COAST GUARD MALAYSIA : OPS HELANG KISAH REALITI AGENSI PENGUATKUASAAN MARITIM MALAYSIA?


Bagi anda yang sememangnya meminati genre aksi seperti 'J Revolusi, Paskal, Wira, dan Air Force The Movie', anda mungkin tersenyum puas tatkala meninggalkan pawagam sebaik sahaja selesai menonton 'Coast Guard Malaysia: Ops Helang'. Filem pertama arahan Allahyarham Pitt Haniff itu merupakan karya sentuhan terakhir beliau dalam industri hiburan dan perfileman tanah air. Karya terbitan Flying Deals Sdn Bhd bersama Arie Zahari Production itu turut diedarkan oleh Metrowealth International Group dan disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia (KKD) melalui Dana Kandungan Digital (DKD) dan Dana Kandungan Marketing oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). 

Filem yang menampilkan Saharul Ridzwan, Adlin Aman Ramlie, Julia Farhana, Hazama, Aziz M.Osman, Jaja Illiyes, Akmal Ahmad, Kodi Rasheed, Aman Nasim, Hafiz Rafiah, Joe Aziz, dan ramai lagi itu. juga menampilkan Sabri Yunus, merupakan naskhah filem dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Mengisahkan Leftenan Maritim Hafiz, seorang Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dari MARITIM yang terpaksa berdepan dengan sekumpulan penjenayah di perairan negara apabila ahli keluarganya diculik dan dijadikan tebusan. 



Melalui filem ini, penonton dibawa menyaksikan pelbagai aksi dan adegan mendebarkan yang mungkin sedikit sebanyak menganggu penonton, namun kredit wajar diberikan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia kerana keterbukaan mereka dalam memberikan kelonggaran dari sudut penceritaan sehingga filem ini berjaya menterjemahkan 'Ops Helang' sebagai satu kerjaya yang berisiko dalam menyelamatkan perairan negara dengan pembikinan filem berskala besar. 

Kemunculan Adlin Aman Ramlie dan Sabri Yunus dalam filem ini boleh dibanggakan, memandangkan kedua-dua pelakon berbakat besar ini berjaya memberikan dimensi berbeza dari sudut lakonan yang dibawa. Samat, seorang yang dinamik, mempunyai aura dan pesona merupakan watak antagonis dalam filem ini. Dilakonkan oleh Adlin Aman Ramlie, Samat antara watak 'gelap' yang berbeza dengan watak-watak yang pernah dilakonkan Adlin sebelum ini. Mengambil pendekatan mengikut idea dan kreativiti sendiri, Adlin optimis mengatakan 'Coast Guard Malaysia : Ops Helang', antara naskhah cerita aksi yang berbeza, dan tidak klise dengan karya-karya sebelum ini. 



Lakonan bersahaja Sabri Yunus sebagai Amir/ Mustaffa , iaitu seorang tukang masak yang bekerja dengan Coast Guard, memberikan plot twist berbeza dalam filem ini. Dari seorang yang amatur, berubah menjadi antara individu yang dikehendaki kerana beliau adalah Ketua Lanun bersama-sama watak Samat, lakonan Adlin Aman Ramlie. Filem yang menelan belanja sekitar RM6 juta ini turut menemui penonton di Singapura dan Brunei bermula 2 Februari 2023 yang lalu. 

Menurut satu kenyataan , Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata , penceritaan dalam filem ini adalah realiti sebenar agensi itu walaupun ada sebahagiannya fiksyen. Filem arahan Allahyarham Pitt Haniff itu khabarnya sudah mengutip kutipan sebanyak RM 2.5 juta dalam masa 4 hari tayangan di pawagam. 

'Coast Guard Malaysia : Ops Helang' wajib tonton bagi penggemar cerita aksi, thriller dan fiksyen.


Catat Ulasan

0 Ulasan