'REDHAKU UNTUKMU' UNGGULI EMPAT ANUGERAH KASEH TRIBUTE P.RAMLEE 2016


Telefilem ' Redhaku Untukmu' yang mengangkat percintaan tulus insan yang disulami pengorbanan dan penderitaan berjaya menggondol empat anugerah; Telefilem Terbaik, Pengarah Terbaik (Dira Abu Zahar), Pelakon Wanita Terbaik (Sharifah Sakinah) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Iedil Putra). Dira yang mencipta kejayaan sulung sebagai pengarah telah menerima anugerah utama tersebut yang disampaikan oleh YBhg. Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di Auditorium Perdana Angkasapuri, RTM malam tadi.

Sementara itu, aktivis teater, penulis lirik dan pelakon drama dan filem, Kamarulzaman Taib atau Che' Kem telah menjulang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi telefilem 'Sri Bulan' arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba yang turut memenangi anugerah Skrip Terbaik buat beliau bersama Harlina Samad. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang menjadi milik pelakon hebat, Aida Khalida juga diterima menerusi telefilem tersebut.

Keunikan dan pengolahan komedi romantik segar, menarik dan berkesan yang menunjangi karya arahan Al Jafree Mat Yusop, 'Kembara Nak Dara' juga dipilih barisan juri sebagai penerima Anugerah Khas Juri. Telefilem 'Saling' juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila merangkul anugerah Sinematografi Terbaik buat Junaimemrafizal Rahmat.


Dianjurkan untuk kali ke 3 oleh Radio Televisyen Malaysia dan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd milik Dato' Rosyam Nor, Anugerah Tribute P. Ramlee ini merupakan manifestasi penghargaan dan sumbangan kepada Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi penerbitan kreatif 15 telefilem oleh 15 pengarah dan 11 penulis skrip yang perlu diinspirasikan melalui karya-karya yang dihasilkan lagenda seni tanahair tersebut.

Program yang disiarkan secara langsung di saluran RTM TV1 yang dihoskan pasangan suami isteri Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya turut menampilkan persembahan lagu-lagu karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee oleh Dato' Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Syamel, Najua Nasir, Ernie Zakri, Azharina dan Zarul.

Berikut adalah senarai penuh pemenang Anugerah Kaseh Tribute P. Ramlee 2016;

Telefilem Terbaik - Redhaku Untukmu
Pengarah Terbaik- Dira Abu Zahar (Redhaku Untukmu)
Pelakon Lelaki Terbaik – Che Kem (Sri Bulan)
Pelakon Wanita Terbaik – Sharifah Sakinah (Redhaku Untukmu)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - Iedil Putra (Redhaku Untukmu)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Aida Khalida (Sri Bulan)
Skrip Terbaik -Datin Paduka Shuhaimi Baba & Harlina Samad (Sri Bulan)
Sinematografi Terbaik – Junaimeramfizal Rahmat (Saling)
Anugerah Khas Juri – Kembara Nak Dara

Foto: Zara FINAS

Catat Ulasan

0 Ulasan