AIM24: PENTAS MUZIK SERANTAU

Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) kembali mengukuhkan reputasinya sebagai acara muzik paling berprestij negara dengan mengetengahkan hos utama, barisan penyampai trofi dan deretan persembahan artis ternama yang bakal menyerikan pentas. Berteraskan tema “Kemuncak Segala-Galanya”, malam gemilang ini akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September 2025, serta disiarkan secara langsung menerusi TV2 dan portal RTM Klik.

Hos Serasi, Pentas Berprestij

Pasangan hos serasi Sherry Al Hadad dan Alif Satar dipilih untuk mengemudi acara berprestij ini. Kehebatan Sherry dengan jenaka spontan serta pesona bersahajanya digandingkan bersama karisma Alif yang versatil sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara. Kombinasi dua personaliti ini diyakini mampu memastikan malam AIM24 kekal bertenaga, menghiburkan, dan memikat penonton dari awal hingga ke penghujung acara

Artis Legenda & Kolaborasi Antarabangsa

Lebih 20 persembahan bakal membakar pentas AIM24! Antara yang paling dinantikan ialah Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Biduanita Negara yang terus menjadi ikon sepanjang zaman, serta kugiran legenda Exists yang membuktikan muzik mereka tetap segar meniti era. Tidak kurang hebatnya, kolaborasi rentas sempadan antaranya Ernie Zakri bersama Ade Govinda & Anggi Marito (Indonesia) dan Dolla dengan Tobii, bintang hip-hop Thailand sekali gus mengangkat cita-cita AIM24 sebagai jambatan muzik serantau. 

Turut memanaskan suasana ialah barisan artis popular seperti Black Hanifah, Ara Johari, Masdo, Shila Amzah, Salammusik dan KmyKmo, bersama finalis berbakat kategori Artis Baru Terbaik, Erika Foo, Intan Maya, K.O.I, Ryenald Guntabid dan Xone. Gabungan legenda dan bakat baharu ini menjadikan AIM24 bukan sekadar anugerah, tetapi cerminan perjalanan muzik Malaysia dari akar sejarah hingga masa depannya yang penuh harapan. 

Pengiktirafan & Ganjaran Lumayan

Bukan sekadar pentas hiburan, AIM24 terus menjadi simbol pengiktirafan tertinggi muzik Malaysia. Sebanyak 30 kategori bakal direbut, termasuk empat kategori baharu yang memberi nafas segar iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Tempatan-Luar Negara Terbaik dan Kugiran Terbaik.

Menariknya, pemenang 11 kategori utama akan membawa pulang dana berjumlah RM700,000 daripada Dana Kandungan Kreatif (DKK), hasil sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures. Pemenang Album Terbaik bakal menerima dana RM200,000, manakala kategori lain seperti Artis Baru Terbaik dan beberapa kategori lagu utama masing-masing bernilai RM50,000.

Bagi Rosmin Hashim, Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, penganjuran kali ini adalah bukti nyata komitmen terhadap pembangunan ekosistem muzik tanah air. Inisiatif tersebut, katanya, menjadi pemangkin penting untuk memperluas jejak muzik Malaysia ke peringkat serantau sambil melahirkan karya-karya bernilai tinggi yang kekal sepanjang zaman.

“Dengan sokongan padu semua pihak, AIM24 benar-benar berada pada Kemuncak Segala-Galanya. Ia bukan sekadar meraikan artis mapan, tetapi juga membuka ruang untuk bakat baharu terus bersinar, tegasnya.

Sokongan Penaja & Penyiaran Langsung

Di sebalik gemerlap pentas AIM24, sokongan padu penaja menjadi nadi utama. Samsung Galaxy A56 & A36 5GKementerian Komunikasi, serta Resorts World Genting sebagai Lokasi Rasmi bergandingan dengan rakan strategik Premiera Hotel Kuala Lumpur, F&N Beverages & Marketing, RCD Concept Sdn. Bhd. dan Timeless Studio menjadikan AIM24 sebuah penganjuran bertaraf prestij.

Malam gemilang ini bakal disiarkan secara langsung oleh RTM melalui TV2 dan RTM Klik bermula jam 9 malam, dengan acara karpet merah seawal jam 8 malam. Penonton akan disajikan barisan penyampai trofi ternama termasuk Dato’ Awie, Dato’ Nora Ariffin, Khai Bahar, Daiyan Trisha, Bunga, Liyana Jasmay, Nikki Palikat, Tomok dan ramai lagi, menambahkan aura bintang pada acara ini.

Kemuncak Segala-Galanya

Dengan gandingan hos bertenaga, barisan penghibur mapan dan bakat baharu, serta ganjaran lumayan yang menyokong perjalanan seni, AIM24 diyakini akan tercatat sebagai sebuah peristiwa budaya yang dikenang sebagai malam kemuncak segala-galanya dalam sejarah muzik Malaysia.

Catat Ulasan

0 Ulasan