FILEM SERATUS TAMPIL 100 PELAKON TERNAMA TANAH AIR.

Walaupun seakan sama, tetapi dari segi cerita dan kisahnya ia sama sekali berbeza. 'Seratus', antara filem romantik thriller arahan Feroz Kader, dikatakan kesinambungan dari telemovie Neon yang pernah dihasilkannya sekitar tahun 2003. Neon yang menampilkan 66 pelakon terkenal tanah air itu sebenarnya tidak sama dengan 'Seratus' yang menampilkan 100 pelakon terkenal, termasuk kemunculan beberapa penyanyi popular tanah air, antaranya Ziana Zain dan Awie. 

Ketika berucap di Malam Gala 'Seratus' di GSC Mid Valley pada malam Isnin, pengarah Feroz Kader menyifatkan 'Seratus', antara naskhah filem pertama di Malaysia yang dibintangi oleh ramai pelakon popular tanah air. Penampilan 100 pelakon dalam sesebuah filem bukan cerita mudah, walaupun segelintir dari mereka hanya memegang watak tambahan. 

Filem yang diterbitkan dengan usahasama dua syarikat produksi hebat itu antaranya UNOMEDIA Sdn Bhd dan FJ Pictures Sdn Bhd itu mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Hafiz yang perlu menyelamatkan ibunya daripada dibunuh. Hafiz perlu mencari semula wang RM100 yang mempunyai 'klu' tentang pendrive yang terkandung sebuah rahsia besar. Pelbagai aksi mendebarkan terjadi dengan situasi yang mencemaskan memaksa Hafiz membongkar siapakah dalang disebalik pembunuhan ayah kandungnya. 

'Seratus' yang mengambil simbolik dari wang kertas RM100 sebagai tajuk filem, mempertaruhkan Sharul Kamal sebagai tunjang utama dalam filem ini. Naskhah arahan Feroz Kader itu juga menampilkan Sara Ali, Marissa Yasmin, Fauzi Nawawi dan Wan Hanafi Su sebagai teraju utama filem Seratus. Selain itu, beberapa nama besar seperti Nora Danish, Dato' Awie, Dato' Adi Putra, Ziana Zain, Fify Azmi, Pablo Amirul, Syazwan Zulkifli, Izzue Islam, Beto Kusyairi, Nadiyaa Nisaa, Ungku Ismail dan ramai lagi antara penyeri filem Seratus yang khabarnya akan memasuki pawagam seluruh tanah air bermula 6 Oktober 2022. 


Menurut Basree Rakijan dan Datuk Wira Vincent Lye, Penerbit UNOMEDIA Sdn Bhd, pemilihan Feroz Kader sebagai rakan strategik yang juga pengarah filem 'Seratus' ini adalah kerana kerjasama yang pernah terjalin antara mereka bertiga selama 10 tahun. Kreativiti Feroz dalam berkarya amat diakui Basree Rakijan memandangkan Feroz Kader pernah memenangi Anugerah Pengarah Filem Terbaik Seri Angkasa tahun 2015 dan Pengarah Drama Terbaik, Anugerah Drama Sangat TV3. 

Menariknya, filem ketiga arahan Feroz Kader selepas Suamiku, Encik Perfect 10 dan Dekatnya Cinta, 'Seratus' ini juga menampilkan Sharul Kamal sebagai penyanyi lagu tema filem tersebut bertajuk 'Bunga Terindah'. 

'Seratus' yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura  bermula 6 Oktober 2022 itu antara naskhah wajib tonton bagi penggemar sinema tempatan. 

Catat Ulasan

0 Ulasan