'ONE TWO JAGA' FILEM TERBAIK FFM30


Walaupun hanya mengutip pulangan di pawagam sebanyak RM 343,279.19 menerusi skim wajib tayang Finas, 'Cross Roads : One Two Jaga' tidak bermakna ia sebuah karya yang gagal.  Filem terbitan Pixel Play Entertainment itu berjaya mengubah lanskap industri perfileman tempatan apabila berjaya  mengungguli Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 30 (FFM30). Filem arahan Nam Ron itu memperolehi kemenangan besar apabila merangkul 6 anugerah utama di Malam Kemuncak FFM30  yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 30 Mac 2019 iaitu, 'Pengarah Terbaik (Nam Ron), Pelakon Lelaki Terbaik (Rosdeen Suboh), Lakon Layar Terbaik (Amri Rohaiyat, Fared Ayam & Nam Ron), Cerita Asal Terbaik (Pitt Haniff, Muhammad Syafiq &  Nam Ron),  Poster Terbaik (Jazzy Pictures) dan Filem Terbaik. One Two Jaga yang telah menemui penonton di pawagam tempatan pada 20 April 2018 itu  merupakan sebuah cerita yang berkisarkan tentang korupsi dalam institusi kepolisian di Malaysia. Di barisi Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Ario Bayu, Asmara Abigail, Azman Hassan, Nam Ron, Bront Palarae, Amerul Affendi, Chew Kin Wah, Iedil Putra dan ramai lagi itu kini boleh ditonton menerusi platform digital Netflix. 

Bagi meraikan kemenangan 'One Two Jaga' di FFM30, TGV Cinemas dengan bangganya menayangkan kembali 'One Two Jaga' di Pawagam TGV terpilih bermula 4 April hingga 10 April 2019 dengan tiket berharga cuma RM 5.00 sahaja. Filem  Dukun arahan Dain Said pula memenangi 4 anugerah di FFM30 iaitu Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan berkesan Datin Seri Umie Aida sebagai Diana Dahlan, Kostum & Busana Terbaik (Andy Sulaiman),  Kesan Khas Terbaik (Pixelpost) dan Penyunting Terbaik (Raja Affandi Raja Jamaluddin). Guang yang dilihat sebagai pencabar kepada One Two Jaga selain filem Dukun,  berjaya membawa pulang 4 trofi di FFM30 iaitu, Pengarah Harapan (Quek Shio Chuan), Pelakon Lelaki Harapan (Kyo Chen) , Sinematografi Terbaik ( Yeong Tuck Wei) dan Penataan Seni Terbaik (Chan Hsien Yu). 



Polis Evo 2, Busker, Makrifat Cinta, Rise Of The Legend: Lee Chong Wei, The Farm En Vettu Thottathil, Paskal, Vedigundu Pasangge, Pulang dan Two Sisters juga antara filem yang berjaya menempatkan diri di Malam Anugerah FFM30. Dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), FFM30 mempertaruhkan 42 filem cereka yang bertanding, di mana 25 daripadanya adalah filem berbahasa Malaysia, Mandarin (lapan), Tamil (Tujuh) dan Kantonis (dua). Dihoskan oleh Adibah Noor dan Nabil Ahmad, FFM30 adalah kemuncak kepada tiga (3) dekad industri filem tempatan di mana FFM buat pertama kalinya dianjurkan pada 13 April 1980 menerusi Pesta Filem Malaysia Pertama 1980. Di hadiri Gobind Singh Deo, Menteri KKMM, Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri KKMM, En Shakib Ahmad Shakir, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar KKMM, Dato' Samsuni Mohd Nor, Pengerusi Finas dan Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, FFM30 bertemakan Inspirasi Sinemaku.

Berikut adalah senarai penuh pemenang di Malam Anugerah FFM30:-

* Filem Terbaik: One Two Jaga (Pixel Play Entertainment)
* Pengarah Terbaik: Namron (One Two Jaga)
* Pelakon Lelaki Terbaik: Rosdeen Suboh (One Two Jaga)
* Pelakon Wanita Terbaik: Datin Seri Umie Aida (Dukun)
* Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Hasnul Rahmat (Polis Evo 2)
* Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Nabila Huda (Makrifat Cinta)
* Pengarah Harapan: Quek Shio Chuan (Guang)
* Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Eng Wei Jie (Rise Of The Legend: Lee Chong Wei)
* Pelakon Wanita Harapan: Jaya Ganason (The Farm En Veettu Thottathil)
* Pelakon Lelaki Harapan: Kyo Chen (Guang)
* Anugerah Khas Juri 1: Paskal The Movie (Asia Tropical Films Sdn Bhd)
* Anugerah Khas Juri 2: Vedigundu Pasangge (Veedu Production Sdn Bhd)
* Anugerah Khas Juri 3: Busker (Astro Shaw Sdn Bhd)
* Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman: Seniman AR Badul
* Anugerah Penggiat Belakang Tabir: Habsah Hassan
* Filem Box Office: Munafik 2 (Skop Productions Sdn Bhd) dengan kutipan RM37,797,423.00
* Lakon Layar Terbaik: Amri Rohaiyat, Fared Ayam & Namron (One Two Jaga)
* Sinematografi Terbaik: Yeong Tuck Wei (Guang)
* Cerita Asal Terbaik: Pitt Haniff, Muhammad Syafiq & Namron (One Two Jaga)
* Kostum & Busana Terbaik: Andy Sulaiman (Dukun)
* Penataan Bunyi Terbaik: Imaginex Studio Sdn Bhd (Pulang)
* Penataan Seni Terbaik: Chan Hsien Yu (Guang)
* Kesan Khas Terbaik: Pixelpost (Dukun)
* Penyunting Terbaik: Raja Affandi Raja Jamaludin (Dukun)
* Skor Muzik Asal Terbaik: Nick Davis (Two Sisters)
* Poster Terbaik: Jazzy Pictures (One Two Jaga)
* Lagu Tema Terbaik: Atma Jiwa, Monoloque (Busker)

One Two Jaga kini boleh ditonton kembali di beberapa pawagam TGV terpilih
bermula 4 April hingga 10 April 2019. 
[sila klik poster di atas]



kredit photo: Official Photographer FFM30 

Catat Ulasan

0 Ulasan