Dalam usia empat dekad pembabitannya dalam arena seni suara tempatan, nama Fauziah Latiff sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan pencinta muzik tanah air. Deretan lagu nyanyiannya seolah-olah menjadi cerminan perjalanan hidup ramai insan, bermula daripada zaman remaja yang penuh impian, detik jatuh bangun dalam percintaan, hinggalah kepada usia yang semakin matang dan sarat dengan emosi serta kenangan.
Suara lembutnya pernah menjadi peneman di kala hati terluka, manakala lirik-lirik puitis yang dibawakan pula begitu dekat dengan jiwa masyarakat sejak era 1980-an dan 1990-an. Tidak hairanlah karya-karya nyanyian Fauziah Latiff terus hidup merentasi generasi dan kekal menjadi antara lagu malar segar yang tidak pernah luput ditelan zaman.
Menerusi 4 Dekad Fauziah Latiff Live In Concert yang berlangsung penuh gemilang di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Fauziah Latiff atau lebih mesra disapa Jee akhirnya mengubat kerinduan peminat menerusi sebuah malam yang cukup istimewa dan sarat emosi. Selepas empat dekad mewarnai industri muzik tanah air, konsert tersebut bukan sekadar meraikan perjalanan seninya sebagai seorang penyanyi, tetapi turut menjadi simbol cinta, kesetiaan dan penghargaan antara seorang legenda dengan peminat yang tidak pernah berhenti menyayangi karya-karyanya sejak dahulu.
Lebih 3,000 peminat membanjiri dewan dengan satu rasa yang sama iaitu rindu. Rindu terhadap suara lembut yang pernah menjadi peneman di kala hati terluka, rindu terhadap lagu-lagu cinta yang membesar bersama perjalanan hidup mereka, dan rindu terhadap figura wanita yang pernah menjadi lambang keanggunan muzik pop Malaysia suatu ketika dahulu.
Sebaik sahaja lampu pentas mula malap dan susuk tubuh Jee muncul di atas pentas, seluruh Plenary Hall seakan-akan tenggelam dalam lautan nostalgia. Sorakan gemuruh yang bergema bukan sekadar tanda keterujaan, tetapi seperti sebuah sambutan hangat buat seorang legenda yang akhirnya kembali berdiri megah di hadapan peminat setianya selepas sekian lama.
Malam tersebut bukan sekadar menyaksikan Fauziah Latiff kembali menghiburkan peminat di pentas berskala besar, malah menjadi gambaran jelas bahawa karya-karyanya masih terus mekar dalam jiwa pencinta muzik tanah air. Selepas sekian lama tidak tampil dengan konsert solo mega, Jee hadir membuktikan bahawa namanya masih mempunyai tempat yang cukup istimewa di hati peminat, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara legenda wanita paling berpengaruh dalam sejarah industri muzik Malaysia.
Konsert yang berlangsung lebih dua jam itu membawa penonton menyusuri satu demi satu fasa perjalanan seni beliau, seolah-olah membuka kembali helaian memori yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan ramai. Pembukaan konsert dimulakan dengan lagu Setiaku Korbankan, sebuah karya balada yang cukup dekat di hati peminat. Dengan vokal yang masih terkawal serta penghayatan yang begitu mendalam, Jee tidak mengambil masa lama untuk membuatkan seluruh dewan hanyut dalam emosi dan nyanyian bersama, sekali gus mencipta suasana yang cukup magis sepanjang malam berlangsung.
Apabila lagu-lagu seperti Apa Sebenarnya, Tua Mengejar Kita, Bukan Berpatah Arang dan Aku Sebutir Pasir mula berkumandang, suasana dewan berubah menjadi lebih emosional. Ramai penonton dilihat turut menyanyi bersama, seakan-akan setiap lagu itu membawa mereka kembali kepada kenangan lama yang pernah tersimpan rapi dalam hati. Ada yang tersenyum mengimbau detik manis kehidupan, ada juga yang sekadar memejam mata menikmati setiap bait lirik yang pernah menemani mereka di saat suka dan duka, malah tidak kurang juga yang dilihat mengalirkan air mata. Itulah aura seorang penghibur legenda, Fauziah Latiff.
Apa yang menjadikan persembahan ini begitu istimewa bukanlah kesempurnaan vokal semata-mata, tetapi kejujuran yang dibawa oleh Fauziah Latiff di atas pentas. Beliau tidak cuba menjadi dirinya yang dahulu, sebaliknya hadir sebagai seorang penghibur matang yang menyampaikan setiap lagu dengan penuh pengalaman dan penghayatan.
Namun, apa yang harus difahami, suara Fauziah Latiff bukanlah gagal, sebaliknya berubah mengikut peredaran usia. Perubahan itu jugalah yang sebenarnya menyuntik rasa, emosi dan jiwa yang lebih tulus dalam setiap persembahan sehingga menjadikan nyanyiannya terasa lebih dekat dan menyentuh hati penonton yang hadir.
Salah satu momen paling mengesankan tentunya ketika beliau menyampaikan lagu Enggan, sebuah karya yang pernah dianggap antara lagu paling mencabar dalam kariernya. Walaupun lagu tersebut memerlukan kekuatan vokal yang besar, Jee tetap memberanikan diri membawakannya secara penuh demi memenuhi harapan peminat yang sekian lama menantikan persembahan itu secara langsung. Gurauannya kepada penonton bahawa lagu tersebut merupakan “lagu bunuh diri” mengundang ketawa kecil dalam dewan, namun di sebalik jenaka itu tersimpan keberanian dan keikhlasan seorang penghibur yang masih mahu memberikan yang terbaik buat peminatnya.
Kejujuran itulah yang menjadi kekuatan sebenar konsert ini. Fauziah mungkin tidak lagi berada pada tahap vokal seperti era kemuncaknya suatu ketika dahulu, namun beliau memiliki sesuatu yang jauh lebih mahal iaitu jiwa dan penghayatan. Dalam dunia hiburan hari ini yang sering mengejar sensasi dan kesempurnaan semata-mata, Jee hadir membuktikan bahawa karya yang disampaikan dengan hati masih mampu menyentuh perasaan penonton.
Momentum konsert terus meningkat apabila Jee membawakan lagu-lagu seperti Ku Pohon Kemaafan, Aku Masih Seperti Dulu, Bukan Kemahuan Fikiran, Kau Merubah Segalanya, Batas Menanti, Kenari dan Sahabat. Seluruh persembahan terasa cukup intim, seperti sebuah perbualan panjang antara seorang penyanyi dan peminat yang telah setia menemani perjalanan seninya selama empat dekad.
Kemunculan penyanyi legenda Dato' Jamal Abdillah menerusi lagu duet Kehebatan Cinta pula menjadi antara detik paling bermakna malam itu. Gabungan dua figura besar industri muzik tanah air tersebut menghadirkan aura klasik yang cukup sukar digambarkan dengan kata-kata. Ia bukan sekadar duet biasa, tetapi seperti sebuah penghormatan kepada zaman emas muzik Malaysia yang pernah dipenuhi karya-karya indah dan penuh makna.
Menjelang penghujung konsert, Fauziah Latiff tampil lebih santai dan selesa ketika membawakan lagu-lagu ikonik seperti Dia, Dari Kaki Tangga Ke Menara dan Yang Lebih Kau Cinta. Namun suasana dewan mula berubah menjadi semakin emosional apabila beliau menyampaikan lagu malar segar Teratai Layu Di Tasik Madu, karya yang seakan-akan menjadi simbol perjalanan panjang seninya dalam industri muzik tanah air.
Saat lagu tersebut berkumandang, seluruh Plenary Hall bergema dengan suara peminat yang menyanyi bersama tanpa henti. Fauziah Latiff pula dilihat beberapa kali cuba menahan sebak sebelum akhirnya tenggelam dalam lautan tepukan dan sorakan gemuruh daripada penonton. Momen itu terasa begitu jujur dan cukup menyentuh perasaan, seolah-olah menggambarkan hubungan istimewa antara seorang penyanyi dan peminat yang tidak pernah meninggalkannya walau zaman terus silih berganti.
Dari sudut produksi, konsert anjuran Ideatelier itu tampil cukup elegan dan eksklusif. Rekaan pentas moden bersama susunan visual kontemporari berjaya menyerlahkan sisi diva Fauziah Latiff tanpa perlu tampil berlebihan. Empat persalinan busana rekaan Ezuwan Ismail pula menambahkan lagi seri dan keanggunan beliau sepanjang malam, sekali gus melengkapkan aura seorang legenda di atas pentas.
Iringan muzik di bawah pimpinan Chaan bersama barisan pemuzik profesional berjaya memberikan suntikan nafas baharu kepada lagu-lagu malar segar Fauziah Latiff tanpa menghilangkan roh asal yang begitu dekat di hati peminat. Setiap susunan muzik kedengaran lebih segar dan bertenaga, namun masih mengekalkan emosi serta keindahan karya-karya yang pernah mewarnai zaman kegemilangan muzik tempatan.
Persembahan tarian daripada Onstageproduction, harmoni vokal Azrin Music Studio serta sistem audio dan pencahayaan daripada Sound Innovations pula melengkapkan keseluruhan pengalaman konsert, sekali gus menjadikan malam tersebut terasa lebih eksklusif, mewah dan bertaraf premium.
Menariknya, hampir keseluruhan penonton hadir mengenakan pakaian serba putih sebagai simbol kasih, penghormatan dan kesetiaan terhadap Fauziah Latiff. Pemandangan itu menjadikan malam tersebut terasa cukup indah dan bermakna, seolah-olah seluruh dewan sedang meraikan seorang wanita yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup mereka selama berpuluh tahun menerusi lagu-lagu yang penuh emosi dan kenangan.
Turut kelihatan hadir memberikan sokongan ialah beberapa nama besar industri seperti Ziana Zain, Rozita Che Wan, Liza Hanim, Faradhiya, Amylea, Azah Aziz dan penerbit drama terkenal, Hj Md Fadzil Teh yang turut sama hadir meraikan perjalanan seni seorang legenda wanita negara.
Kejayaan 4 Dekad Fauziah Latiff Live In Concert turut didukung oleh sokongan padu daripada penaja dan rakan strategik termasuk TJTM (Tukang Jahit Termahir Malaysia) selaku penaja utama, selain Hot FM, Kool FM dan Molek FM sebagai radio rasmi. Ticket2U pula bertindak sebagai rakan tiket rasmi bersama beberapa rakan kolaborasi lain yang memainkan peranan penting dalam memastikan malam penuh bersejarah itu berlangsung dengan lancar dan penuh gemilang.
Hakikatnya, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan hiburan biasa. Ia adalah sebuah malam yang meraikan cinta, kenangan dan kesetiaan antara seorang legenda dengan peminat yang tidak pernah berhenti menghargai karya-karyanya. Sebuah malam yang mengingatkan bahawa ada suara yang tidak akan pernah hilang daripada ingatan, dan ada lagu yang akan terus hidup dalam hati peminat walau masa terus berlalu.
Mungkin benar seperti kata Fauziah Latiff sendiri, malam itu “mungkin tidak sempurna”. Namun ketidaksempurnaan itulah yang menjadikannya begitu indah dan bermakna. Kerana pada akhirnya, apa yang dibawa pulang oleh penonton bukan sekadar sebuah konsert, tetapi kenangan tentang seorang legenda yang pernah mewarnai perjalanan hidup mereka menerusi lagu-lagu yang akan terus hidup, mekar dan dikenang sepanjang zaman.

.png)
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)

0 Ulasan