LEGASI P. RAMLEE : SIMFONI CINTA WARISAN

Sebagai tanda penghormatan agung terhadap khazanah muzik warisan tradisi Melayu klasik yang pernah mewarnai zaman keemasan seni tanah air, TanahAir Films Sdn. Bhd. mempersembahkan sebuah konsert eksklusif, Konsert Legasi P. Ramlee yang bakal berlangsung pada 20 September depan.

Bertempat di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur, malam istimewa ini dijanjikan sebagai sebuah pengalaman magis yang mengangkat kembali kehebatan karya-karya abadi Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee. Dalam gemerlapan cahaya dan alunan muzik yang menyentuh nurani, enam bintang seni suara tanah air bakal menghidupkan pentas dengan persembahan yang bukan sahaja mempesona, tetapi juga membuai emosi dan mencuit kenangan silam.

Antara nama-nama besar yang bakal menjelmakan keajaiban malam tersebut termasuklah Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, Liza Hanim, Mimi Fly dan Nadeera. Mereka akan menyampaikan lebih 30 buah lagu ikonik ciptaan P. Ramlee ; naskhah-naskhah agung yang tidak lapuk dek zaman, menggamit rasa rindu dan kekaguman yang tidak pernah pudar.

Satu Malam, Sejuta Kenangan

Konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik. Ia adalah pelayaran emosi menelusuri detik-detik manis dan getir perjalanan seorang seniman yang membentuk wajah hiburan negara. Dari layar perak ke pentas konsert, legasi P. Ramlee bakal diterjemahkan semula dalam sebuah pementasan ikonik yang sarat dengan nilai sejarah, kasih, harapan dan cinta.

Gabungan Maestro, Lagenda & Bintang Masa Kini

Keunikan konsert ini turut diserlahkan menerusi gabungan luar biasa empat maestro muzik terkemuka tanah air, antaranya Dato’ Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen. Di bawah pimpinan mereka, sebuah orkestra megah terdiri daripada 60 pemuzik profesional bakal mengalunkan semula irama-irama keramat P. Ramlee dengan susunan muzik yang menyentuh kalbu dan menjangkaui sempadan masa.

Kehadiran empat figura berpengaruh ini bukanlah kebetulan, kerana mereka pernah menjadi nadi penting di sebalik kejayaan nama-nama besar seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sendiri, Allahyarham Dato’ Sudirman Arshad, Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini, dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Maka, konsert ini bukan sahaja satu penghormatan, tetapi juga satu kesinambungan warisan seni yang kekal abadi.

Magis Sang Legenda Dihidupkan Kembali

Sebagai pelengkap kemeriahan, tiga impersonator terbaik negara, P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee bakal membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan P. Ramlee. Dengan pesona, lenggok suara dan karakter yang mirip sang legenda, persembahan mereka dijangka membangkitkan rasa kagum dan nostalgia yang mendalam, dalam suasana pentas yang moden namun sarat dengan sentuhan klasik.

Tiket Bertemakan Watak Filem Ikonik

Bukan sekadar persembahan muzik, ini adalah satu pelayaran magis ke dalam dunia P. Ramlee. Penonton akan disajikan dengan sebuah pengalaman sinematik yang menggabungkan muzik, lakonan dan keajaiban pentas, menjelmakan kembali aura sang seniman agung dalam persembahan eksklusif yang penuh emosi dan dinanti-nantikan ramai.

Lebih istimewa, kategori tiket konsert ini diinspirasikan terus daripada watak-watak ikonik filem P. Ramlee!
Setiap pembelian bukan sekadar tiket, ia adalah pas masuk ke dalam sebuah babak sinematik hidup di mana anda sendiri menjadi sebahagian daripada naskhah warisan.

Tiket mula dijual sejak 26 Jun lalu menerusi laman rasmi Legasi P. Ramlee, dengan harga bermula serendah RM288 bagi kategori Pak Maon, sehinggalah ke kategori eksklusif Nyonya Mansor (VIP) berharga RM1,488.

Antara nama tiket yang mencuri tumpuan termasuklah:

  • Pak Maon (RM288)
  • Abdul Wahub (RM488)
  • Sarjan Hassan (RM688)
  • Abang Jamil (RM888)
  • Kassim Selamat (RM1,088)
  • Nyonya Mansor – VIP (RM1,488)

Dengan pembelian tiket ini, anda bukan hanya hadir sebagai penonton, tetapi anda hadir sebagai pewaris rasa, penikmat seni dan pencinta legasi sebuah nama yang tidak pernah mati: P. Ramlee.

 “Bukan Sekadar Konsert, Tapi Pengembaraan Jiwa”

Menurut Dato’ Khairul Anwar Salleh, Pengarah Eksekutif TanahAir Films berkata, konsert ini bukan hanya sebuah persembahan seni semata-mata, tetapi merupakan sebuah tanda penghormatan tertinggi terhadap warisan budaya bangsa. Ia adalah lambang kasih dan penghargaan terhadap seni klasik yang membentuk jati diri Malaysia sejak sekian lama.

“Konsert ini adalah jambatan seni antara generasi. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi satu perayaan kepada nilai budaya yang kekal hidup dalam jiwa rakyat. Melaluinya, kami ingin setiap peminat muzik merasai bagaimana roh dan semangat ikon budaya negara, Tan Sri P. Ramlee, terus hidup melalui legasi muziknya. Inilah jiwa sebenar yang kami tampilkan dalam Legasi P. Ramlee, 20 September 2025, katanya penuh makna.

Sementara itu, Adlin Aman Ramlie, selaku pengarah artistik konsert, menggambarkan pementasan ini sebagai sebuah pengembaraan sinematik merentas masa, zaman dan pemikiran manusia, yang diterjemahkan melalui karya-karya agung Allahyarham P. Ramlee, karya yang sarat dengan bahasa seni dan falsafah hidup yang mendalam.

“Kami tidak sekadar mahu mengangkat muzik, tetapi mahu membina satu dunia, iaitu dunia P. Ramlee yang dihidupkan semula di atas pentas. Setiap tajuk lagu, setiap babak persembahan, adalah nadi kepada sejarah muzik dan perfileman Melayu yang membentuk peradaban seni serantau,” ujar Adlin.

Lebih menarik, menurutnya lagi, pemilihan nama-nama watak ikonik sebagai kategori tiket bukan dibuat secara sembarangan, tetapi sebagai satu naratif pentas yang berlapis dan penuh jiwa.

“Setiap zon tempat duduk melambangkan satu fasa atau babak kehidupan P. Ramlee;  daripada gejolak emosi seorang Kassim Selamat, hingga semangat perjuangan seorang Sarjan Hassan. Ini bukan konsert biasa; ia adalah pengalaman teater muzik yang menyatu rasa, warisan dan kenangan dalam satu malam bersejarah, tambahnya lagi.

Dengan dukungan padu daripada pelbagai agensi kerajaan  termasuk Arkib Negara Malaysia, FINAS, Kementerian Komunikasi, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta Istana Budaya ,Konsert Legasi P. Ramlee tampil sebagai nadi utama dalam pelaksanaan Projek Perdana P. Ramlee.

Acara yang penuh prestij ini bakal berlangsung pada 20 September 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, jam 8.30 malam menandakan sebuah peristiwa agung yang merangkai seni, warisan dan kenegaraan dalam satu persembahan luar biasa.

💫 Tandakan tarikh anda — jangan lepaskan peluang menyaksikan satu detik sejarah seni negara yang bakal dikenang sepanjang zaman. 

Catat Ulasan

0 Ulasan