DI MANAKAH NASIB KRU PRODUKSI DALAM INDUSTRI FILEM DAN HIBURAN TEMPATAN?


'Isu bayaran dan gaji pekerja belakang tabir khususnya dalam industri hiburan dan filem tempatan menjadi topik perbualan panas segelintir penggiat seni dan filem tempatan. Ada sesetengah dari mereka menginginkan bayaran setimpal dengan keringat yang mereka laburkan. Ini meliputi kru bawahan sehinggalah kepada pengarah dan penerbit sesebuah produk. Kolum Industri hari ini, mengemukakan petikan artikel menarik mengenai NASIB KRU PRODUKSI tulisan Rozdan Mazalan yang disiarkan Berita Harian, 2 Julai 2012. Tujuan Amy menyiarkan petikan ini adalah sebagai luahan rasa mewakili golongan Kru Filem dan drama diluar sana. Moga apa yang dipaparkan dapat dikongsi dan diselesaikan sebaik mungkin, demi memartabatkan Industri seni, hiburan dan filem tempatan', - Amy Ikram

**********


NASIB KRU PRODUKSI
BH 2/7/12

Di sebalik glamor dunia perfileman dan drama tempatan, dianggarkan 87 peratus daripada 16,000 pekerja belakang tabir (kru) sektor itu berada dalam paras kemiskinan. Kadar gaji tidak berbaloi, bayaran melalui baucar berperingkat hinggalah agihan terakhir dibuat hanya selepas syarikat produksi dibayar stesen televisyen serta tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi antara realiti pahit yang terpaksa ditelan kru filem dan drama tempatan sejak bertahun-tahun lalu.

Kajian Persatuan Pekerja Professional Filem Malaysia (PROFIMA) mendapati, gaji maksimum kru bawahan sebanyak RM 1,625 sebulan, beban kerja melebihi 12 jam sehari dan pemberian gaji melalui baucar dalam tiga peringkat menyebabkan majoriti kru filem dan drama belum mampu memiliki rumah atau kehidupan selesa. Presiden PROFIMA, Khir Mohd Noor, berkata sejak tiga tahun lalu, persatuan itu yang mewakili 102 bidang kerja dalam industri perfileman menetapkan kadar bayaran kru pelbagai kategori untuk diikuti syarikat produksi.

Khir berkata, kajian PROFIMA mendapati kadar bayaran kru masih mengikut tangga gaji kira-kira 15 tahun lalu. "Hanya sebilangan syarikat penerbitan mengguna pakai kadar bayaran ditetapkan PROFIMA. Selebihnya, penerbit membayar secara pakej yang diagihkan dalam bentuk baucar kepada kru. Alasan diberi penerbit ialah syarikat televisyen membayar dengan harga rendah lalu mendorong penerbit memikirkan soal keuntungan terlebih dulu", katanya kepada Skop Hip BH.


Mengikut rekod PROFIMA, daripada 16,000 kru filem dan drama, seramai 11,113 kru berdaftar sebagai ahli persatuan dengan lebih 8,000 kru bergerak aktif dan mendapat tawaran bekerja secara konsisten. Khir berkata, kadar bayaran kru yang diperkenalkan PROFIMA bagaimanapun hanya memberi garis panduan, bukannya peraturan yang perlu dipatuhi. Menurutnya, isu gaji di takuk lama, bayaran melalui baucar dan tiada caruman KWSP masih menjadi masalah besar yang dihadapi kru filem dan drama.

"Kita dapati masih ada pekerja kru yang sudah berumah tangga terpaksa berkongsi rumah. Kru bujang juga terpaksa menyewa rumah beramai-ramai. Kita tidak mahu rakyat kita hidup seperti pekerja asing sehingga boleh berkongsi satu rumah sampai tiga pasangan suami isteri", katanya yang mengharapkan kenaikan 30 peratus kadar bayaran pekerja filem atau kru bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Khir berkata, PROFIMA komited memperjuangkan nasib pekerja filem dan drama sehingga kemelut berhubung kadar gaji dan perlindungan mereka mendapat perhatian kerajaan. "Kita harap Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) meninjau masalah yang membelenggu pekerja belakang tabir, selain membantu penerbit menghasilkan produk bermutu. Memikirkan kru adalah daripada kalangan belia, mereka harus mendapat pembelaan Kementerian Belia dan Sukan.


"PROFIMA selama ini membantu belia mendapatkan pekerjaan berikutan kebanyakan kru tidak berpendidikan tinggi. Selain itu, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga harus memberi perhatian kepada golongan penting penggerak kepada pembangunan industri kreatif ini", katanya.


TAK IKUT SKIM GAJI PROFIMA

Skop Hip BH yang merujuk skim gaji disyorkan PROFIMA, mendapati pendapatan kru belakang tabir masih di takuk lama malah dilihat tidak mengambil kira keperluan kos hidup semasa. Misalnya, petugas rencam handyman bagi suatu produksi drama bersiri 45 minit (dengan jangka masa lima hari bekerja untuk satu episod) dibayar maksimum RM250 atau RM3,250 bagi 13 episod untuk tempoh 65 hari bekerja. Ini bermakna kru petugas rencam dianggarkan menerima gaji RM1,625 sebulan.

Namun, gaji tidak dibayar sekaligus sebaliknya melalui tiga peringkat iaitu pendahuluan sebanyak 40 peratus, pertengahan 30 peratus, dan baki 30 peratus selepas produksi menerima bayaran daripada stesen televisyen. Dalam kes tertentu, baki gaji lewat diterima kerana menunggu stesen televisyen melangsaikan bayaran kepada syarikat produksi. Selain itu, melalui sistem bayaran gaji menerusi baucar, kelayakan kru untuk mendapatkan pinjaman perumahan daripada institusi perbankan sering ditolak tanpa perundingan.


Ini mencetuskan persoalan berhubung pembelaan terhadap kumpulan kru yang menjadi jentera terpenting menggerak industri perfileman. Untuk menerbitkan satu produk, produksi memerlukan 90 peratus tenaga kerja belakang tabir.

amy's said: Diharapkan agar akan ada perubahan dari segi skim bayaran kepada tenaga kerja kru produksi. Menunggu khabar baik dari pihak kerajaan melalui KPKK berkenaan isu ini. Harap maklum.

Catat Ulasan

0 Ulasan