Tatkala Sore: Istri dari Masa Depan terpilih sebagai wakil rasmi Indonesia ke Academy Awards (Oscar) ke-98 bagi kategori Best International Feature Film, gema kejayaannya bergema melangkaui layar perak. Ianya menjadi helaian baharu dalam odisi panjang sinema Indonesia menuju pengiktirafan dunia.
Tradisi Panjang Menuju Oscar
Indonesia bukanlah pendatang baharu di pentas Oscar. Sejak 1987, negara ini konsisten menghantar filem untuk bersaing dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa. Namun, sehingga kini, belum ada satu pun yang berjaya menembusi senarai lima pencalonan akhir. Dari Daun di Atas Bantal (1998, Garin Nugroho) hingga Impetigore (2020, Joko Anwar), deretan usaha ini memperlihatkan tekad berterusan sinema Indonesia mencari titik temu antara naratif lokal dan citarasa global.
Dalam kerangka itu, pemilihan Sore: Istri dari Masa Depan membawa erti simbolik yang besar. Ia bukan sekadar sebuah filem romantik fantasi, tetapi mencerminkan peralihan strategi sinema Indonesia, daripada realisme sosial yang sarat wacana, kepada naratif universal yang lebih mudah menyeberang batas budaya.
Naratif Fantasi Sebagai Jambatan Global
Kekuatan Sore terletak pada keberaniannya menyatukan realisme emosi dengan fantasi perjalanan masa. Kisah cinta yang berakar pada kehidupan seharian, antara rumah tangga, takdir, dan pilihan masa depan, dihadirkan dalam bingkai magis yang mengingatkan pada tradisi fantasi romantik Hollywood, namun tetap mengekalkan ‘rasa Indonesia’ yang tulen.
Sutradara Yandy Laurens membuktikan bahawa fantasi bukan sekadar eskapisme, tetapi sebuah bahasa sinema yang ampuh untuk meraih khalayak lebih luas. Dengan naratif yang ringkas namun sarat lapisan makna, filem ini membuka ruang tafsiran: bagaimana masyarakat Asia Tenggara memaknai cinta, waktu dan masa depan.
Kekuatan Industri dan Strategi Budaya
Pemilihan ini turut mencerminkan keyakinan industri filem Indonesia yang semakin matang. Dengan meraih lebih 3 juta penonton domestik, Sore menegaskan bahawa karya popular tidak lagi wajar dipandang sebagai lawan kepada karya festival, sebaliknya mampu berfungsi sebagai duta budaya yang berdaya saing.
Langkah membawa Sore ke Oscar merupakan strategi ‘soft power’ yang seiring dengan pencapaian negara jiran, seperti Korea Selatan melalui Parasite (2019) dan Jepun dengan Drive My Car (2021). Indonesia kini menempatkan dirinya dalam arus wacana global, bukan sekadar sebagai pasaran filem terbesar di Asia Tenggara, tetapi juga sebagai penghasil naratif yang relevan dan berdaya hidup di pentas antarabangsa.
Malaysia Sebagai Pasar Kedua
Keputusan menayangkan Sore: Istri dari Masa Depan di Malaysia bermula 25 September 2025 dengan sokongan Primeworks Studio membuka ruang penting bagi dialog lintas budaya Nusantara. Langkah ini menguji sejauh mana resonansi filem tersebut mampu meresap ke dalam sensitiviti penonton di negara jiran yang berkongsi bahasa serta latar budaya.
Sekiranya sambutan di Malaysia positif, ia bakal memperkukuh hujah bahawa sinema serantau mampu berfungsi sebagai sebuah ‘ekosistem bersama' yang bukan sahaja menguasai pasaran domestik, tetapi juga berdaya saing di pentas global.
Harapan ke Peringkat Dunia
Walaupun laluan ke Oscar masih penuh cabaran. Bermula dengan penyenaraian pendek hinggalah ke pencalonan rasm. Pemilihan Sore menegaskan kemampuan sinema Indonesia untuk mengimbangi daya tarikan komersial dengan nilai artistik dan tema universal.
Dalam konteks sinema global yang kian memberi ruang kepada kepelbagaian naratif, Sore: Istri dari Masa Depan berfungsi sebagai bukti dan aspirasi bahawa karya dari Asia Tenggara memiliki keabsahan serta relevansi di pentas antarabangsa





0 Ulasan