Filem Magik Rompak arahan Adrian Teh hadir dengan cita-cita besar iaitu menggabungkan genre rompakan (heist) dan silap mata dalam skala produksi bernilai jutaan ringgit. Namun di sebalik kemeriahan visual dan bajet besar, timbul persoalan mendasar: adakah karya ini benar-benar satu inovasi, atau sekadar adaptasi formula Hollywood dengan sedikit bumbu tempatan?
Inspirasi Antarabangsa, Bayangan yang Terlalu Jelas
Tidak dapat dinafikan, Magik Rompak sarat dengan inspirasi daripada filem-filem antarabangsa seperti Ocean’s Eleven dan Now You See Me. Formula sekumpulan watak bersatu dalam misi berisiko tinggi, disulami helah dan magis, telah lama teruji sebagai “resipi kejayaan” di Hollywood.
Namun di sinilah muncul kritikannya: sejauh mana filem ini benar-benar berdiri sebagai naskhah Malaysia, dan bukan hanya cerminan karya luar yang diberi wajah baharu? Penonton tempatan yang celik filem barat mungkin melihat Magik Rompak sebagai “versi Malaysia” kepada sesuatu yang mereka sudah pernah tonton sekali gus ianya mengurangkan elemen kejutan serta nilai kebaruan.
Adrian Teh: Konsisten dengan Skala, Kurang Eksperimen
Pengarah Adrian Teh bukan asing dalam dunia perfileman tempatan. Beliau pernah mengarahkan Paskal: The Movie (2018), Wira (2019), dan Malbatt: Misi Bakara (2023) iaitu karya-karya yang menonjol dari segi aksi, teknikal dan bajet.
Keupayaannya mengurus produksi besar memang terbukti. Namun, pola yang sama dapat dilihat: kebergantungan pada genre aksi dengan naratif yang mendekati gaya luar. Magik Rompak meneruskan legasi ini, tetapi sekali lagi memperlihatkan kekurangan dari segi keberanian untuk bereksperimen dengan naratif asli yang lebih mengakar kepada budaya atau realiti sosial Malaysia.
Kritikan Sosial: Antara Komersialisme dan Identiti
Magik Rompak harus dibaca bukan sekadar sebagai hiburan semata-mata, tetapi sebagai refleksi dilema industri filem Malaysia. Dalam usaha menyaingi produksi antarabangsa, ramai pembikin memilih jalan selamat ; meniru formula yang telah terbukti laris, lalu menyuntik sedikit elemen tempatan sebagai kosmetik.
Namun strategi ini, jika berlarutan, hanya menjadikan filem tempatan bayang-bayang kepada Hollywood. Industri filem negara mungkin berjaya menjana kutipan tiket, tetapi gagal memupuk identiti sinema yang berani, berbeza dan dikenali di mata dunia.
Perlunya Arah Baharu
Magik Rompak berjaya dari sudut teknikal iaitu kesan visual, sinematografi dan skala produksi jelas meyakinkan. Tetapi dari sisi penceritaan, ia masih berlegar dalam zon selesa. Filem ini menghiburkan, tetapi belum cukup memerdekakan sinema Malaysia daripada kebergantungan terhadap acuan luar.
Jika sinema tempatan mahu melangkah lebih jauh, ia harus melangkaui sekadar “versi Malaysia” kepada filem antarabangsa. Apa yang ditunggu penonton sebenarnya ialah karya yang berani yakni filem yang membicarakan wajah, suara dan jiwa kita sendiri.
Filem ini tidak gagal, tetapi rencahnya cukup memikat namun ada kekurangan dari segi ketulenan karya bagi pembikinan sesebuah naskhah. Membariskan lakonan hebat Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Amelia Henderson, Nadhir Nasar, Yasmin Hani, Miller Khan, Fabian Loo, Elvina Mohamad, Tay Ping-Hui, Anas Ridzuan dan ramai lagi. Magik Rompak kini di pawagam bermula 11 September 2025.
.png)

0 Ulasan