"SABAH FILM ADALAH LAMBANG CINTA DAN MARUAH SAYA", - DEDDY M. BORHAN

Menemui figura ini ketika ditemubual di Hotel Le Meridian Kota Kinabalu, Sabah amatlah mudah dan menyenangkan. Harus diakui, penulis mengenali kehebatan bintang-bintang filem Azura, Hapuslah Airmatamu, Kisah Seorang Biduan dan Si Badol melalui kaca TV tanpa menyedari betapa pentingnya nama besar di sebalik filem-filem ini yang telah berjuang mengangkat filem Keluarga Si Comat (1975) bersaing dengan filem-filem import dari Hollywood, Hindustan dan juga Indonesia dan akhirnya membuka spektrum sinar baru buat filem tempatan ketika itu. Tn. Hj Maddin Borhan (72) atau Deddy M. Borhan penerbit dari syarikat ikonik Sabah Film Productions telah berkongsi pahit, manis, suka serta duka perjuangan beliau ketika itu dan penulis berbincang perspektif berbeza tentang sumbangan beliau untuk industri filem Malaysia khususnya pada tahun 1970 an dan 1980an. Jangan dinafikan sumbangan emas beliau di dalam memberi nafas industri filem ketika itu dan meletakkan filem kita di tahap yang lebih baik.
Mengapa memilih pelaburan di dalam industi filem yang sangat tidak menguntungkan buat filem Melayu ketika menerbitkan Keluarga Si Comat?
Saya seorang pencinta seni dan pencinta filem dan membesar dengan kegemilangan filem Melayu di Studio Jalan Ampas di mana Shaw Brothers dan Cathay Keris berlumba-lumba menghasilkan filem-filem yang dipuja rakyat jelata. Namun ketika era kesuraman bermula biarpun Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berhijrah ke Studio Merdeka, filem-filem kita semakin sukar diterima dan terpaksa bersaing dengan filem-filem import Inggeris, Hindustan dan Indonesia yang lebih mendapat tempat dan ia ibarat hidup segan mati tak mahu. Keluarga Si Comat ditayangkan pada tahun 1975 namun tidak ramai yang tahu penghasilan ia menempuh proses yang sangat lama semenjak tahun 1971. Saya menemui sahabat saya Datuk Aziz Sattar (kini Allahyarham) dan menyampaikan hasrat menerbitkan filem dan beliau membawa saya menemui P. Ramlee di Shah Motel pada tahun 1971 untuk berbincang bagi hasrat ini. Namun, tiada rezeki bagi kerjasama ini di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, namun saya tekad untuk bermula dari bawah bagi menerbitkan filem sulung Sabah Film. Saya bersama-sama Aziz Sattar dan Abu Bakar Ali bersama-sama ke Hong Kong membeli sendiri peralatan penggambaran, pra produksi, dan proses pembikinan dari penghasilan skrip berkali-kali, pemilihan pelakon sehinggalah Aziz Sattar diberi peluang sebagai teraju pengarah bagi filem “Keluarga Si Comat” dan Alhamdulillah filem ini mendapat sambutan mengalakkan biarpun bersaing dengan filem-filem import.
Rahsia kejayaan filem “Keluarga Si Comat” membina persepsi dan dianggap mengembalikan sambutan terhadap filem Melayu ketika itu?
Sebelum pembikinan lagi, saya mengkaji selera dan kehendak orang yang pergi menonton dan apa yang ingin ditonton kerana ketika itu panggung wayang dianggap lokasi yang amat strategik bagi masyarakat berhibur. Saya bersama Aziz Sattar sebagai pengarah memikirkan cerita dan skrip yang paling mudah difahami untuk semua golongan menonton tanpa meminggirkan aspek kualiti dan kesan. Jadi, lahirlah Keluarga Si Comat lakonan Ibrahim Pendek, Junainah M. Amin, Aziz Sattar dan saya sendiri berkenaan kisah masyarakat dan keluarga yang lucu. Alhamdulillah, penonton suka dan sambutan amatlah baik dan saya fikir mereka sudah percaya yang filem kita juga mampu menghiburkan dan memenuhi kehendak penonton. Rahsia memenuhi selera penonton adalah resipi utama selain skrip yang baik.
