Setelah sekian lama berjuang sendiri dalam arena muzik tempatan meskipun karya karyanya sering dilabel sebagai bersifat indie, penyanyi Ushera kini bersedia melangkah lebih jauh menerusi single terbaharunya, Warna Warni Hari Raya. Lagu ciptaan Ganesh Bala dengan lirik yang ditulis sepenuhnya oleh Ushera ini merupakan lagu raya ketiganya selepas Kembali dan Suka Ria Raya, sekali gus memperlihatkan kematangan perjalanan seni beliau dalam mengangkat karya bermusim dengan identiti yang semakin kukuh dan tersendiri.
Menariknya, Warna Warni Hari Raya turut mengambil inspirasi daripada karya Ratu Jazz Negara, Dato' Sheila Majid. Sentuhan elemen jazz pop yang santai namun sofistikated diserap secara halus dalam komposisi lagu ini, menjadikannya kedengaran segar dan elegan tanpa menghilangkan roh klasik yang menjadi kekuatan Ushera selama ini. Malah beliau secara terbuka menyatakan hasrat untuk suatu hari nanti dapat berduet bersama Sheila Majid sekiranya penyanyi legenda itu bersedia, satu impian yang dilihat selari dengan arah muzik yang sedang diterokainya kini.
Kehadiran lagu ini bukan sekadar menambah koleksi karya perayaan, sebaliknya tampil sebagai manifestasi seni yang meraikan kepelbagaian budaya dan semangat perpaduan masyarakat Malaysia. Selepas beberapa tahun tidak muncul dengan produksi lagu raya, Ushera kembali dengan pendekatan lebih segar dan kontemporari namun tetap berakar pada tradisi yang menjadi nadi Aidilfitri.
Mengangkat tema keberagaman sebagai teras utama, karya ini turut diterjemahkan melalui kolaborasi kreatif yang melibatkan karyawan seni daripada pelbagai latar belakang. Muzik videonya yang menjalani penggambaran pada 2 Januari lalu disempurnakan oleh Arnaud Blondel selaku Pengarah Video dan Fotografi, memperkukuhkan visual yang selari dengan mesej perpaduan yang ingin disampaikan.
Tidak hanya memberi fokus kepada kekuatan melodi dan lirik yang mudah melekat di ingatan, Ushera turut menitikberatkan aspek visual dan penampilan. Kolaborasi bersama pereka fesyen terkenal, Syomir Izwa Gupta, melengkapkan keseluruhan pakej persembahan dengan suntikan gaya moden berbalut elemen retro yang sinonim dengan identiti seninya.
Menurut Ushera, lirik lagu ini berkisar tentang kemeriahan Aidilfitri, suasana pulang ke kampung, berbusana baharu dan detik kebersamaan yang menjadi tradisi saban tahun. Lebih daripada itu, Warna Warni Hari Raya membawa mesej persahabatan dan keterbukaan masyarakat majmuk yang sentiasa meraikan pelbagai perayaan bersama sama tanpa batas sentimen.
Beliau turut menegaskan bahawa penghasilan lagu ini bukan bertujuan untuk bersaing, sebaliknya sebagai sumbangan kepada perkembangan lagu raya yang kini semakin berevolusi dengan pelbagai genre dan pendekatan segar. Kebangkitan semula lagu raya dalam arus muzik semasa menjadi pemangkin buatnya untuk turut sama menjadi sebahagian daripada warna warni tersebut sekali gus menawarkan pilihan yang lebih variatif kepada peminat apabila musim perayaan tiba.
Dalam perkembangan lain, anak seni kelahiran Ipoh, Perak ini turut memaklumkan bahawa beliau kini sedang dalam perancangan menghasilkan album solo keduanya selepas Semalam Di Malaya yang diterbitkan pada 2016. Album baharu tersebut dijangka menemui pendengar dalam masa terdekat dan bakal memperlihatkan evolusi muzik yang lebih matang tanpa meninggalkan identiti klasik yang menjadi kekuatannya.
Ushera sering diakui sebagai antara penyanyi wanita Melayu yang memiliki lenggok suara klasik, mengingatkan khalayak kepada era kegemilangan suara seperti Maria Menado dan Nona Asiah. Tona suaranya yang berjiwa lama serta kawalan vokal yang kemas menjadi identiti artistik yang membezakan beliau dalam landskap muzik kontemporari hari ini.
Tidak terhenti di situ, Ushera juga berkongsi perancangan untuk muncul dengan sebuah persembahan eksklusif dalam masa terdekat sebagai platform mendekati peminat serta mempersembahkan karya karya baharu secara lebih intim dan berkonsep.
Dengan Warna Warni Hari Raya sebagai pembuka langkah tahun ini diikuti perancangan album solo kedua dan showcase yang bakal menyusul, Ushera jelas berada pada fasa signifikan dalam kerjaya seninya, mengukuhkan jenama, memperluas pengaruh dan terus setia meraikan muzik sebagai wadah perpaduan serta warisan budaya.

.png)
.png)
.png)

0 Ulasan