KONSERT ANOTHER JOURNEY: THE BEGINNING SERLAH EVOLUSI, KEMATANGAN ROSSA SEBAGAI PENGHIBUR

 


MELEWATI 25 tahun usia pembabitan dalam industri seni jelas menterjemahkan keselesaan yang memeluk penyanyi kelahiran Indonesia bersuara lunak, Datuk Seri Rossa. Meski bersilih ganti bakat baharu hadir mewarnai pentas industri hiburan, keutuhan populariti Rossa atau nama lengkapnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani tidak pernah goyah.

Tidak hanya unggul sebagai antara penyanyi papan atas di negara kelahirannya, Rossa, 44, keampuhan popularitinya di negara jiran, terutama Malaysia terus kukuh apabila karya terbaru yang dihasilkan sentiasa mendapat tempat istimewa di hati penggemarnya. Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila kemunculan terbarunya menerusi konsert Another Journey: The Beginning di Zepp Kuala Lumpur pada 13 dan 14 Julai lalu membekas pelbagai memori yang tidak mudah dilupakan peminat setianya.




Mengikut perancangan asal, konsert dalam siri Dream Festival Collaboration Vol. 3 hanya berlangsung pada 14 Julai. Namun, sambutan hangat peminat apabila tiket konsert habis terjual dalam tempoh singkat, membuatkan Rossa bersedia menambah satu lagi malam persembahan iaitu pada 13 Julai lalu. Sambutan luar biasa itu membuktikan populariti Rossa tetap ampuh, malah kehadirannya sentiasa dinanti-nantikan peminat yang merindui gemersik suaranya mengalunkan lagu-lagu yang begitu dekat di hati mereka.

Tiada siapa yang mampu menidakkan kredibiliti Rossa di pentas. Kehadiran hampir 5,000 peminat untuk kedua-dua malam persembahan membuktikan namanya masih relevan dan karyanya sentiasa didahagakan peminat. Magis keampuhan Rossa terletak pada untaian-untaian malar segar yang sehingga kini terus setia menemani ramai. Namun, di sebalik keselesaan itu, Rossa tidak pernah sesekali berpeluk tubuh.


Dia sebaliknya, sentiasa mencabar diri supaya lebih kreatif dan inovatif dalam menampilkan pembaharuan menerusi lebih 20 karya yang dipersembahkan sepanjang dua jam konsert berlangsung. Meskipun kedatangan terbarunya membawa misi memperkenalkan lagu yang dirakamkan dalam album Another Journey: The Beginning yang dilancarkan Februari lalu, objektif Rossa tercapai apabila lagu-lagu itu sudah mula sebati di pendengaran penonton yabg sebahagian besarnya kelompok muda. Mendekati kelompok penonton muda juga antara misi utama Rossa apabila memilih untuk beraksi di Zepp KL dengan konsep persembahan yang lebih santai, intim dan segar. 



Membuka tirai persembahan dengan penuh bertenaga menerusi lagu Malam Pertama, Rossa tidak perlu menunggu lama untuk membuai emosi penonton. Dia seterusnya menyajikan himpunan lagu popular yang memahat kukuh namanya dalam kelompok penyanyi wanita hebat Indonesia. Seleksi lagu galau seperti Aku Bukan Untukmu dan Jangan Hilangkan Dia yang menjadi trademark penyanyi kelahiran Sumedang, Jawa Barat membuat peminat tidak betah berdiam, sebaliknya turut bersama-sama menyanyi.


Turut sinonim sebagai penyanyi runut bunyi, Rossa tidak melupakan lagu wajib iaitu Takdir Cinta dan Ayat-Ayat Cinta yang disampaikan secara medley. Bersama susunan muzik baharu, alunan bertenaga dan penuh ekspresi Rossa melarutkan penonton dalam keindahan vokalnya. Rossa juga tidak melupakan runut bunyi terbaru yang dirakamkannya, Khanti ciptaan Melly Goeslaw yang diakui mampu mengulangi kecemerlangan yang dilakar Ayat-Ayat Cinta dan Takdir Cinta.


Rossa seterusnya membawa penonton melewati perjalanan yang dilaluinya ketika dunia berdepan pandemik Covid-19 menerusi untaian terbaru yang dimuatkan dalam album Another Journey: The Beginning. Bagai membentang naratif perjalanan peribadinya berkisar kehidupan, karier, cinta, Rossa memukau menerusi untaian lagu seperti Wanita, Masih, Terlalu Berharap, Akhirnya, Sekali Ini Saja selain Lupakan Cinta. Setiap lagu, akui Rossa yang sesekali menyisipkan canda dalam celotehnya menyimpan makna tersendiri. Justeru, meskipun sinonim dengan lagu galau, Rossa tetap memastikan lagu nyanyiannya membawa mesej untuk dihayati pendengar. 


Ruang Zepp KL gamat apabila Rossa menyanyikan lagu Hati Yang Kau Sakiti versi Korea. Pujian wajar diberikan kepada Rossa dan tenaga produksi konsert Another Journey:The Beginning yang bijak memancing energi penonton.  Harus diakui, evolusi Rossa sebagai penghibur jelas terpancar menerusi penampilan terbarunya ini. Improvisasi yang dilakukan dengan menyuntik nuansa EDM pada lagu popularnya seperti Pudar dan Hey Ladies sebagai penutup konsert membuktikan strategi Rossa dalam mencari kelompok peminat baharu berhasil.


foto: Dream Festival

Catat Ulasan

0 Ulasan