Sabah Film adalah simbolik cinta dan maruah untuk peribadi Tuan?
Ya, saya melihat perspektif filem bukan sekadar untuk keuntungan kerana biarpun saya seorang ahli perniagaan, ia tidak boleh dijadikan kayu ukuran untuk mengambil kesempatan kerana membuat filem ketika itu sangat berisiko besar. Saya dari Sabah ingin berjuang membangkitkan sambutan penonton kepada filem Melayu kerana cinta saya pada seni dan filem. Maruah filem kita ketika itu dipijak kerana faktor sosio budaya yang dibanjiri hiburan dari negara-negara luar dan pawagam kurang memberi peluang kepada filem-filem kita sendiri. Atas dasar itulah, saya tubuhkan Sabah Film dan ingin membuktikan kita masih ada ruang sekirannya dibikin dengan formula-formula tertentu dan menjadi berjaya.
Formula-formula kejayaan filem Sabah Film adalah kerana strategi pemasaran Tuan bersifat realistik dan menongkah arus?
Alhamdulillah, selepas Keluarga Si Comat, saya telah menghasilkan 18 buah filem dalam tempoh 15 tahun dan saya akui strategi promosi dan pemasaran filem sangatlah penting kerana saya orang berniaga, keuntungan juga penting, kepuasan penonton juga penting. Saya akui banyak perkara baru saya gunakan seperti penglibatan pelakon dan penyanyi popular, lagu-lagu soundtrack, jalan cerita yang sesuai dengan masa, skrip yang baik dan disiplin “team” karyawan filem-filem itu. Orang datang ke panggung untuk lihat sesuatu yang baru, segar, menarik dan tidak memeningkan. Jika filem cinta sekalipun, semuanya kena menyentuh hati, filem komedi pun, pastikan ia lucu, pendek kata, apa yang dipertontonkan adalah sama dengan apa yang penonton mahukan. Setiap filem ada strategi masing-masing, untuk filem Keluarga Si Comat, hero saya ialah Ibrahim Pendek, AR Badol pula untuk Si Badol dan Pagar-Pagar Cinta. Mereka juga komersial kerana mereka sudah dikenali dengan persembahan-persembahan pentas, mengumpul peminat yang tersendiri dan “comedian” yang sangat baik. Jadi untuk filem komedi, kita memang mencari pelawak yang mampu bersaing di arus perdana bagi menarik dan menjual filem-filem saya di pawagam.
Azura dan Hapuslah Air Matamu adalah antara filem kegemaran sepanjang zaman dan mencipta fenomena sehingga kini. Mungkinkah strategi penyanyi popular ini amat penting ketika itu hingga filem-filem ini box-office dan menjadi evergreen?
Harus diakui, ia di antara faktor utama kerana penonton gemarkan yang boleh ditonton dan dinyanyikan bersama-sama. Saya tidak sebarangan memilih penyanyi untuk menjadi bintang filem, harus juga diasah bakat mereka. Untuk filem Azura (1984) arahan saya sendiri, nama Jamal Abdillah dan Ogy Ahmad Daud memang besar ketika itu, faktor populariti yang ada pada mereka memang dinantikan kerana Jamal penyanyi muda yang hebat, Ogy juga bintang filem muda yang sangat bagus dan mampu menyanyi dengan baik, jadi, kenapa tidak gandingkan mereka sebagai pasangan di dalam filem dan Alhamdulillah, sambutan box-office dan menjadi fenomena sehingga hari ini. Filem Hapuslah Air Matamu (1976) dibintangi Sharifah Aini, Latif Ibrahim dan Broery Marantika juga terlebih dahulu menggunakan formula yang sama. Selepas Keluarga Si Comat yang berunsur komedi, filem Hapuslah Air Matamu ini tentang cinta, cita-cita dan kasih sayang sesama insan yang dipenuhi konflik dan airmata. Siapa yang tidak mahu ke panggung semata-mata ingin menonton lakonan penyanyi pujaan mereka yang bersuara emas namun kesemua insan seni ini dilahirkan serba boleh kerana mereka juga boleh berlakon dengan sangat baik. Jadi, Alhamdulillah filem-filem ini turut diperkatakan kerana soundtrack lagu-lagu yang menjadi siulan oleh masyarakat sehingga hari ini. Kalau diikutkan, mesti ada penyanyi popular di dalam filem-filem saya seperti Dhalan Zainudin, Gaya Zakry, Jefrydin (Kisah Seorang Biduan), Junidah M. Amin (Keluarga Si Comat), Syed Sobrie (Azura) dan Ahmad Jais (Si Badol).
