KILAUAN GIMNASTIK GENERASI: PERFECT 10 - BUKAN SEKADAR CERITA

Astro Originals terus memperkukuh reputasinya sebagai peneraju naskhah tempatan yang berani, segar, dan melangkaui kebiasaan. Selepas deretan karya yang meninggalkan impak mendalam di layar kaca, jenama premium ini kini hadir dengan taruhan baharu: Generasi: Perfect 10.

Sebuah drama bersiri yang bukan sekadar mengisahkan perjalanan seorang remaja mengejar impian, tetapi juga menyelami sisi emosi, tekanan, dan perjuangan diri yang jarang sekali dipaparkan dalam drama televisyen tanah air.

Layar sukan, layar kehidupan

Bakal menemui penonton bermula 19 September 2025, siri lapan episod ini mencatat sejarah sebagai drama sukan pertama terbitan Astro Originals. Generasi: Perfect 10 mengangkat arena gimnastik profesional ; sebuah dunia penuh disiplin, ketegangan, dan pengorbanan  sebagai latar utama, sekali gus menyingkap realiti bahawa di balik kilauan pingat dan tepukan gemuruh, ada air mata, luka, serta krisis identiti yang membentuk seorang juara.

Nafas cerita terletak pada watak Ezie (lakonan Arena Wan), gadis remaja yang tidak pernah goyah terhadap cintanya pada gimnastik. Namun, apabila kelab sekolahnya ditutup secara mengejut, dia memilih untuk mencabar dirinya di akademi gimnastik paling berprestij. Keputusan itu membuka jalan penuh ranjau: persaingan sengit, dilema peribadi, dan cabaran untuk bertahan dalam dunia yang menuntut kesempurnaan mutlak.

Lebih daripada sekadar drama remaja

Generasi: Perfect 10 tidak hanya menyoroti keindahan gerak tubuh seorang atlet, tetapi turut mengetengahkan isu yang menyentuh jiwa penonton iaitu tekanan generasi muda mencari identiti, pentingnya sokongan keluarga, serta keberanian wanita dalam mendobrak batasan.

Siri ini memberi suara kepada remaja yang sering bergelut dengan dilema “siapa saya” dan “bagaimana saya harus menjadi”. Di sinilah drama ini menemukan kekuatan: ia menjadi refleksi kehidupan sebenar yang dekat dengan khalayak.

Barisan pelakon dan sentuhan istimewa

Diterajui oleh Sling Ng selaku pengarah dan Nas Addina sebagai showrunner, Generasi: Perfect 10 menghadirkan barisan pelakon yang berwibawa antaranya Arena Wan sebagai Ezie, Arabella Ellen (Victoria), Sofia Jane (Coach Sue), Ellyza Azizi (Amal), Daniel Fong (Jun), Sharifah Sakinah (Coach Farah), Qi Razali (Azfar), Sherie Merlis (Nazma) dan ramai lagi. 

Lebih istimewa, legenda gimnastik negara Farah Ann turut tampil dalam penampilan khas sambil bertindak sebagai penasihat produksi; satu suntikan autentik yang memperkayakan naratif dan memberi legitimasi pada dunia gimnastik yang dipaparkan.

Manifestasi juara dan mesej kemanusiaan

Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif Generasi: Perfect 10 merangkap Ketua Astro Shaw, berkata, siri ini sarat dengan tema yang relevan dan bersifat universal. Lebih daripada sekadar kisah fiksyen, ia memperlihatkan bagaimana disiplin serta struktur kehidupan seorang atlet berjalin dengan realiti harian. Ianya diterjemahkan dalam lapan episod penuh emosi yang membentuk sebuah naskhah dramatik dan mengesankan.

“Drama ini adalah sebuah naratif kemanusiaan dan sosial, khususnya buat gadis remaja yang sedang mencari identiti serta berjuang mengejar impian. Pada masa yang sama, ia mengangkat semangat atlet Malaysia dan komuniti yang menjadi tulang belakang mereka. Generasi: Perfect 10 adalah manifestasi ketahanan, keberanian, dan kuasa transformasi yang mendefinisikan makna seorang juara," katanya. 


Kolaborasi bersama Goodday Charge

Sebagai siri premium, Generasi: Perfect 10 turut melakar kolaborasi bersama Goodday Charge – susu diperkaya pertama di Malaysia dengan 10 nutrien penting. Melalui penempatan produk dan video khas berdurasi 30 saat, kerjasama ini menyerlahkan keserasian antara tema bertenaga drama dan gaya hidup sihat yang disasarkan.

Eksklusif di Astro dan platform digital

Penonton boleh menikmati tayangan awal Generasi: Perfect 10 secara On Demand menerusi Astro GO dan sooka mulai 12 tengah malam, atau menonton siaran di Astro Ria (104) dan Astro Citra (108) setiap Jumaat, jam 9 malam.


Generasi: Perfect 10 bukan sekadar sebuah drama hiburan. Ia adalah potret generasi muda yang berjuang menulis takdir mereka sendiri – dengan air mata, keberanian, dan semangat yang tak pernah mahu menyerah.

Catat Ulasan

0 Ulasan