'MEMIKAT, MENDEBARKAN, ADA KALA MERIMASKAN' - ULAR DAN SIMBOLIKNYA.

Kenapa ULAR?. Sudah tidak ada haiwan lainkah untuk dijadikan plot cerita dalam pembikinan sesebuah filem?. ULAR yang ditangani Jason Chong, selaku sutradara filem ini merupakan hasil kerja yang agak baik dari produksi ShowBiz Production, iaitu anak syarikat milik KRU Films Sdn Bhd. Ini bukan karya arahan pertamanya, malahan ULAR adalah karya kedua Jason Chong selepas Belukar yang dibikin pada tahun 2010. Plot menarik dalam filem ini adalah terletak pada sang ULAR yang menjadi intipati cerita. Namun, skopnya agak terganggu dengan sesetengah karektor yang dirasakan 'agak mencacatkan' filem ini, khususnya pada babak ' kelakar' antara 'watak' yang bermain pada permulaannya sebelum 'karektor' itu masuk dan melingkari jalan ceritanya.

ULAR mengisahkan tentang Myra, lakonan Lisa Surihani seorang wartawan 'kontroversi', yang ditugaskan untuk membuat liputan tentang resort percutian yang terletak di 'Pulau Batik Panjang'. Myra bersama Remy, lakonan Yusry KRU telah bertemu untuk menjalankan tanggung jawab tersebut. Semasa berada di resort tersebut, seorang demi seorang pengunjung yang memenangi percutian di situ hilang. Ini meresahkan pengunjung yang lain. Kehilangan mereka menghantui 'setiap penghuni' yang berada di resort tersebut, memandangkan pelbagai kejadian aneh dan pelik tentang resort itu telah terbongkar. Aziz (Namron) dan isterinya Rohani (Zarina Zainuddin) merupakan pasangan suami isteri yang mengusahakan resort tersebut dipersalahkan kerana menyimpan 'rahsia hitam' yang pernah 'mencacatkan' resort itu tentang kejadian 'spesies ular' yang telah membunuh ramai pengunjung sebelum ini. Untuk mengelakkan sang 'Ular'  itu dari mengganas, 'pagar elektrik' telah dibina pada pintu masuk resort tersebut. Akibat 'pagar' itu disentuh, maka tragedi ular itu kembali menghantui dan 'membunuh' semua manusia yang masuk ke resort puaka itu.

Apa yang menarik mengenai cerita ULAR ini adalah 'pembikinan sub-potnya'. Ia dikupas begitu dramatik sehingga menjadi sebuah karya yang cukup mendebarkan. Namun, apa yang ingin saya 'sentuh' disini ialah tentang beberapa watak yang cuba 'direka' oleh penulis skrip dan lakon layarnya. Imej 'lucah, seks dan hubungan pasangan gay' menjadi intipati tambahan bagi menggerakkan cerita dalam naskhah ULAR ini. Ia seolah-olah satu subtle dalam penghasilan filem ini di mana simbol ULAR merujuk kepada perilaku watak Harun Salim Bachik dengan imej seksnya, malahan penampilan Chew Kin Wah dan pelakon baru Shukri Yahya sebagai pasangan 'gay' merupakan 'humor' yang sangat 'simbolik' pada ikon 'Ular' yang menjadi 'plot terpenting' dalam filem ketiga terbitan produksi ShowBiz Production. Menariknya juga adalah penampilan Nizam Zakaria pada 'opening' filem ini dalam naskhah 'Ular'. Simbolik Ular mungkin dapat dilihat pada sesetengah karektor yang bermain dalam filem ini, malahan penampilan Izzue Islam dalam karya Jason Chong ini dilihat agak baik berbanding 'Hantu Tok Mudim' yang sangat 'merimaskan. 

ULAR tidak mengecewakan namun bagi saya ia cuba menjadi filem ANACONDA MALAYSIA dan saya cukup tertarik dengan 'trailer' filem ini. Ditayangkan di pawagam Malaysia pada 5 Disember 2013 dan khabarnya masih 'panas' tayangannya, ULAR antara produksi Malaysia yang cukup 'sederhana' tapi 'memikat' dan ada ketikanya 'merimaskan'.. tapi ia 'mendebarkan'.


*bagi yang belum menonton, segeralah ke pawagam (jika ada). Tonton dipawagam bagi peminat filem, tonton dirumah bagi peminat sinentron*..

Nantikan ulasan filem seterusnya...

Catat Ulasan

0 Ulasan