MENGUPAS ISU INTEGRITI DAN SINDIKET DADAH SYABU, SYAFIQ YUSOF MAHU SYERIF DITERIMA

Selepas kejayaan filem Abang Long Fadil, Mat Moto, KL Special Force, dan terbaharu, Polis Evo 3, Pengarah filem aksi terkenal, Syafiq Yusof bakal mencipta satu  lagi fenomena di Malaysia melalui Syerif, sebuah filem kepolisian tentang sindiket dadah dan syabu terbesar melalui konflik yang tercetus di dalam Jabatan Narkotik. 

Filem yang menampilkan Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Dato' Aaron Aziz, Elizabeth Tan dan Azira Shafinaz itu diterbitkan Astro Shaw bersama Skop Production Sdn Bhd. Ketika tinjauan media di lokasi penggambaran filem tersebut di Bandar Malaysia, Jalan Lapangan Terbang Lama, TUDM, Kuala Lumpur baru-baru ini, Syafiq Yusof berkata , Syeriff adalah sebuah filem paling berat dan serius untuk dihasilkan. Ia menggambarkan bagaimana sindiket dadah dan syabu itu berlaku dalam jurang yang sangat besar dan memiliki konflik diluar kotak. Syeriff adalah watak utama yang dilakonkan oleh Zul Ariffin manakala pemilihan tajuk Syerif itu dibuat berdasarkan karektor utama filem ini dan ianya bukan tajuk sebenar filem ini. 

Syafiq yang mengarahkan hampir 16 buah filem termasuk tiga tajuk baharu yang masih dalam proses produksi itu juga berkata, pemilihan pelakon utama filem ini dibuat pihak penerbit berdasarkan kesesuaian watak dan tiada unsur konspirasi walaupun ada isu mengaitkan pemilihan Dato' Aaron Aziz dibuat setelah namanya digugurkan daripada membintangi filem The Original Gangster arahan Syamsul Yusof. 

Menurut Syafiq, beliau tiada masalah dengan pelakon kelahiran Singapura itu memandangkan komitmen kerja antara mereka sangat professional. Dato' Aaron khabarnya tidak beberapa sihat memandangkan beliau mengalami sakit di bahagian belakang badan, namun sesi penggambaran filem sedikitpun tidak terjejas.

Dalam pada itu, pelakon Azira Shafinaz pula menegaskan bahawa Syerif bukan filem pertama lakonannya walaupun melihat peluang berlakon kali pertama di bawah arahan Syafiq Yusof itu sebagai kunci utama untuk melangkah lebih jauh, Azira optimis berharap lakonannya sebagai pegawai polis dapat diterima masyarakat dan peminat filem tanah air.

Syerif yang membariskan beberapa nama besar dalam industri lakonan dan filem tempatan ini sebenarnya sebuah karya yang mengupas isu integriti dalam hidup dan kerjaya melalui perhubungan yang berbelah bahagi dalam menyelesaikan isu dadah syabu terbesar dalam negara. 

Filem yang menjalani penggambaran di sekitar Klang Valley selama 85 hari ini juga menampilkan Syafiq Kyle yang sebelum ini  terkenal dengan watak Iman Shah dalam naskhah One Cent Thief. Syafiq khabarnya memberikan sisi berbeza dalam Syerif yang kini dalam proses penggambaran. Filem kesepuluh lakonannya ini juga menampilkan beberapa pelakon lain seperti Sharuddin Thamby, Kodi Rasheed, Hazama, Esma Danial, Azri Iskandar dan ramai lagi ini akan menemui penonton dan peminat filem pada tahun hadapan.

Amy Ikram by wajib tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan