ABU SI RAKSASA: EKSPERIMEN SINEMA ATAU GIMIK?

Industri filem Malaysia jarang sekali menampilkan karya sains fiksyen, apatah lagi dalam genre Kaiju yang sebelum ini sinonim dengan Jepun. Pada 11 September 2025, layar tempatan bakal menyaksikan keberanian baharu melalui Abu Si Raksasa, sebuah filem arahan Ramdan Che Hassan yang cuba mengangkat fantasi raksasa ke dalam konteks budaya dan alam sekitar Malaysia.

Kisahnya berkisar tentang Zaara, lakonan Sophia Al Barakbah, yang membela seekor cicak salamander bernama Abu. Insiden pencemaran kimia di sebuah empangan menyebabkan haiwan peliharaannya itu bermutasi menjadi gergasi, sekali gus mencetuskan konflik antara kasih sayang seorang pemilik dan ketegasan pihak berkuasa yang mahu menghapuskannya. Naratif ini segera mengingatkan kita kepada tradisi Kaiju seperti Godzilla, namun bezanya Abu lahir daripada isu pencemaran tempatan. Ia adalah alegori tentang kerosakan ekologi, dan cicak salamander, yakni makhluk dua alam; dipilih sebagai simbol hubungan yang rapuh antara manusia dan alam.

Menurut penerbit Zamin Fakry, idea filem ini muncul selepas perbincangan dengan Profesor Dr Hezri Adnan, seorang ahli akademik alam sekitar. Dengan bajet sekitar RM2 juta termasuk 40 peratus CGI, Abu Si Raksasa bukan sahaja menuntut imaginasi besar, tetapi juga kesanggupan untuk menempuh keterbatasan teknologi tempatan. Dari lokasi penggambaran di Tasik Tadom, Kajang, Banting dan Sungai Buaya, fantasi raksasa ini berakar kukuh pada landskap Malaysia.

Namun, keberanian tidak hadir tanpa kelemahan. Abu Si Raksasa jelas menongkah arus, tetapi kelemahannya terserlah melalui paparan CGI yang kelihatan tidak konsisten. Ada ketika ia seolah-olah dibikin tergesa-gesa, sehingga sedikit mengganggu mood penontonan.

Walau begitu, penonton tidak harus gusar. Filem ini tidak gagal sepenuhnya kerana ia masih dibina dengan kesungguhan dan niat baik pengkaryanya. Dalam konteks ini, pengarah dan penerbit perlu lebih peka terhadap aspek kualiti, kerana setiap karya yang menghiasi layar pawagam akan bersaing dengan filem-filem lain yang lebih besar, baik dari dalam mahupun luar negara.

Bagi penulis, Abu Si Raksasa tetap layak ditonton, meskipun kepuasan maksimum mungkin sukar dicapai. Ia mungkin terasa sederhana dan kurang mengujakan, tetapi usaha untuk menterjemahkan karya ini ke layar perak wajar dihargai.

Barisan pelakon turut menjadi wajah kepada percubaan berani ini. Selain Sophia Al Barakbah, filem ini dibintangi Jaa Suzuran, Zalif Sidek, Afieq Shazwan, Azhar Sulaiman dan Maria Farida, dengan penampilan khas Dato’ Rizal Mansor serta Ayahanda Rani Kulop. Lakonan mereka memberi keseimbangan antara fantasi dan emosi manusiawi, menjadikan Abu bukan sekadar makhluk gergasi, tetapi cerminan ketakutan dan kasih sayang manusia itu sendiri.

Abu Si Raksasa mungkin tidak mencapai tahap kepuasan visual yang diharapkan dalam era perbandingan global, namun sebagai sebuah projek budaya, ia tetap signifikan. Filem ini membuka ruang kepada genre yang jarang disentuh dalam sinema tempatan, dan memperlihatkan usaha untuk menyatukan fantasi layar dengan persoalan realiti masyarakat. Abu mungkin seekor cicak yang membesar menjadi raksasa, tetapi kehadirannya di layar adalah lambang sebuah industri yang sedang berani membesar juga;  dengan imaginasi, eksperimen, dan harapan.

Adakah Abu Si Raksasa sekadar eksperimen sinema atau gimik melariskan pelakon? Jawapannya bergantung kepada selera penonton. Filem ini mula ditayangkan di pawagam pada 11 September 2025. Wajib tonton? Barangkali ya, tetapi penilaian kritis penulis hanya 2/5.

Catat Ulasan

0 Ulasan