Filem-filem Tuan mengangkat lagu-lagu evergreen antaranya seperti Azura, Sandarkan Pada Kenangan, Sering Sejalan, Hapuslah Air Matamu, Kisah Seorang Biduan dan banyak lagi. Sinergi muzik dan lagu di dalam filem seakan menjadi signature Sabah Film ketika itu. Adakah ini ramuan rahsia yang tidak diambil peduli penerbit lain?
Saya ambil contoh untuk filem Azura, lagu Sandarkan Pada Kenangan terlebih dahulu dipromosikan di TV supaya ia menjadi popular dan terbukti populariti lagu tersebut dan Azura menarik penonton ke panggung dan juga menjadikan filem ini fenomena sehingga hari ini. Kita mestilah melabur untuk mendapat sesuatu lagu yang baik, saya mendapatkan khidmat M. Nasir bagi pembikinan muzik filem Azura dan Ahmad Nawab untuk lagu-lagu filem Hapuslah Air Matamu. Mereka di antara komposer unggul di Malaysia dan sentuhan emas mereka juga adalah faktor penarik bagi filem-filem yang bersifat komersial. Saya memang pencinta seni dan setiap filem saya haruslah menggabungkan elemen-elemen tersebut untuk dipromosikan. Saya juga berani mengambil risiko menggabungkan Broery Marantika dari Indonesia dan Sharifah Aini kerana ianya kolaborasi dua negara namun ia juga berjaya mempopularkan kedua-duanya dengan lebih hebat lagi.
Filem-filem Sabah Film secara halus mengangkat taraf sosio ekonomi dan sosio budaya bangsa Melayu seperti “business minded” dan berfikiran luar dari norma tanpa meminggirkan jatidiri dan budaya bangsa. Pandangan Tuan?
Ya, tidak ramai yang tahu falsafah dan perlambangan yang saya gunakan di dalam filem-filem. Dari dalam skrip lagi, saya akan pastikan bangsa Melayu kita diangkat setidak-tidaknya sebagai usahawan berjaya di dalam bidang masing-masing menerusi watak-watak yang diperkenalkan. Filem-filem terbitan Sabah Film meletakkan tanda aras bangsa kita boleh berjaya dan bangkit dari kegagalan kerana filem-filem saya ditonton majoritinya ditonton golongan kelas sederhana dan ke bawah, jadi filem adalah medium terbaik memotivasikan kita supaya terus berjuang merubah hidup. Filem Azura membuktikan anak orang kaya juga boleh bekerja dari bawah dan golongan muda yang berkahwin awal juga mampu berdikari tanpa mengharapkan ihsan ibu bapa. Filem Si Badol juga memberi inspirasi kepada golongan bawahan jangan berhenti bermimpi mencapai kejayaan namun mestilah disokong perlakuan baik. Biarpun di dalam filem saya ada pelbagai warna dan watak, saya akan pastikan bangsa kita tidak dilabel di dalam filem dengan perkara-perkara negatif dan harus diakhiri dengan unsur pengajaran yang kuat sekiranya melakukan kesilapan.
