Nama Fajar Noor mungkin baharu dalam radar industri muzik Malaysia, namun penyanyi muda bersuara merdu ini telah pun memikat jutaan hati di tanah kelahirannya apabila muncul sebagai naib juara Indonesian Idol musim ke-13. Kini, bintang yang sedang menyinar ini mengorak langkah ke peringkat serantau dengan kunjungan promosi pertamanya di Kuala Lumpur.
Selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos, Fajar membawa misi memperkenalkan single sulungnya Tahta Hatiku #Pendampingmu, ciptaan maestro muzik Indonesia, Yovie Widianto, dengan lirik oleh Arsy Widianto. Kehadirannya disambut meriah oleh media tempatan dan para peminat yang tidak sabar menyaksikan persembahan langsungnya.
Jadual promosinya agak padat memandangkan pada sesi rakaman televisyen, temu bual media, fotografi, hinggalah makan malam eksklusif bersama peminat bertuah. Namun di tengah kesibukan itu, Fajar tetap tenang, membawakan mesej cinta yang tulus melalui lagunya.
“Tahta Hatiku #Pendampingmu adalah tentang mencintai dalam senyap. Kadang-kadang, kita tidak dapat memiliki orang yang kita sayangi sepenuhnya, tetapi kita memilih untuk tetap berada di sisi mereka. Saya rasa ramai yang pernah merasakan situasi itu," ujar Fajar dengan renungan tajam yang menggoda.
Lagu ini, katanya, mencerminkan sisi peribadinya yang tidak gemar menzahirkan cinta secara terang-terangan. Menurutnya, kepuasan pendengar adalah yang utama.
“Saya lebih suka biarkan karya saya bercerita. Sambutan positif di Indonesia benar-benar memberi semangat, dan saya berharap ia juga dapat menyentuh hati rakyat Malaysia,” tambahnya.
Bagi Fajar, lawatan ini adalah langkah pertama untuk membina empayar muzik di luar sempadan Indonesia. Dengan sokongan Universal Music Malaysia serta gelombang peminat yang kian bertambah di media sosial dan platform penstriman, beliau yakin masa depannya cerah.
“Saya mahu menjalin hubungan yang erat dengan peminat Malaysia. Ini hanyalah permulaan, dan saya pasti akan kembali dengan lebih banyak lagu serta persembahan,” katanya penuh keyakinan.
Dengan bakat vokal, personaliti rendah hati, dan karya yang membelai emosi, Fajar Noor kini bersedia menawan hati peminat Malaysia sebelum melangkah lebih jauh ke pentas antarabangsa.



0 Ulasan