MUZIK DALAM ERA FILEM BISU


FILEM senyap atau filem bisu (silent film) adalah filem tanpa dialog dan kesan bunyi. Dalam filem bisu , pelakon berkomunikasi dengan bahasa badan dan mimik muka. Visual menjadi elemen penting untuk menyampaikan maksud kepada penonton. Tetapi selepas filem The Jazz Singer yang diterbitkan tahun 1927, filem bersuara semakin berkembang dan menenggelamkan filem bisu dalam masa sepuluh tahun sahaja.

Filem bersuara adalah satu inovasi kepada teknologi perfileman pada zaman awal. Pada era filem bisu, tayangan filem diiringi muzik yang dimainkan secara langsung. Ini untuk memberikan mood kepada filem berkenaan. Muzik menjadi satu elemen penting sebagai penyumbang suasana kepada penonton. Malah adakalanya pemuzik juga bermain secara langsung dalam set filem ketika penggambaran sedang dijalankan.

Pada 1910-an, pawagam-pawagam di bandar dan kawasan perumahan kebiasaan disertai dengan pemain piano manakala pawagam di bandar raya besar dilengkapi pemain organ atau kumpulan pemuzik. Organ direka untuk menggabungkan piano solo dan orkestra. Organ ini dilengkapi pelbagai ciri-ciri kesan khas contohnya, Mighty Wurlitzer yang boleh meniru beberapa jenis bunyi orkestra serta beberapa kesan bunyi termasuk bunyi kuda dan dentuman guruh.

Skor muzik untuk filem bisu terawal berupa himpunan muzik klasik atau teater. Lama-kelamaan muzik latar dihimpunkan daripada muzik oleh pemain piano, pemain organ, pemimpin orkestra atau studio filem sendiri dengan menghantar kertas kiu bersama filem.
Kertas kiu ini biasanya amat panjang dengan catatan terperinci mengenai kesan dan suasana yang harus dimasukkan muzik. Kertas kiu dan skor muzik asli bermula dengan hasil gubahan Joseph Carl Breil bagi filem epik The Birth of a Nation (1915) yang diarahkan oleh D.W. Griffith.
Pada kemuncak zaman filem bisu, pemuzik merupakan antara kerjaya penting. Tetapi selepas filem bersuara diperkenalkan, serentak dengan permulaan kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat, keadaan ini telah menjadi tamparan hebat kepada para pemuzik. Dalam pada itu beberapa filem di negara lain memikirkan cara berbeza untuk membunyikan filem bisu. Di Brazil misalnya, pawagam-pawagam terawal menampilkan filem opera dengan kumpulan penyanyi yang menyanyi di belakang tabir. Perkara ini sedikit sebanyak dapat mengekalkan filem bisu bertapak agak lama di Brazil.

Sementara di Jepun pula , filem bukan sahaja dilengkapi muzik secara langsung bahkan adanya pengacara yang digelar benshi, berperanan sebagai pencerita yang memberikan ulasan dan suara watak. Benshi ini menjadi elemen terpenting dalam seni filem bisu Jepun. Dengan menyediakan terjemahan bagi filem asing, populariti benshi hanya bertahan hingga 1930-an sahaja di Jepun.

Pada dekad berikutnya , peranan skor muzik filem bisu semakin pudar apabila dalam kalangan masyarakat berpendapat bahawa penonton harus menghayati filem bisu sebagai bahan visual tanpa gangguan muzik. Kepercayaan ini mungkin didorong oleh mutu rendah skor muzik yang ditemui dalam cetakan semula filem bisu ketika itu. Baru-baru ini, minat untuk mempersembahkan filem bisu dengan skor muzik bermutu cuba digerakkan semula. 

Sebelum ini pada 1980, Francis Ford Coppola pernah memulihkan kembali filem Napoleon (1927) yang sebelum ini diarahkan oleh Abel Gance dengan iringan skor orkestra langsung gubahan bapanya sendiri, Carmine Coppola.

Dipetik dari Utusan Malaysia, 23 Mac 2014

Catat Ulasan

0 Ulasan