PELAKON DAN PELAWAK OSMAN KERING MENINGGAL DUNIA


Industri hiburan dan filem tempatan dikejutkan lagi dengan pemergian seorang pelakon, pelawak dan bintang seni, Osman Kassim atau Osman Kering (58), yang meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.45 petang tadi. Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Che Norhayati Che Omar (48) dan tujuh orang anak berusia antara 10 hingga 28 tahun.

Allahyarham yang membintangi kira-kira 21 buah filem, antaranya Si Jantung, Adik, XX-Ray, Ringgit Kassorga, Cinta Rosevilla, XX-Ray 2, Superstar, Raja Melewar, Soal Hati, dan banyak lagi, termasuk filem terakhir lakonannya, Kantoi (2012) arahan Mat London, dikejarkan ke hospital sebelum ini akibat batuk berdarah.

Jenazah telah disembahyangkan di Masjid Al-Najihin, Taman Tasik Permaisuri Cheras, Kuala Lumpur dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Tandang, selepas solat maghrib. Kami dengan ini mengucapkan salam takziah buat keluarga Allahyarham, semoga rohnya ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.

AL FATIHAH

Catat Ulasan

0 Ulasan