Kekuatan sesebuah filem boleh dikatakan berkait rapat dengan runut bunyi. Runut bunyi atau lagu tema filem perlu diambil berat demi kesesuaian filem tersebut. Untuk Magik Rompak, sebuah filem arahan Adrian Teh yang dibintangi Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Amelia Henderson dan Nadhir Nasar ini mempertaruhkan paduan suara hebat Aepul Roza dari Kumpulan Drama Band dan juga Sharul Kamal.
Filem ini dijangka menjadi antara tarikan utama di pawagam apabila ditayangkan bermula 11 September 2025 nanti.
Langkah Sharul ke Rocketfuel dilihat sebagai permulaan yang penuh makna buat dirinya, sekaligus membuka peluang lebih luas dalam dunia seni suara.
“Saya amat bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar Rocketfuel Entertainment. Sebagai seorang artis, mempunyai pasukan yang sentiasa mempercayai visi saya sangat penting. Saya yakin dengan sokongan Rocketfuel, saya mampu membawa muzik saya ke tahap yang lebih jauh, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga ke peringkat serantau,” ujar Sharul.
Sejurus “Emas”, Sharul bakal membuat kejutan dengan single keduanya berjudul “Bayangan”. Berbeza dengan single pertama, lagu ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia adalah hasil ciptaan Sharul sendiri, dengan sentuhan sahabat dan kolaborator lamanya, Aepul Roza.
Sharul meluahkan rasa teruja dengan peluang ini: “Menulis dan merakam ‘Bayangan’ adalah proses yang sangat peribadi buat saya. Apabila ia dipilih sebagai OST untuk filem berskala besar seperti Magik Rompak, saya rasa bangga. Lagu ini membawa jiwa dan naratif yang saya percaya akan memberi emosi tambahan kepada penonton di pawagam.
Aepul Roza, turut berkongsi keterujaannya bekerjasama dengan Sharul: “Saya sudah lama mengenali Sharul dan tahu betapa dalamnya jiwa muzik dia. Bila dia mempelawa saya untuk terlibat dalam ‘Bayangan’, saya terus setuju kerana saya percaya dengan bakat dan visinya. Lagu ini bukan sahaja ada kekuatan melodi, tetapi juga punya cerita yang kuat, sesuai dijadikan OST.
Lagu tema rasmi filem yang bakal pecah panggung, Bayangan nyanyian Sharul Kamal bersama Aepul Roza kini boleh didapati dan boleh strim secara digital di semua platform penstriman yang sah.




0 Ulasan