4 KUMPULAN MUZIK POPULAR DALAM KONSERT KASIH PENGASIH 2023, JULAI INI

Setelah berjaya menganjurkan sebuah persembahan istimewa di Malam Amal Pengasih anjuran Pengasih di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 17 November 2019, tiga tahun yang lalu, kini sejarah bakal berulang kembali apabila 1 Julai ini, Konsert Kasih Pengasih 2023 bakal diadakan.

Menampilkan Iklim, Amir Ukays, Zamani, dan Ameng Spring, konsert yang bakal berlangsung di Auditorium RTM Kuantan itu merupakan konsert amal bagi mengumpul dana untuk menyiapkan fasiliti Rawatan & Pemulihan Dadah Pengasih di Cinta Manis, Bentong, Pahang.

Semasa berucap dalam satu  sidang media di Rumah Damai, Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada petang selasa, Hafizi Harun, Pemangku Presiden Persatuan Pengasih Malaysia berkata, nama Kasih menjadi pilihan kerana Pengasih menggunakan pendekatan 'Kasih' kepada pelanggan mereka. 

"Perkataan kasih yang digunakan adalah bersesuaian dengan budaya dalam komuniti Pengasih yang mengamalkan konsep kasih sayang serta bertanggungjawab dalam membantu orang lain dan diri sendiri. 

"Objektif konsert ini diadakan adalah bertujuan mencari dana bagi membiayai peralatan dapur, landskap dan kelengkapan rehabs baru Rumah Damai yang akan mula beroperasi dalam masa terdekat. Konsert ini juga dianggap sebagai 'kick starter' bagi perniagaan sosial Enterprise kami melalui Pengasih Asia Sdn Bhd milik Persatuan Pengasih Malaysia", ujar Hafizi berharap konsert yang bakal berlangsung Julai ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban di samping mengutip dana  serta mendapat sambutan peminat dan pendengar muzik tanah air. 

Ketika diajukan tentang kenapa konsert ini diadakan di Auditorium RTM Kuantan, Hafizi menambah pemilihan lokasi ini sedikit sebanyak dapat membantu kita untuk mempromosikan Kompleks Pengasih  Cinta Manis di Bentong, Pahang sekaligus dapat melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dan pencegahan khususnya untuk masyarakat Negeri Pahang. Idea untuk mengadakan konsert ini dicetuskan oleh pihak pengurusan Pengasih yang ingin mempromosikan Pengasih Cawangan Pahang. 


Dalam pada itu, penyanyi Zamani ketika ditemui media semasa pelancaran konsert ini menyifatkan Konsert Kasih Pengasih 2023 merupakan tempat untuk kita berkumpul semula dikalangan rakan artis yang sudah lama tidak membuat persembahan. 

"Ini satu penghargaan buat kami sebagai anak seni. Sudah tentu saya teruja untuk menghiburkan peminat saya apatah lagi konsert ini menyatukan kami berempat walaupun dalam kumpulan muzik yang berbeza", ujar Zamani Ibrahim, anggota kumpulan muzik popular, Slam berharap konsert ini nanti dapat sambutan yang mengalakkan.

Apabila bercakap mengenai tahap kesihatannya, Zamani berkata, beliau kini dalam proses fisioterapi bagi memulihkan anggota badannya yang sakit, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menghiburkan peminatnya dalam konsert ini nanti. 

Bagi anda yang ingin menyaksikan Konsert Kasih Pengasih 2023, bolehlah klik di sini untuk pembelian tiket. Tiket-tiket berharga dari RM58 sehingga RM3,500 masih anda dan dapatkannya sekarang!. 

Amy Ikram by wajib tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan