Penyanyi rap dan hip hop tanah air yang semakin menyerlah, Asyraf Nasir, kembali mencuri perhatian menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul 'Cinderella'. Lagu ini hadir sebagai sebuah dongeng moden yang menekankan keyakinan diri, meninggalkan simbol kasut kaca klasik, sebaliknya meraikan perjalanan seorang ‘underdog’ yang bangkit melangkah ke hadapan dengan penuh gaya.
‘Cinderella’ ditujukan kepada sesiapa sahaja yang pernah merasa terpinggir, namun tetap yakin bahawa mereka memiliki keistimewaan tersendiri. Lagu ini mengenai keyakinan, tentang saat di mana semua mata tertumpu kepada anda ; dan anda menikmatinya sepenuhnya,” ujar Asyraf dalam satu kenyataan media.
Menariknya, proses penghasilan ‘Cinderella’ hanya mengambil masa dua hari, dengan sebahagian besar rakaman menggunakan versi pertama (first take). Mengikuti jejak single terdahulu 'Virus', kerjasama Asyraf bersama penerbit dan rakan kreatifnya, SonaOne, terus menghadirkan rakaman yang sarat dengan tenaga spontan dan keaslian di studio.
“Kami tidak terlalu memikirkan secara berlebihan. Apa yang anda dengar ialah rakaman tulen yang jujur dalam cara terbaik,” jelasnya.
Bekerja dengan SonaOne, ujar Asyraf, merupakan pengalaman yang membuka perspektif baharu. Menurutnya, kualiti sesebuah lagu banyak bergantung pada kerjasama berpasukan. Sebagai pengkarya muzik, beliau menekankan keaslian dalam berkarya tanpa mengorbankan mutu penghasilan.
“Dia memahami bila perlu memberi ruang dan bila saat yang tepat untuk menghidupkan semula tenaga. Ibarat bermain ping-pong idea; saya lontarkan, dia menyambutnya, dan sekelip mata lagu ini bernafas,” ujarnya.
Lebih menarik, bahagian pembukaan 'Cinderella' yang diwarnai bunyi eccentric synth piano mengambil ilham daripada sebuah lagu klasik Malaysia, lalu diberi nafas baharu melalui olahan moden.
Lebih istimewa, 'Cinderella' pada asalnya bermula sebagai sebuah demo pada tahun 2020. Selepas lima tahun, melodinya masih segar di telinga Asyraf dan rakan-rakan pemuzik. Hampir tiada perubahan ketara dilakukan antara versi demo dan versi akhir, kecuali penambahbaikan dari segi adunan muzik. Menurut Asyraf, keaslian sesebuah karya lahir daripada kesungguhan dalam menterjemahkannya agar bukan sahaja enak didengar, tetapi juga mampu dihayati sepenuhnya.
Sebagai trivia, tajuk asal lagu ini ialah “Condifento”, yang tercetus daripada gurauan spontan sewaktu proses mencipta rentak.
Menurut Asyraf, “Cinderella' menandakan permulaan kepada fasa baharu dalam kerjayanya. Beliau menambah, 'Ini merupakan babak pertama dalam era seterusnya. Setiap lagu selepas ini akan hadir dengan watak dan personaliti tersendiri, ibarat karakter dalam sebuah filem. Saya mahu pendengar tenggelam dalam dunia fantasi itu.”
Dengan pelancaran 'Cinderella', Asyraf Nasir bukan sahaja memperlihatkan sisi baharunya dalam berkarya, malah membuktikan bahawa kisah dongeng mampu diterjemahkan melalui rentak hip hop dengan penuh gaya, keyakinan serta identiti tersendiri.
Single “CINDERELLA” boleh didapati di semua platform digital mulai 8 Ogos 2025.




0 Ulasan