SINEMA MELAYU : KENANGAN DI STUDIO JALAN AMPAS, SINGAPURA


KENANGAN STUDIO JALAN AMPAS

PERLU diakui, sejarah kegemilangan filem Melayu tanah air tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan negara jiran, Singapura. Bermula dengan Leila Majnun arahan B.S. Rajhans yang menelan belanja $50,000 pada 1933, Singapura terus menjadi lubuk pembikinan filem-filem Melayu yang terus menambat hati rakyat tempatan meskipun seringkali dipengaruhi budaya India, kesan kemasukan ramai pengarah berpengalaman dari negara tersebut.

Lalu, tidak dapat tidak, kita seharusnya juga berterima kasih kepada dua beradik, Run Run Shaw dan Run Me Shaw yang datang dari China semata-mata untuk mengembangkan perniagaan mereka di Singapura setelah melihat potensi besar di Malaya. Biar pun ada yang skeptikal mengatakan tindakan itu mungkin sekadar mengaut keuntungan tanpa ada niat lain, namun jika tidak kerana tindakan mereka menubuhkan Malay Film Productions (MFP) dan membina Studio Jalan Ampas, belum tentu kita mampu mengenali seniman-seniman agung yang amat dibanggakan terutamanya Tan Sri Dr. P. Ramlee.

Bukan itu saja, nama-nama besar seperti Datuk S. Roomai Noor, S. Sudarmadji, Datuk Aziz Sattar, S. Shamsuddin, Nordin Ahmad, Omar Rojik, Tan Sri Jins Shamsuddin,Tan Sri L. Krishnan, selain seniwati-seniwati terkenal termasuk Latifah Omar, Zaiton, Hashimah Yon, Datuk Sarimah Ahmad serta ramai lagi yang terlalu panjang untuk dinukilkan, kesemuanya menjadi terkenal setelah ‘bersekolah’ di Jalan Ampas sebelum membawa haluan masing-masing.

Bagaimanapun, kini tempat itu tidak lagi semeriah dahulu. Keadaannya sudah usang. Tiada lagi kelibat pejuang-pejuang seni mundar-mandir di situ setiap hari setelah studio itu ditutup sepenuhnya pada 1967. Untuk mengimbau kembali sekelumit dari jutaan cerita yang tersimpan di Studio Jalan Ampas dan rumah teres Jalan Boon Teck yang pernah menjadi tempat tinggal artis serta petugas di studio berkenaan, wartawan S2, MOHD. RAFIE AZIMI bersama jurugambar, ABDUL RAZAK LATIF, AZMAN ASMAYATIM, HAFIZ JOHARI dan MOHD. FARIZWAN HASBULLAH baru-baru ini berkunjung ke Jalan Ampas selain menemui mereka yang pernah menjalani kehidupan di lokasi bersejarah itu.




TIDAK SEGAH DAHULU

Sebagai peminat filem Melayu lama, sebenarnya sukar untuk penulis gambarkan perasaan yang timbul sewaktu pintu pagar Studio Lapan Jalan Ampas dibuka bagi membolehkan penulis melangkah ke dalamnya. Pelbagai rasa bercampur baur. Pertamanya, gembira kerana impian sejak kecil untuk ke situ kesampaian dan keduanya teruja kerana penulis berada di lokasi yang menjadi tempat legenda-legenda seni tanah air berkarya.

Begitu pun, kedua-dua perasaan yang menyeronokkan itu sebenarnya turut diiringi perasaan sedih dan kecewa. Sebabnya, kawasan studio itu kini sudah tampak suram dan tidak bermaya sehingga tidak menampakkannya sebagai lokasi yang pernah gah suatu ketika dahulu. Semua itu bagaimanapun tidak menghalang kemahuan penulis untuk meneroka segenap inci pelosok studio tersebut lebih-lebih lagi apabila membayangkan adegan-adegan yang terdapat dalam filem Seniman Bujang Lapok.

Sebagai gambaran, sebaik sahaja pintu pagar dibuka, pengunjung pasti akan teringat adegan 'Hang Kebun' melibatkan 'Director' Ahmad Nisfu yang berlaku betul-betul di hadapan pintu masuk ke pejabat 'bos-bos besar' studio termasuk pengurusnya, Kwek Chip Jian. Untuk makluman, pejabat Kwek atau lebih mesra dipanggil 'Mister' Kwek dalam kalangan warga Jalan Ampas merupakan pejabat Kemat Hassan yang bertindak sebagai pengurus studio dalam filem Seniman Bujang LapokDi sebelah kanannya pula, terdapat tapak kosong yang dahulunya menempatkan studio lapan. Jika di dalam filem, kedudukannya terletak di belakang 'Bai' jaga. Di situlah tempatnya berlaku adegan si Bujang Lapok sedang diuji bakat sehingga memeningkan kepala Ahmad Nisfu.

Terletak bertentangan dengan pintu pagar studio adalah bekas tapak kedai kopi Ah Lam. Di kedai kopi ini, para petugas di Studio Jalan Ampas melepaskan lelah bekerja sambil bermain dam. Tidak terlepas daripada dimuatkan di dalam Seniman Bujang Lapok, kedai kopi Ah Lam menjadi lokasi di mana P. Ramlee dan Aziz Sattar menanti Sudin yang cuba meminjam wang sebanyak $350 daripada Kemat Hassan.

Selain itu, tiada apa lagi yang boleh diungkit. Bilik solekan dan tandas tempat Sudin terketar-ketar ketakutan menghafal skrip berlaku di Studio 9A yang terletak di arah barat laut Studio Lapan. Studio 9A itu bagaimanapun sudah dirobohkan dan tapaknya dibina bangunan pejabat baru, sekali gus menenggelamkan terus bayangan studio yang lama.
Dalam usaha untuk menelah masa depan studio itu, penulis cuba mendapatkan fakta atau setidak-tidaknya sedikit komen daripada Shaw Brothers sebagai pemilik studio berkenaan.

Usaha itu bagaimanapun menemui kegagalan apabila pihak Shaw enggan memberi sebarang kenyataan walaupun memberi kebenaran penulis masuk ke kawasan studio tersebut. Apa pun, berdasarkan tugu maklumat yang terletak di hadapan studio berkenaan, Shaw Brothers dikatakan mula bercita-cita untuk menjadi pemain utama dalam industri filem Melayu melalui Studio Jalan Ampas pada 1947.

Di bawah jenama Malay Film Productions Ltd. (MFP), studio itu mengeluarkan filem pertamanya berjudul Singapura Di Waktu Malam diarahkan B.S Rajhans pada tahun yang sama. Di situ, pelbagai sejarah tercipta. Antaranya, filem Melayu pertama berwarna sepenuhnya dirakamkan di situ iaitu filem Hang Tuah arahan Phani Majumdar dan lakon layar oleh Jamil Sulong. Selain itu, Ibrahim Pendek juga mencatat sejarah apabila lakonannya dalam filem Ali Baba Bujang Lapok menarik perhatian Universal International untuk menawarkannya peluang berlakon di samping Rock Hudson dan Gene Rowlands dalam filem The Spiral Road pada 1962, sekali gus menjadikannya sebagai pelakon tempatan pertama beraksi di Hollywood.

Setelah melalui zaman kegemilangan filem Melayu dengan menghasilkan lebih 160 buah filem di situ, studio tersebut akhirnya terpaksa ditutup pada 1967.
Sebab-sebab penutupannya sehingga kini masih kabur. Bagaimanapun kemasukan filem-filem luar tanpa kawalan dilihat merupakan salah satu faktor yang 'membunuh' industri filem Melayu tanah air sehingga pada suatu ketika, tiada satu pun filem Melayu ditayangkan di pawagam.

Carian di internet pula mendapati ramai mendakwa Raja Bersiong arahan Jamil Sulong dan skripnya ditulis Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman merupakan filem terakhir yang dihasilkan di studio tersebut pada 1967.
Namun menurut Datuk Aziz Sattar, filem terakhir yang dihasilkan di studio tersebut berjudul 'Terlibat' yang diarahkan oleh S. Kadarisman di mana beliau turut berlakon di dalam filem tersebut.


BUJANG LAPOK GAMBARAN SEBENAR JALAN AMPAS

BARANGKALI ada dalam kalangan kita menganggap segala apa yang dipertontonkan dalam filem Seniman Bujang Lapok hanyalah sebahagian daripada interpretasi seni atau sekadar fiksyen tanpa ada kena mengena dengan dunia nyata.

Namun menurut Datuk Aziz Sattar, segala apa yang dipertontonkan P. Ramlee selaku teraju utama di dalam filem berkenaan sebenarnya amat berkait rapat dengan kehidupan warga Studio Jalan Ampas.

Sebagai contoh katanya, bintang legenda itu cuba memaparkan sikap sebenar pekerja-pekerja di Jalan Ampas melalui filem berkenaan.

"Paling dikenang tentunya adegan 'Bai jaga' yang tidak sudah-sudah memerli orang. Sebenarnya sikap beliau memang begitu sampai kadang-kadang kita pun geram. Tapi apa yang dicakap semuanya betul. Sebab itu kita tak boleh marah.

"Kadang-kadang orang datang, walaupun berpakaian cantik tapi tidak beradab. Datang saja terus tanya 'P. Ramlee ada?'. Jika begitu, biasanya 'Bai Jaga' yang nama sebenarnya Pretam Singh itu akan terus bangun tanpa melayan pertanyaan itu.

"Tapi kalau yang datang itu berbudi bahasa, orang itu akan dilayan bersungguh-sungguh. Gambaran lain, adalah dalam adegan sebelum itu di mana A. Rahim tiba-tiba mendengus dan menendang kerusi. Memang itulah sikapnya yang selalu secara tiba-tiba saja 'kepala angin'," katanya.

Dalam pada ceria bercerita mengenai memori indahnya bersama kawan-kawan di Studio Jalan Ampas, nada Aziz bagaimanapun tiba-tiba berubah apabila ditanya mengenai keadaan ketika studio itu hampir ditutup.

"Saya sudah mengetahuinya lebih awal apabila seorang rakan meminta saya bersedia kerana katanya studio itu akan ditutup dalam tempoh enam bulan lagi. Apabila saya beritahu kawan-kawan lain, mereka tidak percaya tetapi saya tetap mengambil langkah berhati-hati dengan mula membayar hutang sedikit demi sedikit kepada lima kedai kopi yang berada di sekitar studio tersebut.

"Akhirnya perkara itu menjadi kenyataan. Dalam tempoh dua minggu sebelum studio itu ditutup, kami dimaklumkan tentang perkara tersebut oleh pengurus, Kwek Chip Jian. Keadaan menjadi suram dengan masing-masing bimbang mengenai masa depan sehingga sukar untuk kami melelapkan mata pada waktu malam," katanya.

Apabila tiba harinya, bermula pada pukul dua petang, para petugas di Studio Jalan Ampas daripada krew produksi sehinggalah kepada pelakon-pelakon terkenal mula mengambil gratuiti dan sebulan wang gaji sebelum pintu studio berkenaan tertutup rapat buat selama-lamanya.

"Keadaan ketika itu sukar digambarkan. Ada yang menangis, ada pula yang berpelukan. Paling kasihan melihat mereka yang banyak berhutang," katanya.
Dugaan dihadapi tidak terhenti di situ. Keesokan harinya iaitu pada Hari Raya Aidilfitri yang pertama, Jalan Boon Teck yang menjadi tempat tinggal artis dan krew studio berkenaan banjir.

"Habis segala ketupat dan kuih raya hanyut. Apabila banjir surut, kami beramai-ramai membersihkan rumah dalam keadaan bersedih. Memang saya tidak akan lupakan peristiwa itu," ujarnya.

Bagi menyara hidup kata Aziz, kebanyakan artis mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan atau kembali kepada pekerjaan lama mereka sebelum bergelar pelakon.
"Salleh Kamil bawa teksi, Kemat Hassan bekerja sebagai pemandu, Shariff Dol menjaga gudang bersama ayahnya sementara Omar Suwita membuka kedai gunting rambut," ujarnya





ZAITON, ZAINI RINDU KEAKRABAN RAKAN 

SEMENJAK Studio Jalan Ampas ditutup sepenuhnya pada 1967, seniwati Zaiton Abdullah yang cukup dikenali menerusi gandingan mantapnya bersama S. Shamsuddin dalam filem Bujang Lapok tidak pernah sekali pun kembali menjejakkan kaki ke situ.

Justeru, tidak hairanlah apabila penulis menemubualnya betul-betul di bilik beliau diuji bakat oleh P. Ramlee, Jamil Sulong, Phani Majumdar dan HM Rohaizad ketika mula-mula mahu menceburi bidang lakonan pada 1954, emosinya sedikit terganggu.


Dalam menahan sendu, Zaiton mengakui betapa beliau amat merindui suasana di studio itu yang mana kesemuanya adalah kawan tanpa ada sebarang permusuhan.

"Hubungan antara kami amat rapat. Daripada pelakon, jurukamera, 'wireman', pengawal sehinggalah peniaga kedai kopi di depan studio, semuanya saling mengenali.

"Bagai tiada rintangan antara kami. Saya selalu menumpang motor 'wireman' untuk ke kedai makan. Tiada siapa kata apa-apa pun kerana semuanya bagaikan keluarga," katanya.


Beliau menambah, keadaan studio itu dahulunya amat cantik sehingga membangkitkan semangat bekerja dalam kalangan warganya.
"Tetapi sekarang saya sedih melihatnya. Amat jauh berbeza sehingga saya bertanyakan kepada Zaini Sattar (adik Aziz Sattar) sewaktu hampir tiba tadi, sama ada betul ini Studio Jalan Ampas?" ujarnya.

Zaini yang awalnya berdiam, turut mengiyakan kata-kata Zaiton.
"Buktinya, satu malam saya membeli nasi bungkus berlaukkan sekeping daging dari kedai Wak Mustarjo (Pendekar Mustar). Apabila baru hendak menyuap makanan, datang Nordin Ahmad ke rumah dan saya mengajaknya makan.

"Nordin tidak menolak. Apabila beliau duduk saja, tiba-tiba A. Rahim pula datang. Lalu saya ajak pula Rahim makan sekali dan Rahim juga mengaku yang beliau sedang lapar.
"Kami kongsi bertiga nasi yang sebungkus itu. Nampak sedikit tetapi akhirnya ketiga-tiganya rasa kenyang. Mungkin disebabkan keakraban, keikhlasan dan seronok makan bersama, ketiga-tiganya mampu tidur lena malam itu," katanya yang merupakan bekas penari di Studio Jalan Ampas.

KENANGAN ANAK SENIMAN

BAGI anak sulung seniman Datuk Ahmad Daud dan seniwati Datin Saadiah, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy, pengalaman membesar dalam kalangan legenda-legenda seni tanah air merupakan sesuatu yang terlalu manis untuk dikenang.

Baginya, biar pun ‘pakcik’ dan ‘makcik’ yang mengelilinginya itu kesemuanya bintang filem terkenal, namun masing-masing amat merendah diri menyebabkan seakan terdapat ikatan kekeluargaan yang cukup erat di kawasan kejiranan Jalan Boon Teck, Singapura.
“Kehidupan mereka tidaklah mewah mana pun. Malah cukup susah apabila Studio Jalan Ampas ditutup. Sehinggakan pernah berlaku kami terpaksa beratur panjang mengangkut air akibat bekalan air ke kuarters itu dipotong.

“Tetapi biar apa pun berlaku, kehidupan cukup seronok pada waktu itu. Masing-masing saling membantu dan mengambil berat antara satu sama lain dalam suasana cukup ceria. Sukar untuk saya gambarkan betapa akrabnya kami sesama jiran," katanya.
Mengimbas antara kenangan terindahnya di situ, Ogy tidak henti-henti ketawa sewaktu menceritakan bagaimana kesemua artis dan krew produksi yang tinggal di Jalan Boon Teck menghantar Wak Mustarjo (Pendekar Mustar) menunaikan haji di Pelabuhan Singapura.

Ketika itu katanya, orang ramai berpusu-pusu mengambil peluang bergambar dan bersalaman dengan seniman-seniman yang ada di situ terutama sekali ibunya, Saadiah.
“Perkara paling melucukan adalah kami perlu menghantar Wak Mustarjo selama tiga hari berturut-turut. Pada hari pertama dan kedua, Wak Mustarjo sudah pun naik ke kapal dan kesemua kami menangis sambil melambai-lambai.

“Namun kapal tidak boleh belayar akibat air cetek. Terpaksa beliau turun dan datang semula esoknya sehingga menjadi bahan jenaka ayah dan kawan-kawannya. Apabila kapal bergerak saja pada hari ketiga, kesemua rombongan kami menjerit ‘Alhamdulillah’ dengan nada yang kuat," katanya.

Dalam pada itu, Ogy memberitahu, neneknya yang juga emak kepada Saadiah, Maimon Aris pernah menyerang Normadiah di set penggambaran kerana berang dengan tindakannya memukul cucu kesayangan beliau, Bat Latiff dalam filem Lela Manja.
“Emak yang menenangkan nenek. Nenek tidak dapat menerima apabila melihat Bat Latiff lebam akibat dipukul ketika penggambaran.

“Tetapi dahulu, memanglah begitu. Sebab itu lakonan mereka nampak hidup. Emak asyik membebel pada nenek dan mempertahankan Normadiah. Kata emak semua itu asam garam dalam lakonan," ujarnya.






MAK MOMO LATIFF IKUT SAJA

BIAR pun tidak berkebolehan membaca skrip kerana buta huruf, kebanyakan pelakon zaman dahulu ternyata mampu membawa apa jua watak diberikan sehingga meninggalkan kesan yang mendalam terhadap penonton.

Mungkin disebabkan anugerah kurniaan tuhan, barisan pelakon seperti Mak Dara, Siput Sarawak dan Siti Tanjung Perak contohnya amat dibenci penonton apabila memegang watak antagonis kerana berjaya melakonkannya dengan amat baik.

Begitu juga dengan Momo Latif atau nama sebenarnya, Marfuah Mat Karim. Meskipun tidak banyak berlakon disebabkan tidak berminat dengan cabang seni itu, lakonannya sebagai isteri Pendekar Mustar di dalam filem Pendekar Bujang Lapok sehingga kini terus menjadi sebutan.

Menurutnya, setelah berlakon dalam filem Toping Saitan (Topeng Syaitan) yang merupakan filem ketiga keluaran Shaw Brothers, beliau hanya mahu menyanyi dan tidak berniat untuk terus berlakon.

“Saya lebih minat menyanyi berbanding berlakon. Tetapi entah macam mana, penggubah lagu, Osman Ahmad yang rapat dengan saya minta P. Ramlee ambil saya berlakon dalam filem Musang Berjanggut.

“Saya dah bilang yang saya tidak tahu membaca dan berlakon. Tetapi Ramlee cakap ‘Mak Mok ikut saja’ berulang kali sambil memberi tunjuk ajar. Saya pun buatlah seperti disuruh.

“Kebanyakan yang berlaku memang secara spontan. Lain di dalam skrip, lain yang dicakapkan. Tetapi alhamdulillah, semuanya menjadi," katanya yang kini sudah pun berusia 91 tahun.

Mungkin ramai yang tidak tahu, Momo sebenarnya sudah menyanyi di pentas sejak berusia 14 tahun dan terlibat dengan pementasan bangsawan sehingga ke Hong Kong, China dan tanah kelahirannya, Indonesia.

Banyak nyanyiannya dipilih untuk dimuatkan ke dalam filem-filem Melayu klasik di mana suaranya banyak digunakan oleh pelakon terkenal seperti Neng Yatimah, Maria Menado dan Kasma Booty.

Momo dalam pada itu memberitahu, kedai kopi Ah Lam yang terletak betul-betul di hadapan pintu pagar Studio Jalan Ampas banyak meninggalkan memori baginya.
“Di situlah kami berkumpul dan berborak. Sambil melepas lelah meneguk minuman, ada kalanya para pelakon dan krew studio mengambil kesempatan bermain dam," katanya.





AYU 20 SEN SUDAH BERGELAR NENEK

SEHINGGA kini, watak Ayu yang mulutnya perlu ‘ditutup’ dengan wang 20 sen agar tidak membuka rahsia percintaan di antara Sudin dan Zaiton di dalam filem Bujang Lapok terus diingati.

Tidak ramai yang mengambil peduli siapa empunya diri, apatah lagi untuk mengetahui nama sebenarnya, tetapi karakter Ayu tetap popular sehingga gambar aksinya meminta 20 sen daripada Zaiton dan Sudin dimuat naik secara meluas di laman sosial sebagai sebahagian daripada jenaka sewaktu kenaikan harga minyak dalam jumlah yang sama baru-baru ini.

Mungkin ramai yang tidak tahu, Ayu yang dahulunya nakal dan sering berseluar pendek tanpa berbaju, kini sudah pun berusia 61 tahun dan sedang menanti kelahiran cucunya yang kelima.

Seperkara lagi yang tidak ramai pihak tahu, pemilik nama Sri Rahayu Sudarmaji itu adalah anak kepada pengarah filem yang mempunyai hubungan cukup rapat dengan P. Ramlee, S. Sudarmaji.

Menceritakan detik bagaimana dia ditawarkan berlakon, Ayu berkata ketika berusia empat tahun setengah, bapanya sebaik sahaja pulang dari studio memberitahu yang P. Ramlee mahu mengambilnya berlakon.

“Disebabkan saya menganggap semua yang bekerja di Jalan Ampas termasuk jurusolek terdiri daripada pak cik dan mak cik kawan bapa, saya tidak takut dan terus memberi persetujuan.

“Adegan pertama ketika P. Ramlee membelanja Rokiah dan 10 lagi adik-beradiknya makan. Saya menjadi adik Rokiah dan melompat-lompat di atas meja makan restoran tersebut.

“Hanya selepas itu, rambut saya dipotong pendek seperti lelaki dan kemudian, barulah adegan-adegan lain dilakonkan. Tiada masalah buat saya dengan watak sebegitu kerana sewaktu kecil, saya memang tidak suka berbaju seperti dalam filem itu," katanya.

Ayu menambah, sewaktu adegan Sudin dan Zaiton berbincang di bawah sampan mengenai perkahwinan mereka, beliau menghadapi kesukaran untuk menuturkan dialog akibat mengantuk.

“Rakaman dijalankan pada pukul 12 malam menyebabkan saya tidak dapat fokus. Setelah berkali-kali gagal, P. Ramlee menghentikan rakaman untuk berehat dan kami minum kopi ‘o’ (Minuman kegemaran P. Ramlee). Apabila habis saja minum kopi, saya terus dapat melakukannya tanpa ada masalah," katanya.

Bagaimanapun tugas Ayu sebenarnya tidak terhenti di situ. Beliau selepas itu perlu menjalani proses ‘dubbing’ untuk memasukkan suara.

“Saya duduk berdua dengan ayah di bilik rakaman itu. Apabila sampai adegan yang memerlukan saya bersuara, ayah akan menepuk di bahagian belakang badan sebagai isyarat supaya saya bercakap, sama seperti yang dituturkan ketika berlakon," katanya.

Sementara itu, beliau mengakui tidak ramai daripada kenalannya tahu dirinya adalah Ayu yang cukup menarik perhatian di dalam filem tersebut.

“Bekas rakan sekerja tidak tahu, malah jiran pun sama. Jiran di sebelah rumah ini pun hanya mengetahui tentang perkara itu setelah saya terserempak dengan pelakon drama, Osman Zailani yang selalu datang ke rumahnya pada setiap kali Ramadan," katanya yang kini menetap di Kuala Lumpur.





HULK HOGAN PEMINAT P.RAMLEE

DISEBABKAN terlalu berminat dengan hero-hero filem Melayu terutamanya P. Ramlee, remaja berusia 17 tahun, Jumahat Abu Bakar (gambar) sanggup berbasikal dari Geylang ke Jalan Ampas sebelum duduk menunggu di hadapan pintu pagar Studio Jalan Ampas semata-mata mahu melihat kelibat artis pujaannya secara dekat.

Biar pun tidak bersapa, Jumahat berasa puas apabila dapat melihat P. Ramlee bersama rakan-rakannya bersarapan di kedai kopi di hadapan studio. Tanpa disangka, 52 tahun kemudian iaitu pada 1 Mei 2011, Jumahat rupa-rupanya kembali semula ke studio berkenaan. Kali ini, bukan lagi untuk menatap wajah artis kesayangan sebaliknya bertugas sebagai penjaga studio tersebut. Saya seronok bertugas di sini. Sudahlah tempat ini amat nostalgik di mana legenda-legenda seni Malaysia dan Singapura mencipta nama, majikan pula amat mengambil berat dan sudah seperti kawan baik.

“Dahulu saya selalu ke sini melihat pelakon seperti P. Ramlee dan Jins Shamsuddin. Pagi-pagi datang, terintai-intai sama ada kereta kedua-duanya sudah sampai atau belum.
“Tanpa disangka, sekarang saya menetap di sini pula kerana diamanahkan menjaga studio ini. Itulah jodoh namanya, tak dapat jadi pelakon, dapat jadi penjaga di sini pun cukuplah," katanya.

Berperwatakan menarik ala Hulk Hogan, Jumahat atau nama ‘popularnya’ Joe Hogan memberitahu, pelancong dari Malaysia merupakan yang paling ramai berkunjung ke situ.
“Selain itu, ada juga pelancong dari Amerika Syarikat dan Jepun. Paling mengujakan ada dalam kalangan mereka mengenali P. Ramlee dan tahu apa jasanya terhadap filem-filem Melayu," katanya.


Artikel ini dipetik dari Utusan Malaysia, Edisi 30 November 2013. Pihak amyikram.com menggunakan artikel ini adalah bertujuan untuk berkongsi buat peminat filem melayu klasik, dan artikel yang diterbitkan ini adalah amat menarik dan berguna untuk rujukan generasi akan datang.

Nantikan 'Angin Menderu', arahan Hasnul Rahmat yang akan menjengah Sinema Tempatan mulai 2014.

Catat Ulasan

0 Ulasan