MENGENANG KEMBALI SUDIRMAN

Walaupun sudah tiga dekad pemergiannya, namun jasa dan pengorbanan Allahyarham terhadap pembangunan seni tanah air tetap menjadi ingatan dan kenangan sepanjang zaman. Bermula kerjaya seawal tahun 1976 selepas menjuarai Bintang RTM kemudian memegang gelaran 'Penghibur No 1 Asia', pada 19 Mac 1989, Sudirman Hj. Arshad antara penghibur serba boleh yang lahir dari bakat seni semula jadinya, sehingga kemunculannya menjadi perhatian malahan seniman kesayangan rakyat ini dijulang dan karya seninya kini menjadi legasi yang tidak akan luput ditelan zaman.

Bagi mengenang kembali pengorbanan seniman kelahiran Temerloh, Pahang ini, Yasstar Production, Kamura dan Mawar Grandeour dengan kerjasama Malakat Mall & disokong oleh Sudirman Asset Management akan menganjurkan program Tribute To Sudirman Hj. Arshad & Celebrity Hub. Program yang bakal berlangsung pada 14 hingga 23 Julai 2023 depan menyajikan pelbagai aktiviti menarik antaranya jualan produk usahawan kecil dan sederhana, pertandingan nyanyian lagu Sudirman, pameran koleksi peribadi peminat Sudirman, pameran lukisan, majlis bacaan yasin, gerai jualan selebriti dan sebagainya.

Menurut Farah Waheeda, salah seorang penganjur utama bagi program tersebut menyifatkan Tribute To Sudirman Hj Arshad yang diadakan di Malakat Mall, Cyberjaya pada 21 hingga 23 Julai depan sebagai program mengenang kembali perjalanan lebih tiga dekad anak seni kelahiran Temerloh, Pahang itu. Yasstar Production bersama rakan strategik lain bertungkus lumus bagi menganjurkan majlis yang dirancang.

"Ia sedikit sebanyak mengimbau kenangan terutamanya pada era muzik 80-an dan 90-an yang menjadi satu trend bukan sahaja untuk generasi terdahulu, malahan sebagai aset berguna buat tatapan generasi seterusnya". 

"Selain itu, program Celebrity Hub yang diadakan di sini juga bertujuan untuk mendekatkan masyarakat atau peminat dengan selebriti pujaan mereka di samping membantu ekonomi dengan jualan hasil produk selebriti terpilih. Kami percaya, melaluinya juga segala aktiviti melibatkan seni dan muzik dapat disatukan di bawah satu bumbung. Antara selebriti yang akan hadir memeriahkan aktiviti yang dirancang adalah Kumpulan Damasutra, Ekamatra, Melisa, Gersang, Headwind, Yassin Senario, Aida Aris, Badrul Muhayat dan ramai lagi," katanya.

Manakala menurut Mohd Azhar Md Isa, peminat setia Allahyarham Sudirman dalam satu kenyataan berkata, sebagai peminat,  beliau terharu dengan aktiviti dan program yang dianjurkan. Ia bukan sahaja sebagai satu aktiviti seni semata-semata, namun penganjurannya juga sedikit sebanyak membantu kita mengenali dengan lebih dekat insan seni kesayangan ramai ini. 

"Allahyarham Sudirman bukan sahaja dikenali sebagai seorang penghibur semata-mata, tetapi seorang ikon usahawan di kalangan rakan artis ketika zaman kegemilangannya. Program Tribute To Sudirman Hj. Arshad & Celebrity Hub yang diadakan bermula 21 hingga 23 Julai depan menyaksikan ramai selebriti tanah air akan berkampung di sini sekaligus dapat mendekatkan golongan artis dengan masyarakat. Ketokohan Allahyarham Sudirman dalam lapangan seni wajar dihargai sebagai satu legasi seni yang tiada gantinya," katanya kepada Wajib Tonton. 

Bagi anda yang ingin menyaksikan dengan lebih dekat selebriti dan artis pujaan anda disamping program Tribute To Sudirman Hj Arshad & Celebrity Hub, bolehlah datang beramai-ramai di Malakat Mall, Cyberjaya bermula pada 14 Julai hingga 23 Julai 2023.

Amy Ikram by wajib tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan