saya benar-benar direstui tuhan?. Apakah satu hari nanti orang masih mengenali saya sebagai Sheila Majid? Untuk lagu ini saya mahu sesuatu yang nampak segar malah lebih hebat dari karya muzik yang pernah membawa nama hebat beliau bukan sahaja di Malaysia malah merantau jauh ke luar negara,” katanya.
Diproduksi bersama penerbit muzik ternama dari Korea Selatan, Hyuk Shin, Moving On menggabungkan elemen disko era 80-an dengan sentuhan moden. Nadanya mengimbau zaman Donna Summer dan Diana Ross, tetapi dengan nadi dan nafas generasi kini. Lagu ini berdansa dalam semangat city pop, namun sarat dengan mesej untuk melepaskan beban, memeluk keyakinan dan terus melangkah.
Dalam nada lembut tetapi tegas, Sheila menyampaikan mesej yang amat relevan; dunia berubah, diri berubah namun jiwa harus terus percaya.
“Lagu ini memberi saya inspirasi untuk terus berkarya kerana saya lihat dunia sudah berubah, dan saya berubah juga. Tapi saya tetap kenal siapa saya. Dan untuk Moving On saya mahu semua merasakan hal yang sama iaitu muzik dan bagaimana lagu ini menyentuh jiwa pendengar," katanya.
Menariknya, pandemik telah membuka lembaran baharu buat Sheila apabila lagu-lagu lamanya seperti Sinaran mula dinikmati oleh generasi muda. Momentum ini menjadi pencetus semangat untuk menghasilkan karya yang boleh menjembatani dua dunia yang lama dan yang baharu.
Bersama Moving On, Sheila bukan hanya mempersembahkan muzik; beliau menghadiahkan pelukan buat jiwa-jiwa muda yang masih mencari diri dalam hiruk-pikuk dunia digital. Lagu ini adalah suara penyembuhan dan dorongan — dari seorang legenda yang tahu erti luka dan kekuatan.
“Sheila bukan sekadar legenda. Dia masih mencipta dan mengilhamkan karya indah,” ujar Kim Lim dari Universal Music Malaysia. “Dan Moving On membuktikan bahawa seni sebenar akan sentiasa ada tempat di hati pendengar," katanya.
Empat Dekad, Tak Pernah Hilang Arah
Sejak kemunculan sulungnya pada awal 1980-an, Sheila Majid telah mendefinisikan semula muzik tempatan dengan gaya unik yang menggabungkan jazz, R&B dan pop kontemporari. Lagu-lagu ikonik seperti Legenda, Sinaran dan Antara Anyer dan Jakarta bukan sahaja mewarnai kanvas muzik tanah air, malah menembusi pasaran antarabangsa termasuk Indonesia, Jepun, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Dikenali sebagai Ratu Jazz Malaysia, beliau juga telah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Industri Muzik, Anugerah BASF Indonesia dan pelbagai anugerah persembahan peringkat antarabangsa.
Dan hari ini, dengan Moving On, Sheila Majid sekali lagi membuktikan bahawa muzik bukan sekadar bunyi, tetapi perjalanan jiwa yang tulus.
Inilah perjalanan sejati seorang anak seni yang berakar lebih 4 dekad mewarnai industri muzik dan hiburan.
Sebagai rekod, beliau bukan sahaja di kenali sebagai penyanyi, malahan bintang bertubuh genit ini pernah membintangi tiga buah filem, antaranya Ali Setan (1985), Bayi Tabung (1988) dan Sinaran (2015).



0 Ulasan