AIM24: SITI NURHALIZA IKON SEPANJANG ZAMAN

Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) membuktikan sekali lagi bahawa ia adalah pentas paling berprestij dalam meraikan pencapaian seni muzik tanah air. Dengan tema Kemuncak Segala-Galanya, acara yang berlangsung di Arena of Stars, Resorts World Genting malam tadi itu menyaksikan lebih 4,000 penonton hadir meraikan keunggulan para penggiat muzik tempatan.

Disiarkan secara langsung menerusi RTM TV2, RTM Klik dan Nasional FM, AIM24 tahun ini dikuasakan oleh Samsung Galaxy A56 & A36 5G, serta menerima sokongan padu daripada Kementerian Komunikasi, Lavabell dan Resorts World Genting selaku Lokasi Rasmi.

Sorotan Malam Penuh Magis

Dikemudi pasangan pengacara serasi, Sherry Al Hadad dan Alif Satar, pentas AIM24 bergemerlapan dengan persembahan mantap daripada barisan artis ternama seperti Dolla & Tobii, Ara Johari, Black Hanifah, Shila Amzah, Uriah See, Masdo, Ernie Zakri, Anggi Marito, Ade Govinda, Exits, Luca Sickta, Kmy Kmo, Salammusik serta Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Karpet Merah yang berlangsung seawal jam 7 malam turut mencuri perhatian, dikendalikan oleh duo lincah Syafiqah Ishak dan Irfan Syahmi, memperlihatkan gaya serta pesona bintang-bintang tanah air.

Dana Kandungan Kreatif Lonjak Industri

Bagi penganjuran kali ini, Kementerian Komunikasi menyalurkan Dana Kandungan Kreatif (DKD) bernilai RM700,000 melalui My Creative Ventures. Sebanyak 11 pemenang menerima manfaat ini; dengan 10 kategori menerima RM50,000 masing-masing, manakala Album Terbaik menerima dana khas RM200,000, sekali gus memberi nafas segar kepada usaha pembangunan industri muzik tempatan.

Kategori Baharu, Persaingan Lebih Sengit

AIM24 turut memperkenalkan empat kategori baharu iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik serta Kugiran Terbaik menandakan komitmen penganjur dalam mengiktiraf kepelbagaian muzik dan bakat baharu yang terus mencorakkan landskap seni negara.

Antara pemenang besar malam itu ialah Aina Abdul yang menggondol Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik serta Lagu Terbaik menerusi karya emosinya Jangan Mati Rasa Itu.

Ryenald Guntabid pula mencatat sejarah dengan kemenangan berganda sebagai Artis Baharu Terbaik dan Vokal Lelaki Terbaik menerusi lagu Lumangad Oku Dika.

Faizal Tahir juga menyerlah apabila meraih Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik bersama M. Nasir (Campak Bintang), di samping memenangi kategori Lagu Perpaduan Terbaik dan Lagu dengan Hasilan Video Tertinggi di TikTok.

Anugerah Sri Wirama: Pengiktirafan Legenda

Kemuncak paling beremosi malam itu pastinya apabila Dato’ Sri Siti Nurhaliza menerima Anugerah Sri Wirama, anugerah tertinggi AIM yang hanya dianugerahkan kepada tokoh muzik dengan sumbangan luar biasa terhadap industri.

Sejak diperkenalkan pada 1993, Sri Wirama pernah disandang oleh nama-nama agung seperti Tan Sri P. Ramlee (anumerta), Alleycats, Datuk M. Nasir, Datuk Sheila Majid, KRU dan Search. Tahun ini, giliran Siti Nurhaliza antara ikon yang sinonim dengan kegemilangan muzik Malaysia  untuk diangkat sebagai penerima.

Dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang, Siti mula menawan hati rakyat Malaysia selepas menjuarai pertandingan Bintang HMI 1995. Album sulungnya setahun kemudian melonjakkan beliau ke status fenomena, seterusnya mengukir kejayaan demi kejayaan dengan lebih 20 album studio, puluhan anugerah tempatan dan antarabangsa, termasuk 42 kemenangan di AIM sepanjang kerjayanya.

Lebih daripada sekadar penyanyi, Siti juga menjadi lambang ketekunan, disiplin dan profesionalisme seorang anak seni. Kejayaannya bukan sahaja mengangkat martabat muzik Melayu, tetapi turut meletakkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Penganugerahan Sri Wirama di AIM24 ini sekaligus meneguhkan lagi status beliau sebagai “voice of a generation” dan ikon budaya yang kekal relevan merentasi zaman.

Sokongan Padu

AIM24 turut disokong oleh rakan strategik antaranya Premiera Hotel Kuala Lumpur, F&N Beverages & Marketing, RCD Concepts Sdn Bhd dan Timeless Studio. Turut hadir memberikan sokongan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik & Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi, Encik Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Pengarah Penyiaran, Dato’ Suhaimi Sulaiman; serta Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia & Jawatankuasa Penganjur AIM24, Encik Rosmin Hashim.

Catat Ulasan

0 Ulasan