RAIKAN NOSTALGIA 40 TAHUN, ANUAR ZAIN MUNCUL DENGAN KONSERT AZ40

Setelah 4 dekad mengharungi perjalanan sebagai anak seni sehingga kemunculannya dinantikan peminat muzik dari serata pelusuk dunia, nama Anuar Zain bukanlah asing di dalam industri seni, hiburan dan muzik tanah air. Kelunakan vokal merdunya begitu memukau apabila saat beliau muncul dalam mana-mana majlis hiburan seringkali menjadi perhatian, bahkan figura tersohor yang lahir dari bakat seni sejak usia kanak-kanak pada tahun 1983 itu, kini merupakan penyanyi solo lelaki berprofil tinggi.

Kekuatan Anuar Zain bukan sahaja dilihat dari segi kualiti lagu mahupun muzik yang ditampilkan, malahan aura pesonanya begitu kuat, malahan untaian lagu-lagu miliknya juga cukup popular dan turut menerima pelbagai pengiktirafan di sepanjang kariernya. Berusia 53 tahun, Anuar Zain atau nama sebenarnya Shahrul Anuar bin Zain bakal memukau pendengar muzik tanah air menerusi 'Anuar Zain 40th Anniversary Concert (AZ40)' yang bakal berlangsung 28 Oktober depan.



Memilih Stadium Malawati, Shah Alam sebagai destinasi utama, konsert sempena ulang tahun Anuar Zain 40 tahun dalam industri muzik tempatan itu dibawakan khas oleh JioBuddy. Menyingkap perjalanan penuh berliku Anuar dalam lapangan seni tanah air, anak seni kelahiran Merlimau, Melaka ini merupakan antara Penyanyi Lelaki tersohor tanah air yang masih aktif hingga kini. Anuar Zain ketika ditemui media semasa pelancaran dan pengumuman konsert AZ40 yang diadakan di JioSpace baru-baru ini menyifatkan konsert yang bakal berlangsung 28 Oktober depan merupakan konsert bersejarah beliau sepanjang 40 tahun bergelar anak seni.


"Pemilihan Stadium Malawati, Shah Alam sebagai lokasi persembahan saya pada 28 Oktober depan adalah kerana di sini ia menyingkap pelbagai nostalgia manis buat diri saya. Bagi saya, di sini sangat praktikal kerana ia berbentuk empat segi dan sangat senang bekerja, memandangkan lokasi tempat tinggal saya pun berdekatan.


"Pemilihan 28 Oktober itu kerana saya tidak mahu persembahan saya menganggu mana-mana persembahan rakan-rakan saya dalam lapangan yang sama. Kami bekerja dan menghormati antara satu sama lain. Bagi mereka yang merindui saya, datanglah menyaksikan saya dalam konsert AZ40 nanti', katanya.



Walaupun sudah lama tidak muncul dengan album solo terbaharu selepas kali terakhir tahun 2016, Anuar Zain berkata, bukanlah mudah untuk menjual album saat ini, namun beliau percaya satu hari nanti beliau akan kembali dengan album terbaharu memandangkan ketika ini peminat muzik lebih cenderung kepada muzik digital menerusi penerbitan lagu-lagu yang dihasilkan secara 'single'.


Bakal menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu-lagu berhantu seperti Lelaki Ini, Perpisahan, Bila Resah, Sedetik Lebih, Keabadian Cinta dan banyak lagi, Anuar Zain 40th Anniversary Concert itu bakal menampilkan pengarah konsert terkenal, Jennifer Thompson dan Sze Wan dipertanggungjawabkan sebagai pengarah muzik bersama lebih kurang 25 orang pemuzik-pemuzik handalan tanah air. 


Bagi pihak penganjur, konsert ini akan menjadi sebuah lagi lakaran sejarah yang penting buat pelantun lagu Lelaki Ini dalam perjalanan karier seninya yang sentiasa mendapat sokongan positif dari semua pihak. Konsert ini juga bakal menjadi lambang kematangan perjalanan Anuar Zain di dalam karier seninya.



“Kami di JioBuddy berbesar hati untuk menganjurkan Anuar Zain 40th Anniversary Concert kerana ia bukanlah hanya sebuah konsert biasa tetapi sebagai sebuah biografi untuk meraikan perjalanan seninya yang panjang bersama semua peminat  dan penggemar muzik beliau.


“Konsert ini juga amat penting untuk kami selaku penganjur bagi menyokong industri muzik tempatan, dan memberi yang terbaik kepada penonton mengikut kepakaran kami,” kata Sean Ng  dari JioBuddy.


Tiket-tiket sudah mula dijual bermula 12 Julai 2023 lalu dan boleh dibeli www.jiotix.asia atau hubungi talian hotline tiket di +6011 510 03 111. Tiket-tiket berharga RM1188  (VIP 1), RM888 (VIP 2), RM488 (Diamond) RM388 (Platinum) dan RM 188 (Gold).



Untuk pembeli tiket pada hari pertama jualan (12 Julai 2023), anda akan berpeluang untuk memenangi telefon bimbit jenama FreeYond. Bagi pembeli tiket VIP 1 & 2 pula, mereka bakal mendapat cenderahati berupa AZ40 Premium Gift Box yang ditaja oleh Arombay, istimewa sempena konsert ini.


Raikan temujanji anda bersama Anuar Zain pada 28 Oktober 2023 jam 8.30 malam sempena  Anuar Zain 40th Anniversary Concert di Stadium Malawati, Shah Alam.


Amy Ikram by wajib tonton
Gambar: Rufdean

Catat Ulasan

0 Ulasan