DUA KONSERT SOLO, WALI BAND TEBUS KEKECEWAAN PEMINAT

Bagi mengubati kerinduan dan kekecewaan peminat, kumpulan popular Indonesia, Wali Band, bakal tampil dengan dua siri konsert solo di Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada April dan Mei 2026.

Langkah tersebut diambil susulan pembatalan konsert mereka di Kota Kinabalu pada 2024 yang sebelum ini mengecewakan ramai peminat. Wali Band yang dianggotai oleh Faank selaku vokalis, Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) kini kembali dengan tekad baharu bagi menebus momen yang tertangguh itu.

Sebagai pembuka tirai, Wali Band dijadualkan mengadakan Konsert Wali Live in Kota Kinabalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 12 April 2026, anjuran 25th Studio & Infinity Love Creative Ventures.

Vokalisnya, Faank, mengakui pembatalan konsert terdahulu turut memberi kesan kepada mereka, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di luar kawalan pihak band.

“Kami turut merasakan kekecewaan itu. Apa yang berlaku ketika itu berada di luar kawalan kami dan kami sendiri tidak mengetahui puncanya. Namun, apabila menerima tawaran untuk kembali ke Kota Kinabalu, kami melihatnya sebagai peluang terbaik untuk menebus kekecewaan peminat,” katanya.

Menurut Faank, pihaknya memahami sekiranya masih terdapat peminat yang berasa was-was terhadap penganjuran konsert kali ini, namun memberi jaminan bahawa kehadiran mereka adalah bagi memberikan persembahan terbaik, selain teruja menantikan sambutan daripada peminat di Sabah.

Sementara itu, wakil penganjur, Mubarak Akhtar, berkata penganjuran semula konsert ini merupakan tanda tanggungjawab serta komitmen pihaknya dalam mengubati kekecewaan peminat susulan insiden sebelum ini. Malah, pihak penganjur turut menawarkan potongan harga istimewa kepada peminat yang pernah menghadiri konsert terdahulu dengan mengemukakan tiket atau bukti pembelian.


Sebanyak 20 hingga 25 buah lagu dijangka dipersembahkan pada malam konsert tersebut. Bagi konsert di Kota Kinabalu, harga tiket ditawarkan bermula RM98 hingga RM688, dengan jualan tiket Konsert Wali Live in Kota Kinabalu bermula pada 12 Februari 2026 menerusi laman web rasmi www.ilassotickets.com.

Konsert ini turut mendapat sokongan Era FM Sabah dan Era Sarawak sebagai radio rasmi, manakala Astro Gempak bertindak sebagai portal rasmi. Peminat juga boleh mengikuti perkembangan dan maklumat terkini menerusi akaun media sosial rasmi @konsertwalikembali2026 di platform TikTok dan Instagram.

Catat Ulasan

0 Ulasan