AUNTEA JENNY CIPTA REKOD

Jenama minuman teh buah segar terkenal, Auntea Jenny, terus mengorak langkah besar di Malaysia apabila 12 cawangannya kini secara rasmi menerima pensijilan halal, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam sistem pematuhan dan pengurusan kualiti jenama itu di pasaran tempatan.

Bagi meraikan pencapaian tersebut, Auntea Jenny menganjurkan majlis pelancaran pensijilan halal yang berlangsung di ibu negara dengan kehadiran wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta selebriti Bella Astillah.

Majlis berkenaan turut memperlihatkan komitmen jenama itu dalam memperkukuhkan piawaian halal, pengurusan rantaian bekalan serta sistem operasi di seluruh cawangannya.

Menurut pihak pengurusan, pensijilan halal tersebut melibatkan cawangan di beberapa negeri utama termasuk Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Pahang, Perak dan Melaka.

Langkah itu dijangka mampu menyeragamkan standard operasi di seluruh negara selain meningkatkan keyakinan pengguna terhadap jenama berkenaan. Dalam perkembangan sama, Auntea Jenny kini memiliki hampir 50 cawangan di Malaysia dan menyasarkan lebih 100 cawangan menjelang penghujung tahun 2026.

Seiring peluasan perniagaan, jenama tersebut turut memberi fokus kepada aspek pemilihan lokasi strategik, latihan kakitangan serta pengukuhan sistem operasi digital.

Pada majlis sama, Auntea Jenny turut menerima pengiktirafan daripada ASEAN Records dan ASIA Records menerusi rekod jualan luar biasa minuman popular mereka, Mango Pomelo Sago.

Minuman berkenaan dilaporkan mencatat jualan sebanyak 85,951,586 cawan sepanjang tahun 2025 melibatkan operasi di 11,494 cawangan merentasi empat negara sehingga Disember tahun lalu.

Pengiktirafan itu sekali gus membuktikan kekuatan jenama tersebut dari segi prestasi jualan serta pengaruh global dalam industri minuman teh segar.

Selain itu, Auntea Jenny turut melancarkan aplikasi mudah alih rasmi Malaysia sebagai usaha memperkukuhkan sistem keahlian dan pengalaman pelanggan.

Bersempena pelancaran aplikasi tersebut, syarikat akan mengadakan kempen pemberian 30,000 cawan minuman percuma di seluruh negara bermula 13 hingga 15 Mei 2026, sementara stok masih ada.

Pengurus Besar Auntea Jenny Malaysia, Ng Ching Wai berkata, kejayaan jenama itu didorong oleh komitmen berterusan terhadap kualiti produk dan pemahaman terhadap kehendak pasaran tempatan.

“Dengan lebih 10,000 cawangan di seluruh dunia, kami sentiasa berpegang kepada prinsip ‘Buah Sebenar, Teh Sebenar, Kualiti Sebenar’.

“Di Malaysia, kami mengimbangi piawaian global dengan inovasi tempatan. Pensijilan halal ini adalah bukti komitmen kami terhadap sistem kualiti serta penghormatan kepada pasaran tempatan,” katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan