Assalamualaikum...

Berita yang mungkin sudah diketahui umum, di mana pagi tadi kita kehilangan seorang lagi anak seni yang cukup dihormati di dalam arena muzik nasyid, 'Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, vokalis utama kumpulan Rabbani', yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya pada pukul 10.30 pagi tadi, selepas mengadakan sidang media di RTM Angkasapuri untuk program Ramadhan 'Syahadah'. Menurut salah seorang ahli kumpulan Rabbani, Mohd Asri Baidul @ Ubaidullah, Allahyarham Mohd Asri Ibrahim (Ustaz Asri) rebah selepas berucap di sidang media tersebut yang dihadiri oleh beberapa rakan media.

Sekarang, jenazah sedang dimandikan dan dikafankan di Hospital Pantai, Bangsar sebelum dibawa ke rumah arwah di Jalan Ikan Keli, Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam untuk dikebumikan sebelum solat Asar. Allahyarham meninggalkan seorang balu Haliza, 38, dan enam orang anak iaitu Mohd Nasimudin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilhan, 10, Sufiyah Munawarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 4.

Pemergian beliau menandakan industri muzik nasyid turut sepi seolah-olah kehilangan sebutir permata yang mencorakkan industri hiburan negara. Justeru, saya mewakili rakan-rakan media, rakan blogger dan penggiat industri hiburan dan filem mengucapkan salam takziah buat keluarga Allahyarham, moga rohnya ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Amin.


-Al Fatihah buat Allahyarham Mohd Asri Ibrahim (03/08/1969-13/08/2009)- Pergimu takkan kembali lagi...

**diharapkan selepas ini ada juga tribute khas untuk mengenang sumbangan beliau terhadap industri hiburan negara. Azwan dari Jomstar.com mengharapkan stesen tv, contohnya ( Astro Oasis ) mengambil langkah ini, harap maklum**