Tuan berani mempertaruhkan pengarah-pengarah yang dulunya karyawan di Jalan Ampas untuk mengarahkan filem-filem hebat seperti M. Amin (Hapuslah Air Matamu, Sumpah Semerah Padi), Aziz Sattar (Keluarga Si Comat. Si Badol), Malik Selamat (Toyol), Omar Rojik (Talak) dan lain-lain selain seniman dan seniwati lagenda seperti Mahmud June, Normadiah, Aziz Jaafar dan ramai lagi di dalam filem. Bagaimana Tuan melihat keistimewaan mereka?
Saya cukup kagumi dan hormati bintang-bintang yang dilahirkan di Jalan Ampas kerana disiplin dan komitmen kerja mereka yang sangat bagus. Jika peluang tidak diberikan, bagaimana mereka mahu membuktikan mereka juga berkebolehan mengarah filem-filem yang diterima dan digemari ramai sehingga hari ini. Kita harus hargai pengalaman dan kemahiran luas mereka semasa di Shaw Brothers dan Cathay Keris. Sebagai contoh, filem Keluarga Si Comat dan Si Badol arahan Allahyarham Datuk Aziz Sattar sangat digemari dan pecah panggung ketika itu. Filem Si Badol mengutip hampir RM 2 juta selepas ditayangkan selama 60 hari di pawagam dan menjadi antara filem Melayu yang bertahan paling lama di pawagam. Keunikan insan-insan seni kerana mereka sangat jujur dengan dunia seni ini dan M. Amin juga banyak mengarahkan filem-filem saya seperti Hapuslah Air Matamu dan Kisah Seorang Biduan yang diminati sehingga hari ini.
Pesanan Tuan buat pembikin filem hari ini dan apa yang boleh dikongsikan buat mereka yang ingin menceburi bidang ini
Saya gembira melihat perkembangan industri kita pada hari ini dan marilah bersama-sama membangunkan dengan lebih baik lagi. Teruslah belajar dan menuntut ilmu melalui pengalaman dan pembelajaran, jangan pernah berhenti. Jika ingin mendapat filem yang baik, perkasakanlah skrip kerana itu tunjang utama, jika skrip sudah baik, pembikinan filem juga inshaAllah pasti memberikan hasil yang baik. Jangan tergopoh-gopoh membikin filem tanpa menguasai perkara-perkara ini, belajarlah satu persatu dan anda akan menjadi karyawan indsutri yang baik. Jangan dilupa jatidiri dan budaya bangsa, kita yang bertanggungjawab mengangkat seni ini dengan sejujurnya dan pastinya boleh menembusi pasaran antarabangsa.
Nota : Penulis mengakhiri perbualan bersama beliau dengan perasaan sebak melihat seorang tokoh karyawan filem ini masih mampu berkongsi perasaan dan pengalaman beliau selama ini biarpun baru keluar dari hospital akibat faktor kesihatan. Hampir separuh abad hidupnya diabadikan untuk dunia filem kita dan terlalu besar jasanya mengangkat filem kita ke tahap yang lebih baik. Di usia 72 tahun, sehingga kini beliau masih terus menabur bakti sebagai Penasihat Industri Kreatif Sabah dan Sarawak bagi FINAS untuk membangunkan Borneo sebagai pusat kandungan kreatif bertaraf maju. Betul kata beliau, cinta dan maruah terhadap seni ini terlalu tinggi nilainya dan jika ini diperjuangkan, akan selama-lamanyalah kita harum seperti bait-bait puitis lagu Azura dari filem arahan beliau sendiri yang sangat tepat menggambarkan rasa cinta pada filem;
“Kaulah sinar hidupku
Yang Mengalirkan cinta di dalam jiwaku”


Oleh: Ahmad Syazli Muhd Khiar
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Korporat FINAS

Catat Ulasan

4 Ulasan

Unknown berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Unknown berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Unknown berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
ibu winda berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.