Penyanyi Wany Hasrita memulakan perjalanan seninya bagi tahun 2026 dengan pelancaran single terbaharu berjudul Lembayung Tari, sebuah karya pop etnik yang menggabungkan keindahan muzik tradisional Melayu dengan sentuhan moden serta nuansa mistik yang halus.
Menggabungkan elemen tradisional dengan pendekatan kontemporari, Lembayung Tari hadir sebagai sebuah karya audio-visual yang menenangkan, mengajak pendengar menyelami emosi dan ketenangan jiwa melalui irama serta rasa yang tidak terucap dengan kata-kata. Lagu ini merupakan hasil ciptaan gandingan kreatif Hael Husaini dan Iqie Hugh, sekali gus menawarkan kelainan buat peminat muzik yang menghargai karya berseni dan berlapik makna.
Dari segi susunan muzik, sentuhan Iqie Hugh menyerlahkan elemen etnik kontemporari yang disulam dengan aura misteri, menjadikan lagu ini lembut, emosional dan kaya dengan interpretasi. Lembayung Tari mengangkat waktu senja sebagai simbol peralihan cahaya yang melambangkan ketenangan, keindahan serta penyembuhan emosi. Metafora tarian dan lembayung cahaya digunakan bagi menggambarkan seni sebagai medium luahan perasaan tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada lirik yang bersifat literal.
Menurut Wany, lagu ini dekat di hatinya kerana ia memberi ruang kepada pendengar untuk berhenti seketika daripada kesibukan hidup dan menikmati keindahan rasa melalui muzik. Elemen visual Lembayung Tari turut memainkan peranan penting dalam menyampaikan naratif lagu apabila video liriknya menampilkan unsur tradisional yang jarang diketengahkan dalam industri muzik arus perdana, termasuk penggunaan tulisan Jawi.
“Saya tidak mahu sekadar memaparkan teks lirik biasa. Saya mahu mencetuskan rasa ingin tahu supaya pendengar tertarik untuk memahami maksud lagu ini dengan lebih mendalam,” katanya ketika sidang media pelancaran lagu di Universal Music Malaysia, baru-baru ini.
Idea untuk mengetengahkan elemen mistik alam Melayu, termasuk inspirasi bunian, tercetus hasil perbincangan bersama pengurusnya. Bagi Wany, penggunaan tulisan Jawi bukan sekadar elemen visual, sebaliknya satu usaha mengangkat warisan budaya dan bahasa, di samping memberi peluang kepada generasi muda mendekati semula tulisan tersebut.
Mengulas proses rakaman, Wany berkongsi pengalaman bekerjasama secara langsung dengan Hael Husaini buat pertama kali di studio. Di situ, makna sebenar Lembayung Tari diperincikan sebagai kisah tentang satu entiti yang muncul ketika cahaya senja dan gemar menari. Keunikan lagu ini terletak pada liriknya yang disampaikan daripada dua sudut pandang iaitu perspektif penari dan individu yang memerhatikannya sekali gus mewujudkan lapisan emosi yang berbeza.
Dalam masa sama, Wany menegaskan pendiriannya untuk tidak terikat kepada satu genre muzik sahaja. Walaupun sinonim dengan lagu-lagu balada seperti Menahan Rindu, beliau memilih untuk membuka tahun 2026 dengan karya berentak etnik moden yang mencerminkan kecintaannya terhadap muzik tradisional, namun diolah selari dengan cita rasa semasa.
Selepas bergerak secara bebas bersama pasukan sendiri, Wany mengakui perjalanan tersebut banyak mematangkannya sebagai seorang artis. Ia memberinya kebebasan merancang strategi, membuat keputusan sendiri dan mengurus hala tuju kerjaya dengan lebih tersusun, selain merealisasikan impiannya untuk bekerjasama dengan Universal Music Malaysia.
Lembayung Tari diterbitkan oleh Wany Hasrita Entertainment dengan kerjasama Maison Management dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia. Single ini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama sejak 6 Februari 2026.
.png)
.png)
.png)
.png)

0 Ulasan