'satu short film'... Naskhah Terbaik Zulman Zeki di Malam Murai.com


oleh: Amy Ikram Ismail


21 Oktober lepas, portal online terkenal murai.com, dibawakan khas oleh Astro dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah mengadakan Malam Skrin Amatur dengan menobatkan filem pendek, SATU arahan dan lakon layar, sutradara muda Zulman Zeki Supardi sebagai filem pendek terbaik dengan mengalahkan hampir 50 penyertaan filem pendek online dari ratusan dan puluhan karyawan muda di seluruh negara. Filem yang diterbitkan oleh AFM Production untuk ASWARA ini mengisahkan seorang budak lelaki yang terperangkap dalam jalur kasih sayang antara dirinya dan ibunya, lakonan Rozie Rashid yang akhirnya terpisah dan bersatu semula dalam antonasi yang mengujakan minda dan perasaan setiap khalayak yang menonton filem ini.



Plot dan naratif

'Satu', sebuah naskhah yang mempunyai plot dan naratif yang agak kuat untuk ditafsirkan pada pemikiran manusia kerana plotnya adalah tertumpu kepada kasih sayang antara seorang anak dengan ibunya. Ia dikupas dengan begitu drastik dan agak teliti melalui susunan penceritaan filem ini yang lebih menjurus kepada sebuah kasih sayang antara sebuah keluarga melalui jalur ikatan yang begitu melodrama tragik sehinggakan mood dan rasa dalam setiap susunan visual itu mencapai kehendak dan tema yang diinginkan. Pembukaan filem ini cukup berseni dan mendalam maksudnya, dengan paparan layang-layang kertas ditiup angin dan melambai-lambai diudara mengikut rentak cerita yang cuba disampaikan oleh sutradaranya. Visual layang-layang yang dipaparkan pada pembukaan filem dan pertengahan ini mentafsirkan bahawa watak anak kecil tersebut inginkan kebebasan dari ibunya yang tidak mahu menuruti kehendaknya yang mahukan permainan tersebut. Tetapi, ini memberikan tamparan yang cukup hebat semasa satu scene kemalangan jalan raya, yang telah mengubah persepsinya bahawa kasih sayang antara anak dan ibu begitu jua sebaliknya, adalah merupakan kasih sayang yang hakiki dan sukar ditembusi dengan nilai harta mahupun wang ringgit. Susunan visual melalui teknik sinematografi oleh Tayanithi Ramanujem menguatkan falsafah filem ini yang lebih mengutamakan nilai kemanusiaan yang tinggi dan perjalanan naratifnya begitu melodrama, apatah lagi muzik latar yang digunakan pada keseluruhan filem ini, walaupun tanpa vokal berjaya menyuntik elemen sedih dan ia cukup rencah untuk dihayati.



Karya Zulman menembusi pasaran antarabangsa..

Walaupun kemenangan naskhah 'satu' pada malam Skrin Amatur tersebut, khabarnya filem pendek berdurasi 10 minit ini telah terpilih menyertai beberapa festival filem antarabangsa. Yang terbaru, kata sutradaranya filem 'Satu' telah tersenarai di salah sebuah festival filem setaraf cannes untuk tahun 2009. Benarkah andaian tersebut?. Kita sama-sama nantikan pengumuman ekslusif daripada Zulman, sekiranya filem pendeknya terpilih mewakili Malaysia ke US. Berbalik kepada anugerah filem pendek terbaik yang dimenanginya pada malam 21 Oktober lepas, Zulman cukup bersyukur dan dari riak wajah serta mesej yang dikirim pada saya, jelas nyata menunjukkan beliau benar-benar gembira atas kemenangan tersebut. Filem SATU telah memenangi wang tunai RM 3,000 dan Sijil Penghargaan daripada MIG Films. Wah.. hebatkan?. Mana tahu suatu hari nanti, bekas graduan Akademi Filem Malaysia (AFM) ini akan menjadi seperti Osman Ali yang telah berjaya melakarkan namanya di persada perfileman tempatan sebagai pengarah dan karyawan filem yang disegani. Insya-allah.

* FILEM PENDEK SATU BOLEH DI TONTON SECARA ONLINE DI PORTAL www.murai.com.. cari skrin amatur

p/s: sebelum ini, saya pernah mengulas filem pendek SATU dalam blog saya. Anda boleh mencarinya di laman arkib blog saya untuk bulan September 2008.. Tahniah kepada semua pemenang pada malam Skrin Amatur tersebut?. tak reti-reti nak buat open house ker?.

Catat Ulasan

0 Ulasan