KONSERT SATU SUARA VOL. 3, BUKAN SEKADAR KONSERT

Kehebatan vokal Dato' Sri Siti Nurhaliza memang tiada tandingan. Apatah lagi kolaborasi bersama penyanyi legenda Jay Jay dan Ernie Zakri meninggalkan sejuta kenangan buat mereka yang datang menyaksikan Konsert Satu Suara Vol 3, Sabtu malam.

Walaupun diadakan di Mega Star Arena Kuala Lumpur yang terletak di dalam bangunan sebuah pusat membeli belah terkemuka, Sungei Wang Plaza di Bukit Bintang, Konsert yang dianjurkan oleh Yayasan Nurjiwa itu meriah dengan kehadiran lebih 4,000 penonton.

Menghiburkan peminat menerusi pelbagai seleksi lagu-lagu terpilih antaranya, Siti Situ Sana Sini, Kesilapanku Keegoanmu, Kita Insan Biasa, Gundah, Ku Bersuara, Joget Angan Tak Sudah, Hari Raya Bahagia, Sesuci Lebaran dan banyak lagi itu,  juga menampilkan persembahan duet Siti bersama Jay Jay dan Ernie Zakri. 

Ketika ditemui media di Majlis Santai Konsert Satu Suara Vol. 3 yang diadakan  di ParkRoyal Collection Hotel, Bukit Bintang selepas konsert sekitar jam 12.45 malam, Dato' Sri Siti Nurhaliza anggun mengena busana serba hijau itu berkata, pemilihan lokasi konsert di Sungei Wang adalah bagi mengimbas memori dan kenangan kali pertama bergelar penyanyi, memandangkan Sungei Wang Plaza adalah lokasi beliau membeli belah semasa usia remaja. 

"Saya memang tidak dapat lupakan kenangan saya semasa kali pertama saya jadi penyanyi. Inilah lokasi saya membeli baju untuk buat persembahan, memandangkan waktu itu tidak cukup bajet. Saya tak nafikan anda mungkin juga seperti saya", ujar penyanyi nombor satu negara itu sambil menerima tepukan gemuruh peminat yang rata-rata hadir memenuhi segenap ruang bagi menyaksikan persembahan penuh bermakna dari seorang anak seni bernama Siti Nurhaliza.

Dalam pada itu, Siti juga berkongsi bahawa album terbaharunya akan menyusul dalam tahun ini. Menariknya lagu berjudul 'Sehebat Matahari', yang dipersembahkan semasa konsert malam tadi juga bakal dimuatkan dalam album tersebut. Lagu ciptaan Aubrey Suwito di mana liriknya ditulis oleh Rozi Sang Dewi itu mengisahkan suka duka sebagai anak seni yang mahu menjadi hebat sehebat matahari. 

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan terutamanya persembahan terkini, Siti optimis mengatakan tahun depan beliau akan mengadakan Konsert Solo di mana lagu-lagu yang akan dipersembahkannya adalah dari album terbaharunya nanti. Siti juga menambah beliau tidak boleh memaksa peminatnya untuk terus membeli tiket konsert yang bakal diadakan, dan sebab itulah beliau perlu memberi ruang beberapa tahun selepas itu untuk menganjurkan konsert bersiri seperti Konsert Satu Suara Vol. 4 yang mungkin akan lebih besar dari sebelumnya. 

Penyanyi Ernie Zakri yang kelihatan tidak beberapa sihat memberikan komitmen yang sangat hebat ketika mengadakan persembahan. Menurut Ernie, ia satu pengalaman mengujakan apabila diberi peluang berpadu suara bersama penyanyi nombor satu negara. Walaupun hampir menarik diri, namun atas komitment kerja, Ernie tetap hadir seperti yang dijanjikan, sekaligus membuktikan anak seni sepertinya perlu komited dalam lapangan seninya.

Jay Jay sinonim dengan lagu-lagu berentak pop menerusi Kumpulan Carefree juga memberikan seratus peratus komitmen membuktikan penyanyi era 1970-an sepertinya masih berbisa walaupun usianya sudah menjangkau 6 dekad. Kemerduan suara Jay Jay mengalunkan beberapa seleksi lagu malar segar yang pernah dipopularkannya melalui Kumpulan Carefree nyata membuatkan penonton kekal dikerusi tanpa berganjak satu meterpun. 

Menariknya pada malam itu, Jay Jay turut menyampaikan salah satu lagu bertajuk 'belaian jiwa' yang pernah dirakamkannya pada tahun 1979 menerusi Carefree. Lagu tersebut pernah dipopularkan Innuendo pada 1997. 

Bukan sekadar konsert semata-mata, namun pembeli tiket bertuah berpeluang untuk mengerjakan Umrah melalui Jay Ibrahim Al Islam yang menghadiahkan pakej umrah buat peminat yang hadir.  

Konsert Satu Suara Vol. 3 yang telah berlangsung pada 13 Mei malam tadi menyaksikan kolaborasi memukau dari Dato' Sri Siti Nurhaliza, Jay Jay dan Ernie Zakri merupakan rentetan konsert satu suara dari siri pertama dan kedua yang pernah dianjurkan pada 2009 dan 2015. Setiap jualan dari tiket yang dibeli akan disumbangkan terus kepada Yayasan Nurjiwa bagi membantu golongan yang memerlukan.

Amy Ikram by wajib tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan