3 JANDA MELAWAN DUNIA KINI DI NETFLIX

 

Walaupun tidak sepopular filem-filem lain, bagi saya, '3 Janda Melawan Dunia' adalah filem Malaysia yang terbaik pernah saya tonton. Filem pertama arahan Hyrul Anuar itu merupakan karya filem yang selayaknya diletakkan sebagai 'filem kelas pertama', memandangkan penceritaan filem ini cukup mudah, penuh makna, menghiburkan dan penuh warna-warni. 

Berkisarkan tentang bagaimana tiga orang janda cuba berusaha mencari duit bagi mendapatkan tiket untuk menonton sebuah konsert terakhir penyanyi lelaki kegilaan ramai bernama Aiman Zalini. Kemunculan watak Aiman, dilakonkan oleh Norman Hakim berjaya meletakkan naskhah ke-20 lakonannya di dalam industri filem tanah air. Walaupun sedikit skeptikal dengan lakonan beliau, tapi saya percaya Norman berjaya membawakan watak Aiman Zalini yang dikatakan tribute kepada penyanyi lelaki Anuar Zain. Pelbagai suka duka berlaku sehinggakan terjadi suatu perkara yang tidak diingini. 

Tiga Janda Melawan Dunia boleh dikatakan sebuah filem muzikal yang acuannya seperti menonton filem-filem iklan komersial, memandangkan keseluruhan shot, sinematografi dan penggunaan warna dalam filem ini membuktikan filem terbitan Multimedia Entertainment, Directors Think Tank, Astro, Six Fun Media dengan kerjasama Golden Screen Cinemas ini diterbitkan pasukan kreatif berpengalaman luas di dalam bidang filem dan hiburan tanah air. 

Diarahkan Hyrul Anuar, graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Malaysia (ASWARA), 'Tiga Janda Melawan Dunia' kini boleh ditonton di platform streaming OTT Popular, Netflix. Peminat filem tanah air, harus meletakkan filem ini dalam seleksi wajib tonton, memandangkan ia bukan calang-calang filem. Ia filem kita tapi wajahnya berbeza.

Membariskan pelakon handalan tanah air diantaranya, Normah Damanhuri, Raja Azura, Khadijah Tan, Rosnah Mat Aris, Norman Hakim dan ramai lagi, '3 Janda Melawan Dunia', kini boleh ditonton di Netflix. 

Info Hiburan: Filem ini dikatakan skripnya ditulis untuk Anuar Zain, tetapi diatas sebab-sebab tertentu, watak Aiman Zalini itu diberikan kepada Norman Hakim. Benarkah?. Tepuk Dada Tanya Selera. 


Catat Ulasan

0 Ulasan