'Boboiboy'.. bukan saingan Upin & Ipin!!..

Setelah berjaya menjadikan Upin & Ipin sebagai pencetus kepada fenomena bagi filem animasi tempatan, 3 anak muda yang berjaya melakarkan sejarah tersebut, Nizam, Safwan dan Anas kini beralih pula kepada animasi terbaru 'Boboiboy' yang bakal ditayangkan di kaca tv pada awal tahun 2010. Animasi yang mengetengahkan elemen 3D secara keseluruhan ini merupakan produk syarikat pertama mereka, Animosta Studios yang dimiliki oleh Nizam, Safwan dan Anas. Berbicara mengenai projek sulung ini, Nizam menjelaskan bahawa 'Boboiboy' bukannya saingan kepada produk Upin & Ipin yang telah mencetuskan fenomena dalam tarikan kepada penonton merangkumi semua golongan masyarakat, namun Boboiboy lebih mengetengahkan kepada penceritaan melibatkan 3 kanak-kanak pintar yang terdiri daripada Bo, Boi dan Boy. Siri tersebut bakal disiarkan selama 26 episod di mana setiap satunya dengan durasi selama 11 minit.

Ringkasnya mengenai animasi tersebut, ia memaparkan karakter utama iaitu seorang kanak-kanak bernama Boboiboy dan dibantu oleh beberapa karakter tambahan seperti Gopal, Ying, Yaya. Dalam usaha menyalur bantuan kepada orang ramai, Boboiboy akan terpisah kepada tiga orang iaitu Bo, Boi dan Boy yang mempunyai tiga kuasa berbeza termasuk tanah, angin dan petir. Turut diwujudkan ialah karakter makhluk asing yang membawa pulang biji kopi ke planetnya, namun kerana aroma dan rasa kopi yang begitu sedap, seluruh kroni makhluk asing itu sanggup turun ke bumi semata-mata untuk mendapatkan kopi tersebut. Secara ringkasnya juga, Gopal iaitu karakter budak India yang mempunyai kuasa menukar sesuatu barang kepada barang yang lain. Ying karakter budak Cina yang mempunyai kuasa yang membolehkannya bergerak pantas berbanding rakan-rakannya yang lain. Sementara itu, Yaya pula merupakan karakter kanak-kanak perempuan comel yang bertudung.

Pengunduran mereka daripada Les'Copaque Production bukannya ada persengketaan atau masalah dalaman, tetapi bagi Nizam ia adalah kerana minat mereka untuk berdiri di kaki sendiri dalam menghasilkan produk melalui syarikat animasi milik mereka, Animosta Studios. Tambahnya lagi, Les'Copaque kini mempunyai ramai tenaga kreatif dan mustahil mereka tidak boleh menghasilkan karya yang sehebat Upin & Ipin. Namun, kata Nizam biarlah tahun 2010 yang akan datang tidak lama lagi memberikan sinar baru buat Boboiboy, produk terbaru mereka dan harapannya adalah animasi ini mampu mencetuskan fenomena tersendiri sepertimana produk sulung mereka, Upin & Ipin. Oleh itu, kepada yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Boboiboy dan Animonsta Studios, sila layari laman sesawang, www.animonsta.com sekarang.

p/s: Di harapkan ia mampu memberikan sinar baru dalam dunia animasi tempatan. Insya-allah.

Catat Ulasan

0 Ulasan