ELLA MEMUKAU 10,000 PENONTON

Siapa menyangka malam tadi telah menjadi saksi kehebatan ratu rock negara,
ELLA yang ternyata masih berbisa. Kehebatan beliau memukau penonton dengan seleksi lagu-lagu dendangannya menjadikan konsert yang diadakan di Arena Axiata Bukit Jalil itu meninggalkan nostalgia tersendiri. Malam pertama menyaksikan kira-kira lebih 10,000 peminat hadir untuk menyaksikan konsert ‘JILID AKHIR: ELLA PUTERI KOTA’. Konsert anjuran bersama oleh penganjur acara terkemuka Hitman Solutions dan syarikat pengurusan Ella iaitu RockQueen ini telah membuatkan para peminat, rakan media dan rakan artis tidak berganjak dari tempat duduk mereka dari mula sehingga habis.

Ella menyanyikan lagu-lagu hit yang pernah menjuarai carta muzik antaranya, Sembilu, Pengemis Cinta, Tiada Tangis Lagi, Kesal, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Cinta Selembut Sutera, Dua Insan Bercinta, Standing In The Eyes Of The World, Peace Love Rindu dan banyak lagi. Menghiburkan peminat menerusi 35 buah lagu mewakili 35 tahun Ella dalam industri muzik, Amy Search tampil mengejutkan penonton dengan berduet bersama Ella sekaligus menjadikan konsert malam tadi amat bermakna.

Menariknya, Set up konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota telah direka khas untuk Ratu Rock bagi menggambarkan perjalanannya sebagai seorang artis. Hitman Solutions mereka pentas berinspirasikan kepingan puzzle yang dicantumkan. Ella juga telah mencipta sejarah dan direkodkan dalam Malaysian Book of Records sebagai artis tempatan pertama yang jualan tiketnya sudah habis dalam tempoh 24 jam sejak ia diumumkan. Konsert yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil itu berjaya meletakkan Ella sebagai Penghibur Legenda bertaraf antarabangsa.

Ketika ditemui media, Ratu Rock Negara, Ella tampil serba putih membuktikan dalam usia 57 tahun itu, beliau mampu menghiburkan peminat walaupun konsert pertama malam tadi disifatkan sebagai malam pembukaan konsert yang penuh bertenaga. Ella menyifatkan konsert yang berlangsung dua malam itu bukan petanda untuk dirinya bersara.

Alhamdulillah, pertama sekali  syukur di atas semua nikmat yang telah Allah SWT kurniakan. Kelu lidah untuk saya ungkapkan perasaan ketika ini, malam ini terpahat sebagai memori yang sememangnya manis setelah bergelar penghibur sepanjang 35 tahun dalam karier saya, saya juga teruja dengan sambutan luar biasa dari semua penonton dan peminat yang hadir. 

“Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Hitman Solutions dan Rockqueen di atas penganjuran konsert yang hebat, dan penghargaan saya semestinya buat semua peminat yang sudi hadir ke konsert pada malam ini. Saya tidak akan berada di sini tanpa sokongan anda semua, yang sedari awal telah banyak menyokong sehinggalah ke hari ini. 

“Jangan gusar dan risau, doakan agar saya dapat terus sentiasa mewarnai dunia anda selagi mana diizinkan. Insya-Allah, semoga kita dapat berjumpa lagi di siri konsert berlainan yang akan datang. Peace, love, rindu. Ella yang menyampaikan lagu tanpa henti itu boleh disifatkan sebagai legenda, memandangkan vokal beliau masih maintain seolah-olah mendengar Ella menyanyi dari sebuah pita kaset lama.

Manakala bagi Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions berkata, "Ella merupakan penanda aras kecemerlangan industri dan ikon muzik di Malaysia. Sememangnya wajar konsert ini diadakan untuk meraikan ulang tahunnya yang ke-35 dan sesuatu yang monumental sebagai ucapan terima kasih kepada semua penyokongnya. 

“Pihak Rockqueen dan Hitman Solutions telah bekerja keras untuk memastikan setiap perancangan berjalan dengan lancar dari persiapan konsert ke rekaan pentas. Kami ingin mencipta satu kenangan indah yang tidak dapat dilupakan oleh peminat Ella.

“Kami juga membawa kejutan istimewa untuk peminat dengan penggunaan LED wristband  - gelang tangan yang mengandungi diod pemancar cahaya dan penerima frekuensi radio yang boleh diprogramkan oleh pengarah konsert untuk menyelaraskan lampu berdasarkan lagu. Ella merupakan artis tempatan pertama yang menggunakan Xyloband untuk konsert di Malaysia.

“Kami sangat berterima kasih di atas peluang ini dalam mencipta suatu sejarah untuk seorang legenda dan berharap untuk terus memperjuangkan industri muzik tempatan dan maju bersama-sama", ujar Rohit berharap konsert kedua malam nanti juga mampu meninggalkan sejuta kenangan buat semua.

Antara selebriti tempatan yang hadir menyaksikan persembahan Ella adalah penyanyi Noryn Aziz, Dato' Sri Siti Nurhaliza, Dato' Sheila Majid, Nurul Wahab, dan ramai lagi.

Amy Ikram by wajib tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan