'BUKIT KEPONG' HD PENCAPAIAN BAIK KRU STUDIOS!

 
Beberapa hari lepas, aku menonton filem 'Bukit Kepong', versi 'restorasi digital HD'. Filem yang diterbitkan produksi Jins Shamsuddin Production pada tahun 1981 itu merupakan filem arahan Jins Shamsuddin yang menelan kos produksi sekitar RM 1.3 juta. Filem yang memperolehi keuntungan kasar kira-kira RM 1.7 juta itu pada tahun 80-an ketika filem itu ditayangkan di pawagam tempatan, kini membuatkan ia kembali menemui peminat filem , menjelang kemerdekaan Malaysia yang ke-58, bermula pada 27 Ogos 2015. 

Usaha baik yang patut dibanggakan itu datangnya dari produksi besar milik 3 beradik yang sentiasa mewarnai industri muzik dan filem tempatan. KRU Studios menerokai susur cerita karya 'Bukit Kepong', sehingga penghasilannya mendapat kerjasama murni dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta hak cipta filem itu dikongsi bersama produksi milik Jins Shamsuddin Production, yang kini diterajui anak teruna seniman tersohor itu. 


'Bukit Kepong' versi restorasi digital HD itu menampakkan karya lama kembali segar, memandangkan 100% kualiti filem itu berjaya, sehingga menjadikan 'Bukit Kepong' yang pernah kita tonton 30 tahun dahulu, seperti sebuah naskhah baru seolah-olah ia sebuah filem yang baru menamatkan penggambaran sebulan yang lepas, sedangkan ia karya era 80-an. 

Pawagam TGV dan Golden Screen Cinemas (GSC), dipertanggungjawabkan menayangkan filem ini dalam tempoh 7 hari atau seminggu di beberapa pawagam terpilih. Hanya mereka yang menghargai karya filem sahaja akan menjadikan naskhah 'Bukit Kepong' wajar ditonton dalam versi HD yang segar. Mungkin selepas ini, KRU Studios akan menjadikan filem-filem lama kembali di pawagam dalam format baru, walaupun ia karya lama, kerana '.. tiada lama tiada baru'.

di sebalik tabir.. Bukit Kepong HD

Berbalik kepada filem 'Bukit Kepong HD ini', jika di amati keseluruhannya, KRU Studios agak teliti dalam proses scanning - dust & scratch removal, HD Mastering & Color Grading,  Grain Reduction Process, folly & sound efek for stereo dan sebagainya. Proses ini dilakukan kira-kira  300 tenaga produksi milik KRU Studios, seterusnya membuktikan produksi milik mereka itu bukan sahaja boleh menerbitkan atau menghasilkan filem,  tetapi memelihara dan menjaga kualiti filem tempatan ke tahap yang boleh dibanggakan. Peranan ini harus dijadikan sebagai cabaran utama kita bagi memelihara khazanah filem kita dari era 50-an hinggalah kini. 

Sekiranya, Jins Shamsuddin (Tan Seri Datuk Dr Jins Shamsuddin) kembali sihat seperti sediakala, dia mungkin berbangga dengan karya Bukit Kepongnya yang dibikin baru dalam format HD tanpa mengubah apa-apa 'content cerita'. Dalam hal ini, KRU Studios boleh dibanggakan pencapaiannya, dan percubaannya ini berjaya walaupun ditayangkan di pawagam dalam tempoh yang agak singkat, namun penerimaan masyarakat filem agak positif. Apakah selepas ini akan ada filem tempatan lain , mungkin era 70, 80 dan 90an dipilih KRU sebagai jalan penghubung dalam menjadikan filem sebagai khazanah berharga, yang tidak harus dilupakan ; tetapi untuk kembali memeriahkan sinema malaysia ke persada seterusnya..

oleh: Amy Ikram, Hak Cipta Terpelihara 2015 amyikram.com

Catat Ulasan

0 Ulasan