'Magika.... Dunia Khayalan tanpa sempadan..!


'tiada yang mustahil dengan kuasa imaginasi, melaluinya kita mampu merentasi dua dunia yang di dalamnya terkandung pelbagai cerita yang mempunyai kisahnya tersendiri. Kita di bawa meneroka ke alam penuh khayalan yang tentunya menjanjikan pulangan yang cukup lumayan, penuh misteri dan menggemparkan. Apakah kita sudah bersedia menerokai alam penuh misteri dalam Magika?. Tentunya cukup menyeronokkan dan menghiburkan....', itulah kata-kata yang dapat saya simpulkan pada Magika, sebuah filem muzikal arahan Edry Abdul Halim. Filem terbitan KRU Films itu kini ditayangkan serentak di seluruh Malaysia bermula 23 September 2010. Filem yang bakal mengutip kutipan pecah panggung ini merupakan sebuah filem muzikal yang tidak mengecewakan anda sebagai penonton. Jom kita selidik apa yang menarik dalam Magika...

  • Jalan Cerita & Idea : Sebuah kisah yang membawa kita ke dunia yang tidak pernah kita bayangkan. Di dalamnya terdapat pelbagai watak yang pernah kita dengar melalui cerita-cerita dongeng akan kewujudan Naga Tasik Chini, Puteri Gunung Ledang, Badang, Pak Pandir, Mahsuri, Hang Tuah dan rakan-rakan, Bawang Putih Bawang Merah, Puteri Bunian dan sebagainya. Magika membawa kita ke dalamnya melalui watak Malik ( Fimie Don) dan Ayu ( Diana Danielle) yang pulang ke kampung halaman bersama bapa kandungnya, Murad ( Dato' Jalaluddin Hassan) . Di kampung, Malik merayau keseorangan, lalu tersesat di dalam hutan dan terjatuh ke dalam sebuah perigi yang akhirnya menemukan Malik melalui watak-watak pelik dalam dunia Magika. Di Magika, pelbagai kisah menarik, melucukan dan menyentuh perasaan terkandung dalam naskhah pertama arahan Edry Abdul Halim ini. Berjayakah Malik melarikan diri tatkala Nenek Kebayan ( Ziana Zain) menjadikan dirinya sebagai mangsa keadaan?. Nantikan saja Magika di pawagam berhampiran anda..
  • Watak dan Perwatakan : Semua pelakon yang membintangi filem Magika wajar dipuji atas keberkesanan lakonan yang dibawa mereka menerusi watak-watak yang diberi. Kesesuaian watak yang digalas bukan bermakna kecemerlangan lakonan para pelakon baru mahupun berpengalaman. Cuma, mereka itu hanya memegang watak berdasarkan apa yang ditugaskan sutradaranya. Misalnya, Ziana Zain memegang watak Nenek Kebayan yang sudah tua, tapi masih bergetah dan cantik, berbanding Ning Baizura ( Puteri Gunung Ledang) yang gemuk dan buruk akhirnya bertukar menjadi cantik melalui jamu ubatan ciptaan Nenek Kebayan Ziana. Apa yang cukup menarik antara kebanyakan watak yang dimunculkan dalam Magika, saya menyukai Puteri Bunian yang begitu banyak, lakonan pelakon cantik Maya Karin. Kemunculan beberapa cameo seperti Adibah Noor, M.Nasir, Ogy Ahmad Daud, Sharifah Armani dan sebagainya dalam Magika, menjadikan filem ini sebagai filem yang cukup rencah, berwarna-warni, dan indah seperti sebuah lukisan yang dilukis di atas sebuah papan kaca.
  • Sinematografi dan keindahannya : Magika sebuah filem yang cukup cantik sinematografinya, apatah lagi rakaman visual permandangan yang menghijau, pokok-pokok, dan gunung-ganang meletakkan Magika antara sebuah filem yang wajib ditonton seisi keluarga September 2010 ini.
  • Dialog dan pengucapannya: Terdapat dialog yang agak lucah di dalam Magika di mana Nabil ( Watak Orang Minyak) mempersoalkan kemaluan dan rambutnya. Ia disampaikan secara komedi, samada secara sedar atau tidak.
  • Antara sebuah Muzikal : Magika merupakan sebuah filem Muzikal yang penuh warna warni dimana setiap watak akan menyanyikan beberapa lagu bagi menunjukkan sesuatu rasa dan keadaan yang sudah berlaku atau sedang berlaku. Ia sepertimana karya Glee dan Drama Muzikal Hotel Mania.

'Dunia Khayalan tanpa sempadan', tentunya anda tidak mahu melepaskan setiap saat apa yang berlaku dalam Magika yang khabarnya telah merasuk penonton kita di pawagam!!.
Nak tahu lagi apa yang menarik dalam Magika?. Anda kena tonton sendiri filem ini di pawagam sekarang!!!

click here

p/s: Saya suka lagu Gebang nyanyian Maya Karin dalam Magika!!. Dapatkan Original Soundrack Magika di pasaran yang tulen..

Catat Ulasan

0 Ulasan