SEMUA KONSERT HIBURAN YANG MELANGGAR ETIKA TIDAK DIBENARKAN DI KEDAH!

Sebarang konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila tidak akan dibenarkan di seluruh Kedah, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Beliau dalam satu hantaran di Fecebooknya hari ini  berkata kejadian muda-mudi yang terkinja-kinja tanpa arah dalam penganjuran 'Muda Mudi Weekend Fest' di Balai Seni,  Alor Setar kelmarin menjadi penanda aras kepada perkara itu. 

"Kejadian kelmarin menjadi penanda aras bahawa sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan tidak boleh diberikan ruang untuk membiak. Penganjuran acara yang menyihatkan tubuh badan seperti fun run, fun ride treasure hunt, pertandingan memancing dan lain-lain pertandingan yang selari dengan undang-undang, garis panduan program terbuka dan sesuai dengan tatasusila masyarakat tempatan adalah digalakkan", katanya. 

Muhammad Sanusi berkata semua Pegawai Daerah yang mempengerusikan jawatankuasa berkaitan perlesenan hiburan telah dimaklumkan tentang hal itu dan arahan berkenaan berkuatkuasa serta-merta. Semalam, tular di media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan anak muda sambil melakukan pelbagai aksi antaranya menari di Balai Seni, Alor Setar dan ia mengundang rasa kurang senang memandangkan ia diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya Kedah, Mohd Firdaus Ahmad dalam laporan media semalam dipetik sebagai pihak kerajaan negeri tidak mendapat maklumat terperinci mengenai pengisian festival itu termasuk konsert yang diadakan dan pihaknya akan memanggil penganjur utama festival itu bagi mendapatkan penjelasan.  - BERNAMA

[Artikel ini telah diterbitkan oleh Bernama dan kredit gambar Harian Metro]



Catat Ulasan

0 Ulasan